Belia luar bandar Sarawak berpeluang ceburi industri minyak, gas

Belia luar bandar Sarawak berpeluang ceburi industri minyak, gas

RUBIAH AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belia luar bandar dan pedalaman di Sarawak diberi keutamaan mengikuti latihan kemahiran berteraskan industri minyak dan gas menerusi TVETMara di Bintulu yang membuka peluang memperoleh pekerjaan segera dengan pendapatan lebih kompetitif.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang berkata, latihan teknikal berkenaan disepadukan dengan keperluan pasaran kerja serta kehendak industri bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran yang relevan.

Katanya, antara latihan yang ditawarkan merangkumi kursus Perancah (Scaffolding), Pemasangan Paip (Pipefitting) dan Bekerja di Tempat Tinggi (Working at Height).

“Ini membolehkan peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran bersijil, malah peluang pekerjaan segera dalam industri strategik, di samping menerima pendapatan yang lebih kompetitif.

“Penglibatan pelajar dan pensyarah TVETMara dalam aktiviti khidmat masyarakat termasuk penyelenggaraan kemudahan awam dan baik pulih sistem elektrik turut disalurkan terus kepada komuniti setempat,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian berhubung perancangan kerajaan mempergiatkan latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara outreach di kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, kerajaan melalui Mara sentiasa komited memperluaskan akses TVET kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman menerusi pendekatan yang lebih fleksibel, bersasar dan inklusif.

Katanya, pelbagai program outreach dilaksanakan menerusi GiatMara melalui kursus jangka pendek, latihan berasaskan komuniti serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

“Antaranya ialah Program TVET Komuniti, TVET Junior, TVET Tahfiz dan GIAT Dekat Rakyat yang memberi pendedahan awal secara praktikal seperti penyelenggaraan motosikal serta pastri dan konfeksi bagi memupuk minat dan membina keyakinan generasi muda terhadap bidang TVET.

“Pendekatan ini turut membuka peluang upskilling dan reskilling kepada golongan bekerja di luar bandar mengikut potensi ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran serta peluang keusahawanan mereka.

“Semakan dan penambahbaikan kursusturut dilaksanakan secara berterusan berdasarkan permintaan industri dan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Tambahnya, pendekatan bersepadu GiatMara dan TVETMara itu dilihat mampu memastikan latihan kemahiran TVET dapat menjangkau masyarakat tanpa dibatasi kekangan lokasi sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi luar bandar dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN