Tiba-tiba slogan kerajaan gagal terhenti - Utusan Malaysia

Tiba-tiba slogan kerajaan gagal terhenti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Namanya sering meniti di bibir rakyat yang terkenang kisah beliau menyanyi lagu hari raya bersama Datuk Jamal Abdillah. Bukan sekadar itu, baru-baru ini juga sosok ini ibarat magnet yang mengundang kritikan susulan isu ‘mi kari’, ‘pisang goreng’ dan jawatan singkat sebagai Penasihat Khas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang dimaksudkan ialah Menteri Belia dan Sukan, DATUK SERI AHMAD FAIZAL AZUMU. Terkenal dengan karakter bersahaja dan gemar berseloroh, pun tak ramai yang mengetahui hakikatnya Timbalan Presiden Bersatu ini seorang yang tegas, garang dan serius kalau bercakap bab kerja.
Soalnya, sejauh mana sikap itu dapat diterjemahkan ketika menduduki kerusi empuk sebagai menteri sekarang? Apa rancangan beliau membaik pulih kepercayaan belia terhadap kerajaan, tambahan pula ramai terkesan sosioekonomi gara-gara dibadai pandemik yang mengganas?
Ikuti wawancara disertai wartawan ROSHIHAN ANNUAR YUB dan FAHMI FAIZ ini. Turut membantu juruvideo MOHD. FIKRI FADZIL dan jurugambar AHMAD FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.

 

MINGGUAN MALAYSIA: Reaksi selaku Timbalan Presiden Bersatu berhubung langkah UMNO mahu melantik pemimpin yang masih dalam perbicaraan mahkamah bagi menjawat jawatan dalam kerajaan hari ini?
AHMAD FAIZAL: Kalau mahu bercakap tentang lantikan, polisi dan sebagainya, saya berpandangan bukan saja datang daripada kepimpinan tertinggi iaitu Perdana Menteri, tapi apabila saya sendiri yang menjaga sebuah kementerian juga, apabila mahu buat polisi, mestilah menjaga tertibnya iaitu menjaga sensitiviti rakan-rakan dalam kerajaan. Jadi jika menyentuh tentang kluster mahkamah, saya pun tak tahu siapa dalam kalangan mereka ini, tapi kita faham kerajaan yang ada sekarang ini menolak salah guna kuasa, menolak amalan rasuah, maka tentu sekali apa juga lantikan yang mahu dibuat, PM akan mengambil berat tentang perkara ini, yang secara jelas ditolak oleh rakyat secara keseluruhan. Mana mungkin seorang PM mahu buat lantikan kepada individu sedemikian.

Boleh imbas pengalaman menyaksikan episod 3 Ogos lalu, yang mendorong kejatuhan Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Apabila berlaku peristiwa 3 Ogos lalu, yang mana 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada Muhyiddin selaku PM, saya kira itu kemuncak (krisis Bersatu-UMNO). Sampai akhirnya Muhyiddin terpaksa menawarkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) kepada pembangkang, agar dapat mengekalkan sebuah kerajaan yang terpaksa mendepani krisis pandemik dan kesihatan, ekonomi serta politik yang bersekali. Jadi amat malang apabila kerajaan digugat, dan kita tak dapat memberi fokus kepada usaha menyelamatkan rakyat agar keluar daripada ketiga-tiga krisis tersebut. Bagaimanapun perkara itu telah berlaku, Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan, tetapi saya lihat beberapa perkara yang tiba-tiba sekarang ini masih terpaksa dilakukan oleh kerajaan baru, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apa perkara itu?
Tiba-tiba kempen atau slogan ‘kerajaan gagal’ seperti sebelum ini terhenti. Sedangkan yang saya lihat, barisan Kabinet yang baharu hanyalah terdiri daripada saya, wakil Pas Idris Ahmad, kemudian ada lagi dua menteri UMNO yang sebelum ini tiada dalam Kabinet Muhyiddin, tapi pernah menjadi menteri dan pernah berada dalam Kabinet. Jadi yang baru cuma dua orang, tapi tiba-tiba kita tak dengar ‘kerajaan gagal’. Jadi siapa yang buat kempen ‘kerajaan gagal’ ini? Pembangkang atau sesama kita?
Jadi saya bimbang kalau-kalau ada dalam kalangan yang mahu menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin akan cuba mempengaruhi Perdana Menteri dalam keputusan-keputusan beliau.

RENTAS PARTI
Komen pasal rentas parti?
Kalau kita sudah berjaya menjatuhkan seorang pemimpin daripada menjadi PM dan kita naikkan pemimpin lain, bermaksud kerajaan itu telah kuat atau stabil. Dengan Muhyiddin tempoh hari, katalah hanya dapat 100 sokongan, sekarang dah ada 115 sokongan, dengan 115 sokongan itu, nampaknya kerajaan ini masih memerlukan CSA atau apa yang disebut oleh Ketua Pembangkang sebagai memorandum persefahaman (MoU), kita pun sebenarnya tak berapa pasti sama ada ia adalah MoU atau CSA.
Yang kita tahu, CSA ini diikat (binding), sedangkan MoU boleh berubah, tak lebih daripada sekadar persefahaman, ibaratnya macam “okay lah, saya tak mahu gaduh dengan kamu, tapi kita tengok macam mana”. Jadi, buat apa kita mahu jatuhkan Muhyiddin kalau hasil akhirnya (outcome) sama? Yang penting dalam sesebuah kerajaan adalah hasil akhir, dan sekarang ini hasil akhirnya sama. Maka saya tak nampak di mana keuntungan dalam kesepakatan ini bagi perkara itu.

Sampai bila dasar rentas parti kerajaan-pembangkang ini?
Dari segi untuk beri pembelaan dan perkhidmatan kepada rakyat, saya harap ia berlangsung buat selama-lamanya. Tapi semua pihak mesti ambil tindakan dengan bertanggungjawab. Kalau dia dapat (peruntukan), kemudian cakap “pastikan benda ini ada cop nama saya, logo dan gambar dekat barang-barang yang mahu diagihkan kepada rakyat, adakah itu salah? Tidak. Tapi, iyalah ini isu subjektif.

PERGI MENTERI LAIN, BALIK MENTERI LAIN
Malaysia telah bertukar tiga Perdana Menteri (PM) dalam sepenggal, apa pandangan Datuk Seri?
Saya baru-baru ini pergi ke Majlis Olimpik Malaysia (MoM), saya tanya berapa kali kamu beri makan Menteri Belia dan Sukan untuk sesi perkenalan dalam satu penggal? Mereka jawab sudah tiga kali (tertawa), dengan bekas menteri Syed Saddiq, kemudian Datuk Seri Reezal Merican dan sekarang pula saya. Bayangkan, atlet yang bertanding dalam arena olimpik, yang bertanding di paralimpik, pergi menteri lain hantar, balik pula menteri lain sambut. Ini bukan satu perkara yang boleh diraikan, malah bukan mudah untuk seseorang termasuk saya serta ahli Parlimen lain yang menganggotai Kabinet, untuk segera belajar tentang memahami fungsi kementerian, kemudian laksanakan polisi jangka pendek dan panjang, bukan mudah. Setiap kali (bertukar kerajaan) kita perlu buat indeks prestasi utama (KPI) 100 hari, maka terlalu banyak perubahan ini saya fikir tidak akan menguntungkan negara.

Sebelum PRU-14, matlamat Bersatu mahu jatuhkan kerajaan BN, tapi sekarang duduk sekali dalam satu blok. Tidakkah itu ironi dan kelakar?
(Tertawa). Apakah perjuangan yang disebut oleh Bersatu itu telah tercapai? Kalau kita sebut dari awal lagi, apabila kita cuba mewakili orang Melayu, mendepani dan menjuarai permasalahan mereka, yang mana ketika itu kita lihat parti-parti yang mewakili Melayu ketika itu tidak benar-benar menjuarai, ini perspektif kita ya. Jadi daripada pandangan itu, apakah hari ini dengan baru lima tahun penubuhan Bersatu itu, maka telah tercapai cita-cita dan hasrat penubuhan kita? Saya lihat, ia bukan satu perjuangan untuk sekadar satu penggal sebaliknya perlu ada kelangsungan. Hari ini, kita bekerjasama dengan rakan-rakan yang tidak lari jauh daripada apa yang kami perjuangkan. Jadi ia bukan satu yang kelakar untuk kita memainkan peranan dalam kerajaan sekarang. Contohnya, kini kami mainkan peranan dari belakang kerana pemimpin kami tidak lagi mengepalai kepimpinan, tapi kita boleh mainkan peranan semak dan imbang dari dalam kerajaan.

JAWATAN BAHARU
Reaksi terhadap pihak yang kurang selesa infrastruktur dan pembangunan sukan menelan belanja puluhan juta ringgit setahun?
Sekarang ini mungkin rakyat berasa terkesan dengan pandemik. Ini menyebabkan keluar kenyataan seperti itu. Tapi kita kena ingat waktu tiada velodrom, di Perak rakyat keluar duit sendiri untuk buat velodrom rakyat yang digunakan sehingga hari ini. Dan sudah beberapa kali kita tukar trek. Jadi waktu tiada kita mahukan ia, waktu ada kita rasa membazir. Cuma yang saya fikir jauh lebih penting adalah apabila fasiliti itu sudah ada, kita kena gunakan. Tetapi malang bagi kita apabila ada ‘insan-insan’ yang menyelenggarakan fasiliti ini jaga sehingga orang lain tidak boleh pakai. Sedangkan kalau tidak digunakan ia jadi lagi rosak. Jadi saya kurang bersetuju jika katakan itu sebagai membazir.

