Usah berhutang sambut Aidilfitri

Usah berhutang sambut Aidilfitri

JANGAN sampai berhutang semata-mata untuk membuat persiapan menyambut raya. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Hanya tinggal sehari lagi umat Islam di seluruh dunia bakal meraikan lebaran, hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam setelah sebulan menunaikan ibadah puasa.

Persiapan menyambut Syawal sedang giat dilakukan. Bukan hanya pakaian serba baharu malah kuih dan biskut raya tentunya beraneka untuk dijamu kepada tamu di hari lebaran. Pelbagai peralatan dan hiasan rumah juga ditukar mengikut tema. Malah baju raya juga wajib sedondong dengan keluarga, barulah raya.

Pengaruh media sosial

Iklan-iklan secara langsung di media sosial menjadikan kita tidak keruan. Apatah lagi perkhidmatan yang ditawarkan boleh tempah dahulu bayar kemudian membuatkan kita tak terasa duit keluar sehinggalah barang-barang yang ditempah sampai depan pintu rumah.

Ini membuatkan kita membeli dan terus membeli sehinggakan tanpa sedar bungkusan tempahan menimbun diterima. Namun sebagai pengguna yang bijak, kita harus meneliti adakah ia keperluan atau kehendak. Pengguna bijak akan meneliti tawaran diskaun atau harga rendah. Tidak bermakna barang itu murah kita perlu membelinya. Sebaiknya bandingkan dulu harga barangan yang sama (antara peniaga) dan beli yang termurah ditawarkan.

Berbelanja secara berhemah

Jangan sampai berhutang semata-mata untuk membuat persiapan menyambut raya. Ini boleh menyebabkan masalah pada kewangan dan tabungan bocor. Belanjalah secara berhemah bagi mengelak daripada menanggung beban kewangan pada kemudian hari. Jadilah pengguna yang bijak.

Mengambil pendekatan tidak terlalu boros berbelanja dengan memperbanyakkan memasak sendiri di rumah atau membeli juadah berbuka yang diperlukan mampu mengelakkan pembaziran. Malah tahun ini harga juadah di bazar meningkat seiring dengan kenaikan harga barang mentah.

Bersederhana tuntutan agama

Kehidupan bersederhana adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Apa sahaja yang kita lakukan mestilah dalam keadaan yang sederhana dan tidak berlebihan. Firman Allah: “Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.” (QS al – Furqan: 67).

Kesederhanaan tidak terhad kepada perbelanjaan, tetapi perlu dititikberatkan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam percakapan, pergaulan, beribadat, berpakaian dan menguruskan kerjaya serta kehidupan peribadi. Sesungguhnya bersederhana itu akan memberi kesan positif kepada diri seperti lahirnya sifat tenang dan sabar dalam jiwa, menjadi manusia berdisiplin dan bertanggungjawab. Orang yang bersederhana akan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat serta lebih diberkati oleh Allah.

Raikan Syawal tanda kemenangan

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan umat Islam yang membawa maksud kemenangan melawan hawa nafsu, membersihkan diri daripada dosa atau dengan kata lain kembali kepada fitrah menjadi insan yang benar-benar beriman kepada Allah.

Teruskanlah berdoa, moga Allah menerima segala amal ibadah yang dilaksanakan termasuklah solat fardu dan sunat berjemaah, tadarus al-Quran, sedekah serta pelbagai lagi amal soleh untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.

Marilah sama-sama kita raikan lebaran kali ini dengan penuh rasa syukur disamping mengukuhkan ikatan silaturrahim sesama kita.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. – UTUSAN

ROZITA ALIAS @ ABDUL LATIFF
Pegawai di Pejabat Komunikasi Korporat,
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN