PETALING JAYA: Bilangan belia diisytiharkan muflis atau bankrap akan terus meningkat sekiranya mereka terus terjebak dan terbeban dengan hutang perkhidmatan ‘beli dulu bayar kemudian’ (BNPL) di platform e-dagang.
Perkara itu ekoran lebih 35,000 belia berusia 35 tahun ke bawah didaftarkan sebagai bankrap hingga Mei tahun ini berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).
Data terkini menunjukkan peningkatan ketara dalam kes bankrap hampir 6,000 setahun, melibatkan rakyat Malaysia termasuk belia di mana terdapat kemungkinan mereka akan diisytiharkan bankrap.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, bebanan hutang perkhidmatan BNPL berlaku disebabkan oleh keinginan belia yang sering mengatasi kemampuan.
Katanya, belia cenderung untuk mengikuti trend terkini dan berbelanja tanpa memikirkan kesan jangka panjang sehingga menyebabkan lebih 35,000 belia telah diisytiharkan bankrap sehingga Mei 2024.
“Kekurangan pengetahuan tentang kesan negatif penggunaan aplikasi seperti BNPL kerana masalah ini pernah berlaku melibatkan penggunaan kad kredit dan kini ianya berlaku melalui aplikasi dalam talian yang menawarkan modus operandi serupa.
“Perkara ini boleh membawa kepada keretakan sosioekonomi negara termasuk kehilangan punca pendapatan, keretakan rumah tangga, penglibatan dalam aktiviti jenayah, dan terjebak dengan hutang ah long,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan golongan belia banyak terjerat dengan penggunaan kad kredit, kini trend mereka terbeban dengan hutang perkhidmatan BNPL di platform e-dagang.
Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, penyerapan ilmu pada peringkat awal dan pendidikan mengenai implikasi penggunaan BNPL serta kepentingan pengurusan aliran tunai perlu dilakukan sejak usia muda, dengan memfokuskan perkara yang perlu dielakkan semasa berbelanja.
Katanya, kempen kesedaran berterusan oleh Kementerian Komunikasi dan agensi berkaitan melalui media, iklan serta platform media sosial seperti TikTok, Instagram, dan Facebook tentang kesan negatif BNPL dan testimoni daripada mangsa yang terlibat.
“Kerajaan boleh melaksanakan kaedah seperti mengehadkan penggunaan BNPL sehingga jumlah tertentu, contohnya RM500 sebulan, dengan kerjasama bank-bank sedia ada.
“Kerajaan juga boleh memperkenalkan silibus mengenai scammer dan BNPL di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai subjek wajib kerana penting untuk memberi pendedahan awal kepada remaja tentang bahaya perniagaan moden yang digunakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, belia atau pelajar akan menghadapi pelbagai risiko jangka panjang sekiranya perbelanjaan perkhidmatan BNPL tidak diurus dengan baik.
Katanya, pengguna boleh terjerumus dalam beban hutang yang semakin meningkat kerana mereka mungkin tergoda untuk membeli lebih banyak barangan daripada kemampuan sebenar mereka.
“Kebanyakan belia yang terlibat dalam perkhidmatan ini masih belum mempunyai pekerjaan yang tetap dan bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Kegagalan membayar hutang pada waktu yang ditetapkan boleh menyebabkan ansuran akan semakin meningkat disebabkan oleh kos tersembunyi seperti denda dan faedah tambahan.
“Penggunaan BNPL boleh menggalakkan sikap tidak bertanggungjawab dalam perbelanjaan, dengan mentaliti bahawa hutang boleh dilunaskan kemudian tanpa mempertimbangkan kemampuan kewangan sebenar,” katanya.
“Jika dibandingkan dengan pinjaman tradisional, perkhidmatan BNPL mungkin kurang diuruskan oleh agensi kewangan menyebabkan risiko lemahnya perlindungan pengguna sekiranya berlaku penyelewengan atau masalah dengan perkhidmatan tersebut.
Tambahnya, bagi mengelakkan risiko ini, penting bagi belia untuk meningkatkan literasi kewangan, memahami implikasi jangka panjang penggunaan BNPL, dan mengamalkan disiplin kewangan yang baik. – UTUSAN