Perancangan memperkasa belia yang terkesan akibat pandemik?
Saya melihat KBS perlu fokus kepada perkara-perkara yang perlu diberi perhatian lebih terutamanya program melibatkan belia termasuk graduan menganggur dan mereka yang hilang pekerjaan akibat pandemik. Program rentas kementerian perlu saya buat bagi memberi peluang lebih kepada golongan terkesan ini untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Mungkin kita oleh bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawanan, kita boleh bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, dan sebagainya. Seperti atlet juga mereka boleh ceburi bidang perniagaan dan jadi usahawan. Seperti Azizul Hasni. Saya beritahu dia kalau dia buka kedai jual basikal, semua peminat basikal akan pergi kedai dia. Sama juga seperti artis yang jual tudung, apa kena mengena dengan bidang seni? Tak ada kan?

SEPENGGAL MACAM 100 TAHUN
Memegang tiga jawatan penting dalam jangka masa singkat iaitu, Menteri Besar Perak, Penasihat bertaraf Menteri, dan kini Menteri Belia dan Sukan. Adakah ini cabaran besar?
Secara peribadinya, ini satu pengalaman amat berharga buat diri saya. Sebelum itu lagi. Tak pernah jadi calon, kemudian jadi calon DUN dan Parlimen. Kemudian menang dan jadi Menteri Besar. Pegang jawatan Timbalan Presiden dalam parti. Kemudian tiada jawatan, selepas itu jadi penasihat kepada seorang Perdana Menteri, dan terkini Menteri Belia dan Sukan. Semuanya ada perbezaan ketara. Namun yang baiknya ia memberi pengalaman berharga dan mengajar saya. Bagi saya penggal ini bagi kebanyakan pemimpin parti politik adalah penggal yang boleh memberi graduation peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah (tertawa).

Kenapa?
Kerana dalam satu penggal ini seolah pegang penggal yang berpuluh tahun. Seperti kejadian yang berlaku dalam berpuluh atau beratus tahun terjadi dalam satu penggal. Jadi mendewasakan semua orang. Jadi bagi saya memegang jawatan ini bukan sesuatu yang membuatkan kita berasa bangga, tetapi khidmat yang perlu kita tunjukkan. Saya mendoakan kepada diri saya serta seluruh ahli politik agar bangkit dan bekerja semula untuk membina negara ini.

Datuk Seri senang didekati, mungkin sebab personaliti bersahaja, betulkah?
Kalau di luar saya ini memang jenis senang didekati. Itulah saya. Saya ini macam orang kampung sikit. Saya bercakap pun cara sayalah. Minta maaflah banyak kekurangan. Tetapi ramai tidak sedar sewaktu bekerja saya seorang yang sangat serius. Dengan pegawai-pegawai saya pun kira saya dah tahap garang. Dulu ketika saya mempengerusikan mesyuarat Exco di Perak saya amat serius. Pernah saya cuba cari jalan untuk ringankan setiap perbincangan, tetapi untuk membuat keputusan dasar dan perkara-perkara penting saya cukup serius dan teliti. Tetapi kalau di luar dan bukan waktu kerja saya tidak selesa untuk terlalu robotik. Ramai orang yang lihat saya tidak sesuai sebagai seorang pemimpin, tapi saya fikir dengan sifat saya sebegitu memudahkan orang ramai rasa senang mendekati, bertanya dan minta tolong.

Bersetuju dengan undi 18?
Setuju. Cumanya kita ada tanggungjawab. Kita semua pernah berusia 18 tahun. Waktu kita berumur 18 tahun kita semua betul dan ibu bapa kita salah. Kita mesti melihat perkara ini dengan penuh tanggung ja­wab kerana kita tidak mahu undi 18 ini boleh melemahkan, merosakkan ins­titusi kekeluargaan. Kerana setakat hari ini kita lihat orang muda atau pun ne­tizen (dalam media sosial) boleh cakap seperti lontar batu sembunyi ta­ngan. Tapi kita tak mahu pula anak muda kalau diberi kuasa dia jadi se­ronok untuk menggunakan kuasa itu dan boleh terlalu ghairah, taasub de­ngan pemikiran dia sendiri hingga boleh menyebabkan dia berselisih pen­dapat dengan keluarga. Melalui KBS juga kami ingin cari jalan untuk fa­ham dan terapkan anak-anak ki­ta ini terutamanya di peringkat se­ko­lah juga yang mana kuasa yang ada pada mereka datang daripada tanggungjawab.

