Dugaan kita kecil saja - Utusan Malaysia

Dugaan kita kecil saja

JANGANLAH berasa masalah kita terlalu kronik hingga bertindak menyusahkan orang sekeliling. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI lagi kita menyambut Maulidur Rasul, hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Selasa lalu. Beribu kisah dan sirah Rasullullah SAW hasil karangan ulama dan cendekiawan bukan sekadar dibaca untuk lulus peperiksaan sekolah atau ijazah doktor falsafah (PhD).

Apa yang lebih afdal, kita jadikan Nabi Muhammad sebagai suri teladan untuk memastikan setiap tindak-tanduk kita dipermudahkan.

Era pandemik Covid-19 dalam transisi ke endemik, semua pihak sedang melaraskan kehidupan yang dikongkong pelbagai prosedur operasi standard (SOP), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hingga masalah individu yang enggan divaksin. Pada saat ini, ada dalam kalangan kita yang bersedih kerana tidak boleh merentas negeri bukan kerana tidak divaksin tapi masalah kewangan dan pelbagai cabaran hidup.

Janganlah kita bersedih sangat kerana Nabi Muhammad juga pernah mengalami peristiwa Hijrah yang menyebabkan baginda terpaksa meninggalkan kampung di Mekah dan menuju Madinah. Perjalanan ‘merentas negeri’ tersebut bukan mudah seperti SOP lengkap dua dos vaksin.

Dalam peristiwa Hijrah, rombongan Rasullullah SAW diburu oleh kaum Quraisy yang menyedari baginda dan sahabat-sahabat telah meninggalkan kota Mekah. Hijrah tersebut bukan sahaja satu permulaan pembentukan kerajaan Islam Madinah hasil kerjasama puak Muhajirin dari Mekah dan Ansar, malah bermulanya era ketamadunan Islam dalam pelbagai bidang.

TEPUK DADA

Di negara kita, ketidaktentuan politik sewajarnya menjadikan sirah Rasullullah SAW sebagai contoh mencari jalan penyelesaian, bukannya menyebabkan penyesalan. Hari ini sebuah kerajaan ‘diruntuhkan’ hanya kerana terbit rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin yang mendukung kerajaan tersebut.

Adakah cabaran yang kita hadapi sehebat dugaan Rasullullah SAW dan sahabat yang melalui fasa diboikot pemimpin Quraisy di Mekah selama bertahun-tahun? Adakah situasi dihadapi pemimpin kita sungguh sulit hingga kehidupan seharian mereka jadi sengsara dari sudut sosioekonomi?

Adakah cabaran hidup kita amat berat di era teknologi maklumat semakin canggih, makanan boleh dipesan dengan mudah dan beribadah pun masjid dan surau ada beribu-ribu? Adakah dengan nikmat ini semua, menjadikan kita manusia berkeluh-kesah di media sosial dan sidang akhbar setelah hilang kuasa?

Pendek kata, adakah masalah yang kita rasa besar itu sebesar ujian yang ditempuh Rasullullah SAW semasa menyebarkan Islam yang menjadi pegangan beratus juta manusia hari ini?

Jika memahami sirah Rasullullah SAW, kita pasti akan sedar masalah yang dihadapi hanyalah sekadar tempias ujian yang dilalui baginda. Maka muhasabahlah diri, cerminkan wajah dan bertanya kepada diri sendiri, adakah perbuatan yang kita lakukan memberi manfaat kepada insan lain sebagaimana Rasullullah SAW telah manifestasikan dalam setiap aspek kehidupan kita?

Jangan merasakan masalah kita terlalu kronik hingga kita bertindak menyusahkan orang sekeliling. Jadikan sirah dan kisah Rasullullah SAW sebagai panduan. Insya-Allah, masalah yang kita hadapi sebenarnya kecil sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN