PETALING JAYA: Peluasan tahap perlindungan penggunaan elektrik daripada 600 kepada 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan tidak seharusnya dilihat pengguna sebagai ‘lesen’ untuk meningkatkan penggunaan elektrik secara berlebihan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, walaupun langkah itu memberi kelegaan kepada isi rumah, pengguna tetap perlu mengawal penggunaan bagi mengelakkan bil meningkat.
Menurutnya, inisiatif itu dapat membantu isi rumah berdepan peningkatan penggunaan elektrik, terutama ketika cuaca panas dan jerebu.
“Namun, perlindungan sehingga 800 kWj tidak seharusnya dilihat sebagai lesen untuk menggunakan elektrik secara berlebihan.
“Walaupun ada perlindungan, semakin tinggi penggunaan, semakin tinggi juga bil yang perlu dibayar oleh pengguna,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka menikmati penjimatan sehingga RM47 sebulan atau hampir 13 peratus pada bil elektrik mulai September ini susulan pengecualian tiga caj berkaitan penggunaan elektrik.
Pengecualian itu membabitkan caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10 bagi pengguna yang menggunakan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan.
Saravanan berkata, pendidikan berkaitan kecekapan tenaga perlu diteruskan supaya pengguna memahami bahawa setiap pengurangan penggunaan elektrik tetap memberi kesan kepada jumlah bil.
“Pengguna perlu faham bahawa setiap kWj yang dapat dijimatkan tetap memberi kesan kepada bil mereka,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan penggunaan elektrik juga perlu dilihat berdasarkan puncanya dan tidak semestinya berpunca daripada pembaziran.
“Jika disebabkan pembaziran, pengguna perlu mengubah tabiat.
“Tetapi jika disebabkan cuaca panas, jerebu, cuti sekolah atau lebih ramai ahli keluarga berada di rumah, peningkatan penggunaan itu mungkin sukar dielakkan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, perlindungan pengguna dan amalan kecekapan tenaga perlu bergerak seiring bagi memastikan bantuan yang diberikan tidak menggalakkan pembaziran.
“Kerajaan memberi perlindungan apabila keadaan memerlukan, tetapi pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan elektrik secara berhemah.
“Mesejnya mudah, 800 kWj adalah perlindungan, bukan sasaran penggunaan,” katanya. – UTUSAN











