Apa nilai pengutusan rasul? - Utusan Malaysia

Apa nilai pengutusan rasul?

KITA mesti bermuhasabah agar sedar bahawa kita ini banyak cacat celanya. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun apabila Rabiul Awal tiba, kita akan mengingati hari kelahiran baginda Rasulullah SAW. Maka akan timbullah jua polemik dalam masyarakat, apakah boleh kita menyambut Maulidur Rasul?

Di sini, kita tidak ingin membincangkan perkara ini dengan terperinci dan cukuplah kita faham, mengingati dan mencintai Rasulullah SAW adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan. Sehinggakan baginda menyebutkan dalam satu hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari r.a. yang bererti: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah SAW) lebih kamu sayang daripada orang tuanya, anaknya dan semua manusia seluruhnya.”

Hadis ini dengan jelas menyebutkan cinta Rasulullah SAW adalah pelengkap iman. Tanpa cinta rasul tidak mungkin akan tercapainya kesempurnaan iman. Justeru, apa jua jalan untuk membenih cinta kepada Rasulullah SAW selagi mana tiada larangan syarak maka kita boleh melakukannya.

Hari ini kita ingin menanyakan diri sendiri, apakah nilai pengutusan Rasulullah SAW kepada diri kita? Pada hakikatnya, pengutusan rasul adalah rahmat kesejahteraan ke seluruh alam. Ini adalah sebagaimana mafhum firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107. Mari kita perhatikan tiga nilai agung pengutusan Rasulullah SAW yang mesti kita renungkan dan insafi bersama.

Pertama, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita hakikat pengabdian yang sebenar kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran ayat 164: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang beriman, setelah ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat). Dan sesungguhnya mereka (sebelum kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata.”

Rasul datang mengajarkan cara untuk mengenal Allah, zat yang Maha Agung, zat yang Maha Suci daripada segala kelemahan dan kekurangan. Rasul jua datang menunjukkan cara menyembah Allah yang benar. Maka menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk mempelajari ilmu-ilmu yang membawa kepada keimanan kepada Allah. Ikutlah disiplin ilmu yang telah disusun oleh ulama.

Malangnya pada hari ini, ada segelintir dalam kalangan kita mengambil jalan pintas yang akhirnya menyebabkan mereka terjebak dengan ajaran sesat. Puncanya, malas menuntut ilmu serta salah faham konsep Islam itu mudah. Hakikatnya, tiada jalan pintas untuk senang. Jadi, usahlah bermimpi di siang hari, berusahalah dengan tekun menuntut ilmu.

FACEBOOK, TWITTER

Pada hari ini juga, ramai yang menyamar sebagai ‘ustaz.’ Telitilah sebelum memilih, bandingkan dengan kumpulan majoriti kerana Rasulullah SAW ada menyebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi bererti: “Sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan umatku (iaitu umat Nabi Muhammad) di atas kesesatan. Dan pemeliharaan Allah ke atas jamaah, dan sesiapa syaz (menyalahi jamaah) bererti yang syaz itu akan masuk dalam neraka.”

Dan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bererti: “Sesungguhnya umatku tidak akan berhimpun dalam kesesatan, maka hendaklah kamu mengikut al-Sawad al-A’zam (kumpulan majoriti).” Kumpulan majoriti yang dimaksudkan adalah ilmuwan Islam atau alim ulama.

Kedua, Rasulullah SAW membawa gagasan akhirat. Banyak hadis rasul menyebutkan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat. Padahal perkara ini sangat nyata kepada kita. Rasulullah SAW selalu mengingatkan kita hal akhirat. Tetapi kenapa umat Islam pada hari ini ramai juga umpama lupa yang mereka akan mati dan mereka akan dibangkitkan semula di akhirat dan akan dipersoalkan segala tingkah laku perbuatan pada hari ini?

Umat Islam hari ini ramai yang tidak endah dengan perintah Allah, perintah kewajipan diabaikan, perintah larangan tidak dihiraukan. Segala tingkah laku perbuatan kita akan dibentangkan dengan terperinci di akhirat kelak.

Jadi, apalah nilai pengutusan Rasulullah SAW jika kita mengabaikan ajaran dibawa baginda? Nilai dimaksudkan di sini adalah pada sudut kita, bukan pada sudut Rasulullah SAW kerana nilai dan kedudukan baginda di sisi Allah adalah yang tertinggi.

Hari ini, kita mesti membuat hitungan nilai diri kita (muhasabah), agar kita sedar bahawa kita ini banyak cacat celanya. Andai kita masih berasa diri kita sempurna tiada cacat cela, percayalah sebenarnya kita sedang menipu diri kita sendiri.

Akhirnya, pengutusan Rasulullah SAW membawa satu lagi nilai yang sangat utama iaitu akhlak terpuji. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyatakan: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” Firman Allah dalam surah Qalam ayat 4 bererti: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang agung.”

Perilaku akhlak yang dibawa oleh Rasulullah SAW (ajaran Islam)menjadi tunjang kepada hidup sejahtera dan harmoni serta hidup yang penuh kasih sayang. Malangnya, kita umat Islam hari ini sangat jauh perasaan kasih sayang sesama kita. Kita gagal menonjolkan sifat-sifat mulia dalam pergaulan hidup.

Sebaliknya kita lebih gemar memburukkan, mengejek, merendah-rendahkan saudara Islam kita yang lain. Pantang ada kelemahan atau keburukan saudara kita, perkara itulah yang kita canang seantero dunia maya. Kita pantas buat hantaran di Facebook, kita juga galak membuat ciapan di Twitter. Habis merata keburukan saudara kita tersebar.

Jadi, lagi sekali, di manakah nilainya kita sebagai umat nabi teragung sedangkan perangai kita macam sampah? Tidak pernah kita cuba baiki sifat buruk kita, bahkan kita merasakan kitalah orang paling baik.

Sempena Maulidur Rasul kali ini, marilah kita tekadkan keazaman untuk menjadi umat Nabi Muhammad yang sentiasa menuntut ilmu, menjadi umat yang sentiasa memandang akhirat sebagai paksi kehidupan, menjadi umat yang mencontohi akhlak terpuji Rasulullah SAW.

Kita tidak mempunyai sebarang nilai jika kita tidak menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan.

PENULIS ialah Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×