PAGI 30 Ogos lalu, saya disahkan positif Covid-19 dan terus dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC). Disebabkan tiga faktor risiko, iaitu melebihi 50 tahun, obes dan menghidap asma, maka saya dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor untuk menjalani rawatan dan kuarantin.
Di MAEPS keesokan harinya selepas dirawat doktor, saya diberikan bantuan oksigen melalui tiub. Dengan itu secara rasminya saya merupakan pesakit Covid-19 Kategori 4.
Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata doktor, “Kita akan cuba rawat puan. Kalau tiada tindak balas, kita akan hantar puan ke hospital.” Kata-kata yang terus, telus dan amat merisaukan tetapi itulah hakikat keadaan kesihatan saya ketika itu.
‘Ke hospital’ bermaksud keadaan saya semakin memburuk dan mungkin akan menjadi pesakit Covid-19 Kategori 5. Saya terus teringat kepada anak tunggal di rumah dan adik-beradik di kampung.
Adakah lagi peluang untuk kami bertemu? Lantas, saya menghantar pesanan kepada seorang sahabat: “Kalau saya meninggal, mohon bantu anak untuk uruskan jenazah saya. Inilah khidmat awak yang terakhir untuk saya. Terima kasih banyak-banyak.” Air mata mengalir laju sambil saya menekan butang ‘hantar.’
Pukul 3 pagi, 1 September 2021, saya dikejutkan daripada tidur oleh seorang petugas barisan hadapan dengan kata-kata, “Puan, mari kita pindah wad.” Saya dipindahkan ke Wad Mawar – wad pemantauan dan bukannya ke hospital. Ini bermaksud rawatan yang diterima pagi tadi memberikan tindak balas positif. Alhamdulillah.
Sebagai pesakit Covid-19 khususnya Kategori 4, kita bukan sahaja berhadapan kesakitan fizikal tetapi juga emosi sendiri yang merasakan betapa dekatnya kematian.
Soalan-soalan seperti “Dapat balik rumah lagikah?”, “Dapat jumpa anak lagikah?”, “Dapat jumpa adik-beradik lagikah?” berlegar-legar di fikiran.
Jawapan kepada soalan-soalan ini ditunggu dengan penuh debar dari hari ke hari beserta doa yang penuh harap agar Allah SWT memberi peluang untuk bertemu lagi dengan orang-orang tersayang.
Sembilan hari di MAEPS amat menginsafkan. Ada sebilangan kecil pesakit yang boleh urus diri sendiri. Namun, ada yang hanya berbaring di katil kerana dimasukkan air atau memerlukan oksigen. Ada yang batuk-batuk kering, tidak kurang juga yang batuk berkahak pada kepekatan berbeza. Ada yang perlu dihantar ke hospital kerana keadaan kesihatan memburuk. Ada juga yang dimasukkan ke wad ini dari Dewan Kuarantin kerana didapati bergejala teruk selepas beberapa hari berada di dewan itu.
Keinsafan juga timbul apabila melihat siapa yang ditempatkan di MAEPS.
Hari kedua, di hadapan katil saya, ada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang hadir bersendirian. Kelihatannya remaja itu dapat menguruskan dirinya dengan baik. Namun, dalam bab makan minum, dia nampak terlalu mengikut seleranya yang hilang.
TRANSIT
Memanglah pesakit Covid-19 tiada selera makan, tetapi kita perlu paksa diri untuk makan demi mendapatkan tenaga. Maka kami, pesakit di katil-katil bersebelahan yang semuanya berpangkat ibu kepada remaja itu memujuknya untuk makan. Mungkin pujukan kami mengingatkan kepada ibunya, maka remaja tersebut menangis.
Bayangkan kalau remaja itu anak kita.
Beberapa hari kemudian, hadir seorang ibu muda dengan anak kecil berusia setahun lebih. Kita yang hadir sendiri pun sudah terasa berat beban yang ditanggung, inikan pula ibu muda itu yang turut perlu menjaga anaknya. Ibu muda ini akan ke surau (100 meter dari katilnya) untuk solat ketika anaknya tidur. Sering kali juga anaknya terjaga ketika ibu itu sedang solat lantas menangislah anak mencari ibunya.
Di wad sebelah yang memantau pesakit lelaki, kedengaran seorang ayah mendodoikan anaknya yang berusia kurang setahun. Sedang didodoi, anak itu merengek, “Mama, mama, mama…” sehinggalah ia penat dan tertidur.
Wad ini yang asalnya merupakan dewan pameran terbuka juga menjadi transit untuk pesakit-pesakit lain yang baru tiba bagi disaring dan dinilai tahap kesihatan sebelum ditentukan tempat sama ada di wad atau di Dewan Kuarantin. Pelbagai jenis pesakit yang transit di sini. Ada yang datang bersendirian, ada yang datang dengan ahli keluarga lain, ada yang datang dengan kawan pejabat.
Pada satu malam, kira-kira pukul 10, datang seorang ibu dan anak kecil dalam usia dua, tiga tahun. Selama dua jam anak itu menangis sambil berkata, “Tak nak duk sini.
Tak nak duk sini. Tak nak duk sini.” Tangisan itu terhenti apabila nama dua beranak itu dipanggil untuk dihantar ke Dewan Kuarantin.
Menjadi pesakit Covid-19 Kategori 4 ialah satu pengalaman amat menakutkan, khususnya apabila memikirkan betapa dekatnya saya dengan kematian. Bagaimanapun, pengalaman di MAEPS amat berharga dan tidak mungkin saya lalui jika tidak dijangkiti Covid-19. Selain perlu tabah dan sabar dalam berhadapan kesakitan fizikal, kekuatan mental dan emosi juga diperlukan untuk menguatkan semangat. Teringat pesanan para petugas barisan hadapan, “Puan kena kuat untuk lawan Covid-19.”
Pengalaman ini juga menghadiahkan satu perjalanan rohani yang terlalu peribadi untuk dikongsikan dengan sesiapa. Dalam pelbagai perasaan yang bercampur baur itu, keramahan, kelembutan dan kebaikan para petugas barisan hadapan menjadi penawar kepada hati yang rawan.
Koronavirus masih ada di luar sana. Kita belum menang. Walaupun banyak negeri telah keluar dari Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan semua kita telah jemu berkurung, ikhtiarkanlah supaya kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin apabila berada di luar rumah.
Iringi ikhtiar kita dengan doa agar Allah SWT yang Maha Memelihara melindungi kita daripada wabak ini.
PENULIS ialah Felow Kanan, Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










