Hutang, diam dan muflis - Utusan Malaysia

Hutang, diam dan muflis

Ramai yang hanya mempunyai wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tiada simpanan wang yang lain. - Gambar hiasan/MINGGUAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
DALAM  kolum ini, dua minggu lepas yang bertajuk ‘Baiki perkhidmatan, itu saja’, banyak komen pembaca yang memberi saranan, kalau pihak bank telefon, jangan jawab. Itu saja caranya hendak ‘mengajar’ mereka yang susah benar hendak dihubungi untuk urusan-urusan mudah yang tidak sampai lima minit sehingga terpaksa pergi ke bank dan beratur panjang  berjela-jela.
” Apa susah, bank telefon jangan jawab. Biar dia `berjanggut’ pula tunggu kita  jawab” – kata netizen itu.
Saya ketawa. Janganlah begitu kawan. Jangan beri ‘nasihat busuk’.  Kalau kita tiada hutang, mungkin bank menelefon untuk menawarkan perkhidmatan tertentu, tak berminat bolehlah abaikan. Iyalah,  kadang-kadang masa kita tengah sibuk bekerja, masa itulah dia hendak tawarkan kad kredit.
Tambahan sekarang ini, ada saja nombor yang tidak dikenali menelefon, kononnya pihak bank. Tak pernah dengar pun nama syarikat kewangan yang mahu menawarkan pinjaman kewangan itu. Cakap pun bukan main laju lagi. Sampai tak dengar butiran apa yang dia cakap. Yang ini tak payah layanlah. Kalau dilayan juga memang sengaja cari pasal.
Tetapi kalau ada pinjaman bank, tertunggak pula, jawab sajalah.  Apa pun, hutang bank kena bayar. Ia boleh membawa kepada `kemusnahan’ yang lebih besar apabila penghutang melarikan diri daripada pihak bank dan akhirnya jatuh muflis, masa itu apa pun tak boleh.
Ini adalah antara sebab utama ramai dimufliskan kerana mereka gagal mengadakan perbincangan dengan bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit  (AKPK) untuk menstruktur semula bayaran pinjaman, bila sukar untuk menjelaskan hutang tertunggak itu.
Memilih untuk terus membisu, walaupun mengambil masa yang lama untuk dimufliskan tetapi ia tetap juga akan berlaku dengan sikap sebegini. Perlu diingat muflis tetap muflis walaupun surat peringatan dan notis tidak dibaca atau tidak sampai ke alamat sebenar penghutang.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob memberitahu, seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Angka berkenaan adalah berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sejak Mac 2020 hingga Julai lalu yang mana ia berpunca daripada pandemik Covid-19. Sebelum itu, menurut MdI, jumlah kes kebankrapan yang direkodkan selepas moratorium berakhir pada tahun lalu adalah sebanyak 933 kes bagi Oktober, 419 kes bagi November dan 711 kes pada Disember. Pada tiga bulan pertama tahun ini pula sebanyak 459 kes bagi Januari, 445 kes bagi Februari dan Mac 960 kes.
Kebanyakan kes yang diisytihar muflis di negara ini berpunca daripada pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, perumahan dan kad kredit.
Amat malang mereka yang jatuh muflis ketika pandemik ini akibat kehilangan kerja atau perniagaan yang diusahakan tidak dapat berjalan seperti dirancang kerana kekangan PKP. Ada yang baru saja mahu berniaga, PKP lah pula. Pun begitu, proses memufliskan tentu melalui perbincangan dua pihak dan mahkamah, dan mendiamkan diri sama sekali bukan cara selesai yang baik.
Dalam pandemik sebegini, seharusnya ada pertimbangan dan budi bicara. Wabak menjadi penyebab muflis, bukan culas atau liat bayar hutang, ini sepatutnya menjadi pertimbangan utama. Nama pun undang-undang, ia sepatutnya memberi keadilan  bukan menyusahkan.
Dan dikatakan sejak 2017 sehingga Jun 2021 kes muflis melibatkan 23.63 peratus golongan  berusia di bawah 34 tahun.  Dikatakan juga anak muda terjerumus dalam muflis kerana menjadi penjamin kepada ibu bapa untuk membeli kenderaan dan terjebak dengan penggunaan kad kredit yang di luar kawalan.  Percaya atau tidak, dalam  usia 20-an ada yang memiliki lima kad kredit!
Sudahnya, mereka terpaksa membuat pinjaman peribadi pula untuk membayar tunggakan kad kredit tersebut. Ini yang dikatakan gali lubang, kambus lubang. Disebabkan perlu membayar hutang kad kredit dengan pinjaman peribadi, pinjaman lain turut terjejas seperti kenderaan atau rumah sekiranya ada, dan dengan banyaknya hutang tertunggak ini, mereka muflis.
Dalam usia 20-an sudah muflis. Ia pasti menjejaskan kualiti hidup. Apabila muflis tidak bermakna hutang tidak perlu dibayar. Akhirnya hutang itu berlarutan sehingga ke usia tua atau akhir hayat.
Ramai berkata, hidup ini bukan kehidupanlah kalau tidak berhutang. Balik kerja, pergi kerja, gaji habis bayar hutang. Begitulah kitaran hidup. Sampai pencen pun hutang tidak habis-habis lagi. Dan ada yang sinis, bila bercakap pasal menabung. Gaji marhaen hendak menabung, sampai bila pun tak akan kayalah. Harapkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sajalah.
Menabung ini bukan pasal mahu jadi kaya. Isunya, bila ada kecemasan, wang tabungan itulah yang jadi penyelamat walaupun jumlahnya tidak banyak. Tetapi itulah bila bercakap pasal kehendak, boleh pula mengadakan wang untuk berjalan-jalan, makan angin atau membeli barangan bukan keperluan. Bab bayar hutang, tiada duit pula.
Berhutang tidak salah, yang salahnya bila tidak boleh menguruskan hutang.
Ada orang gaji kecil tetapi dia masih boleh memberi wang kepada ibu bapanya dan perbelanjaannya cukup sehingga hujung bulan. Ada orang gaji besar, tetapi duitnya habis bayar hutang dan sedikit pun tidak dapat diberi pada orang tuanya. Fikir sendirilah bagaimana Tuhan itu sedang ‘mengajar’ kita.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya