Bantu wanita muda berniaga - Utusan Malaysia

Bantu wanita muda berniaga

SHABUDIN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MASIH mengekalkan hala tuju membasmi kadar kemiskinan dalam kalangan penduduk, Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang baharu, DATUK SHABUDIN YAHAYA mahu memperluaskan bantuan agar jurang kemiskinan penduduk bandar dapat dikurangkan.

Langkah ini supaya mereka dapat menikmati kehidupan berdikari tanpa kebergantungan terhadap bantuan kerajaan semata-mata.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor percaya inistiatif yang ditawarkan AIM akan membuka ruang dan peluang terutama kepada golongan miskin bandar dan luar bandar menceburkan diri dalam bidang perniagaan, sekali gus membantu menambah pendapatan isi rumah.

Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau positif Malaysia mampu mengurangkan kadar kemiskinan sekiranya masyarakat mahu berubah dan berani mencabar diri dengan melibatkan diri dalam perniagaan termasuk mahir dalam hal berkaitan e-dagang.

UTUSAN: Visi dan misi Datuk?

SHABUDIN: AIM merupakan satu lapangan yang cukup luas untuk menunaikan tanggungjawab terutama dalam membasmi dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Yang terbaiknya, AIM diasaskan berlandaskan prinsipal tertentu yang mengaplikasi model Bank Grameen di Bangladesh dan ia disesuaikan dengan keadaan kemiskinan di Malaysia.

Selain meneruskan visi AIM sejak penubuhannya pada 1987, visi pertama saya adalah merendahkan kadar kemiskinan di bandar dan luar bandar.

Pada peringkat awal penubuhan, tumpuan hanya diberikan kepada penduduk wanita luar bandar melalui pemerhatian dan kajian di lapangan.

Ketika itu masih tiada golongan B40. Kini, melalui pengukuran data, kita dapat mengenal pasti golongan sasaran yang boleh dibantu.

Miskin bandar kini menjadi fenomena agak runcing yang perlu disuntik dengan konsep untuk merubah kadar kemiskinan bandar. Inilah misi kita.

Kita akan turun dan meneroka untuk bantu masyarakat B40 sama ada di bandar atau luar bandar. Kita akan berhadapan dengan cabaran lebih luas.

Antara cabaran itu adalah untuk mewujudkan lebih ramai kumpulan agar mendapat peluang dan pertolongan.

Apa yang kita buat mengikut kesesuaian serta ia selari dasar Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan kerajaan.

AIM merupakan satu instrumen yang turut melaksanakan pelbagai program pemulihan kepada rakyat terutama berkaitan kemiskinan.

Dalam hal ini, misi AIM adalah untuk memasyarakatkan AIM itu sendiri iaitu dengan melaksanakan aktiviti outreach, berjumpa dengan semua lapisan B40, selain bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan.

Jika sebelum ini kita hanya dapat maklumat melalui penilaian di lapangan dan secara permohonan, namun kini kita gerak selangkah ke hadapan melalui program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan agensi kerajaan seperti mendekati Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta badan beruniform lain untuk mengenali pegawai berpangkat rendah yang mana isteri mereka adalah prospek terbaik untuk menjadi Sahabat AIM (Sahabat).

Kita cuba beri peluang kepada isteri yang tergolong dalam B40 dengan pendapatan RM4,500 ke bawah.

Mereka boleh mendapat pinjaman kewangan serendah RM3,000, menjadi ahli AIM, diberi pelbagai kursus, peluang memahami konsep perniagaan atau setidaknya boleh menjana pendapatan isi rumah minimum antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

Ada Sahabat yang sudah menjadi mentor kepada Sahabat lain dengan kadar pendapatan antara RM100,000 hingga RM200,000 sebulan melalui konsep yang mudah iaitu mengumpulkan lima orang ahli dalam satu kumpulan yang kami boleh bantu bukan sahaja berkaitan soal pinjaman kewangan tetapi memberi kursus dan latihan anjuran pelbagai pihak termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dan sebagainya yang mampu meningkatkan kemahiran dalam perniagaan.

Selain itu, skim pinjaman fleksibel tanpa modal dan jangka masa bayaran yang panjang tidak akan membebankan Sahabat. Pengurusan dilakukan dengan penuh sistematik.

Malah, pemantauan sentiasa dilakukan bagi mengenal pasti ahli bermasalah. Mereka akan dibantu sehingga mampu berdiri sendiri.

Berapa banyak bantuan disalurkan?

AIM sudah berada pada landasan yang betul. Sehingga Ogos 2021, kita telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM26.5 bilion yang memberi manfaat kepada 968,231 Sahabat menjadikan jumlah isi rumah yang mendapat manfaat adalah seramai 3,872,926.

Ia satu jumlah yang besar sementara jumlah Sahabat yang masih menerima pembiayaan AIM adalah 356,024 dengan jumlah baki pembiayaan RM1.7 bilion.

MENERUSI program i-Muda, modal perniagaan permulaan sebanyak RM3,000 disediakan kepada bakal usahawan khususnya golongan wanita muda. – GAMBAR HIASAN

BANTU WANITA MUDA

Siapa sasaran Sahabat AIM?

Berdasarkan jumlah dan penambahan bilangan peminjam muda, misi saya kali ini adalah untuk menambah jumlah golongan wanita muda yang berumur 18 hingga 40 tahun menjadi Sahabat menerusi program pembiayaan baharu yang dipanggil program i-Muda.

Menerusi program i-Muda ini, AIM berhasrat menjalin kerjasama dengan Kementerian Kewangan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Mereka boleh terdiri daripada siswazah hilang pekerjaan dan mengalami masalah perniagaan teruk akibat pandemik Covid-19.

Modal perniagaan permulaan sebanyak RM3,000 akan diberikan dan program ini akan memberi manfaat kepada 16,667 golongan muda.

Bagaimana dengan latihan dan program peningkatan kemahiran?

Peranan utama AIM adalah sebagai penyedia pembiayaan mikro kepada wanita golongan B40 untuk memulakan perniagaan berdasarkan kemahiran yang mereka miliki. Dengan perniagaan ini, mereka boleh keluar dari kemiskinan.

Dengan lima jenis skim pembiayaan iaitu i-Mesra, i-Srikandi, i-Wibawa, i-Sejahtera dan i-Bestari, keistimewaan kita berbanding agensi kredit mikro yang lain begitu jelas.

Kita melakukan penyeliaan rapi dengan konsep bersepadu dan kolektif tanpa kolateral dan tindakan guaman serta mereka yang disenaraihitamkan atau muflis juga layak.

Bagi memenuhi keperluan semasa, AIM mengambil inisiatif yang proaktif dengan adanya Bahagian Pembangunan Usahawan.

Peranannya membantu meningkatkan pendapatan Sahabat menerusi latihan dan bengkel yang sesuai dengan keperluan juga semasa.

Antaranya Pembangunan Sahabat Digital, Pemasaran Digital, Bimbingan Perniagaan Industri, Latihan Dana KPLB, Latihan Dana Banjir dan Bimbingan Industri Sahabat selain menjayakan Program Pembangunan Perniagaan Sahabat seperti Kempen Promosi Produk Sahabat, Pensijilan Halal, Peningkatan Pendapatan dan Program Ibu Pejabat.

Bagaimana peranan dan kepentingan pemasaran digital?

Pemasaran digital sangat diperlukan pada masa ini. Malah ramai Sahabat yang dahulunya melibatkan diri dalam perniagaan secara konvensional telah bertukar perniagaan dan mengubah juga konsep pemasaran.

Pendapatan yang diperoleh menerusi konsep pemasaran digital lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Oleh itu, kalau dilihat dari segi latihan, AIM menumpukan kepada kaedah pemasaran digital. Ia akan memberi Sahabat ruang pasaran lebih luas, dengan kos pemasaran yang rendah dan boleh dikawal selia secara terus walau di mana sahaja Sahabat berada.

Trend pembelian juga menyaksikan pembelian secara dalam talian meningkat berkali ganda. Ini memberi peluang untuk Sahabat meluaskan lagi pemasaran produk mereka.

Buat masa ini, kita sedang mengadakan kursus secara live Facebook mengenai pemasaran secara digital bermula dari mengambil gambar produk hinggalah membuat copywriting yang menarik untuk produk mereka. Ia telah dibuat sebanyak tujuh siri dan impaknya juga sangat bagus.

COVID-19

Bagaimana Covid-19 mengubah urus tadbir dan gerak kerja di lapangan?

Kami melihat pandemik ini dari pelbagai sudut berbeza. Dari segi sosialnya, ia memberi peluang untuk menyusun semula kehidupan agar lebih tertib, menjaga satu sama lain dan lebih berdisiplin serta belajar mengikut arahan.

Walaupun norma kehidupan sudah berubah, tetapi kita harus akui norma baharu inilah yang kini perlu kita patuhi dan jalani. Kita menjadi lebih prihatin dan bersederhana dalam banyak perkara.

Dari sudut ekonomi pula, mahu atau tidak kami akui ia memberi impak yang teruk kepada peniaga.

Mengambil contoh Sahabat yang berpendapatan harian, pandemik ini menyebabkan kerajaan pada peringkat awalnya perlu mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa. Tiada perniagaan bermakna tiada pendapatan. Begitu juga industri lebih besar, semua terkesan.

Di AIM sendiri, banyak perubahan yang dilakukan. Kita ubah cara biasa kita lakukan seperti mesyuarat pusat yang lebih mesra prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. Untuk rekod, sehingga Ogos lalu, keseluruhan mesyuarat pusat AIM adalah sebanyak 8,993 di seluruh negara.

Selain itu, kita memperkasakan keupayaan Sahabat untuk membayar balik pinjaman dengan pelbagai bantuan dan sokongan dari segi mental, kursus dan bimbingan serta kemudahan-kemudahan lain yang disediakan.

Kita juga mewujudkan satu pasukan (task force) diketuai oleh Pengasas AIM terdahulu, Profesor Datuk Sukor Kasim untuk mengkaji dan melaksanakan program-program bagi meningkatkan pendapatan Sahabat.

Hasil daripada gerak kerja pasukan ini akan dapat kita lihat dalam masa terdekat dan saya amat berkeyakinan dengan kepakaran yang dimiliki akan dapat membantu golongan susah ini dengan lebih berkesan.

Bagaimana menangani permasalahan Sahabat?

Selain lapan Pakej Rangsangan Ekonomi AIM yang telah sempurna dilaksanakan pada tahun lalu, AIM meringankan beban Sahabat dengan memberi moratorium secara automatik selama enam bulan setengah manakala bagi Sahabat yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PPN Fasa 1, kita beri moratorium secara automatik setiap kali perintah itu dilaksanakan. Tempoh moratorium ini adalah mengikut tempoh PKPD atau PPN Fasa 1 itu dilaksanakan.

Penjadualan semula pembiayaan (PJS) kepada Sahabat yang terkesan juga disediakan bergantung kepada tempoh permohonan.

Ada yang boleh memanjangkan tempoh pinjaman sehingga enam ke 12 bulan bergantung kepada keadaan dan keperluan.

Pada masa sama, mereka yang terkesan diberi kemudahan tangguh bayar balik pembiayaan (TBB) maksimum enam bulan untuk sekali permohonan dan boleh membuat sehingga empat kali permohonan dengan jumlah keseluruhan penangguhan sehingga satu tahun.

Tempoh yang diberi ini tidak mengambil kira moratorium yang diberi secara automatik dan tanpa sebarang caj tambahan.

Penangguhan bayaran secara bersasar ini bukan sahaja cepat dan mudah tetapi mengurangkan kerenah birokrasi.

Bagaimana memastikan projek Sahabat dapat pulih?

Selain kursus dan program untuk meningkatkan pendapatan secara digital yang sedang diperkasakan, pihak pengurusan tertinggi AIM akan turun membuat lawatan dan menyelami masalah serta membantu mereka.

Dalam situasi sekarang, Sahabat sedang dalam proses bangkit semula. Kita akan mengadakan penyeliaan lebih rapi ke atas projek-projek yang dianggap amat berpotensi dan boleh dibangunkan semula.

Program terjah ini akan dibuat hampir setiap minggu ke seluruh negara termasuk ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Program Bakul Kasih mencapai objektif?

Sehingga hari ini, seramai 26,350 Sahabat telah menerima Bakul Kasih dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.11 juta.

Program berbentuk sumbangan ini akan diteruskan sehingga tahun hadapan kerana proses pemulihan akibat pandemik mengambil masa.

Cadangan dan harapan Belanjawan 2022?

Program kami selari dengan dasar kerajaan dalam urusan membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup dan pemulihan.

Walaupun AIM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi kita berada bersama Medac dan kami telah mengemukakan permohonan melalui kementerian tersebut untuk mendapatkan peruntukan sesuai dengan situasi semasa daripada kerajaan bagi tujuan pelaksanaan misi AIM.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar memberi komitmen untuk memanjangkan permohonan ini kepada Kementerian Kewangan dan adalah diharapkan kerajaan dapat menimbangkan suntikan dana supaya AIM dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×