Reaksi terhadap komen nakal netizen susulan isu ‘mi kari’ dan ‘pisang goreng’ ketika minggu pertama Datuk Seri menjawat jawatan penasihat khas Muhyiddin?
Saya tak buat salah. Tetapi saya fikir, kalau netizen cakap pasal prestasi kerja saya, yang itu saya risau. Tetapi kalau dia cakap pasal kelakuan saya, kelemahan saya tentang perkara yang tak merugikan negara, saya tidak kisah. Saya budak kampung.

Datuk Seri pernah merakamkan lagu raya bersama artis Datuk Jamal Abdillah dan Shiha Zikir. Memang suka menyanyi dan berkaraoke?
(Tertawa) Suka. Saya tak pandai menyanyi tetapi saya suka menyanyi. Satu perkara yang boleh buatkan saya lepaskan tekanan. Buatkan saya gembira dan keluarkan hormon-hormon bahagia. Saya buat lagu itu sebenarnya sebelum PKP dengan niat mempromosi Perak. Strateginya, kalau saya buat lagu ‘Kenali Perak’, ia boleh keluar ketika itu sahaja. Tapi kalau saya buat lagu raya ia akan keluar setiap hari raya. Saya keluarkan kos sendiri RM30,000, bukan duit kerajaan, dan ia berkekalan untuk 100 tahun. Untung ke rugi? Sedangkan dalam Youtube sudah berjuta orang tengok. Saya dah dapat pun bayaran dan pulangannya. Jadi itu bukan salah. Waktu itu saya fikir kalau Jamal Abdillah nyanyi adalah perkara biasa. Shiha Zikir menyanyi juga perkara biasa. Menteri Besar menyanyi? Haa…jadi orang tengok. Jadi dapat jumlah tontonan tinggi. Kalau pun orang marah atau mengata, itu adalah promosi dan publisiti berkesan.

Datuk Seri dilabelkan sebagai kuat semangat orang Perak. Komen apabila pasukan bola sepak Perak turun dari Liga Super ke Liga Premier?
Komer ni betoi ler (tertawa). Memang sedihlah. Saya ini dulu kalau tengok pasukan Perak main bola mesti conteng muka bendera Perak. Punyalah fanatiknya. Waktu itu pula bujang. Kita pula mahu tunjuk dengan orang lain yang kita lagi fanatik daripada mereka. Tapi bila pasukan turun ke liga premier memang tak pernah terjadi sebelum ini. Memang sedihlah. Kena pula bila tahun ini kita sambut 100 tahun penubuhan kelab atau pun persatuan. Jadi memang terlalu sedih. Tapi saya yakin pasukan ini akan bangkit semula, dengan berkat doa semua penyokong. Dan bersaing di peringkat tertinggi semula.

Hobi dan sukan di waktu lapang?
Sekarang ini ramai kawan ajak main golf, jadi saya main golf lah. Saya juga suka main squash. Tapi kalau mahu main hoki, tiada tempat dan tiada kawan. Hobi saya pula suka baca biografi dan ada waktunya saya suka tengok dokumentari di Youtube.

GAJI PENASIHAT
Komen berhubung pihak yang kini bangkitkan soal gaji dan jawatan penasihat khas bekas Perdana Menteri dalam tempoh singkat?
Mereka tak salah, dan saya ber­­se­tuju dengan mereka yang bang­kitkan perkara tersebut. Namun ma­lang bagi diri saya pula, kerana ha­ri yang mana saya hantar surat ke­­pa­da Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk memotong gaji saya seba­nyak 50 peratus setiap bulan agar disumbangkan kepada tabung Covid-19, ialah pada hari yang mana kerajaan pimpinan Muhyiddin jatuh apabila beliau letak jawatan sebagai PM.

Maksudnya hari itu hantar surat kepada KSN potong gaji, hari itu juga kerajaan tumbang?
Ya, salah Setiausaha Sulit Kanan lah ini (tertawa). Apa pun terima kasih kepada semua netizen yang membuat teguran itu, saya bersetuju dengan mereka, kerana saya belum berikan perkhidmatan yang banyak lagi dan sebagainya, namun dapat pula gaji RM27,000 campur lagi prorata, mungkin dapat lebih lagi sikit. Saya berhasrat memulangkan keseluruhan penerimaan itu kepada tabung Covid-19. Minta maaf, kepada semua yang mengata saya itu, saya ampunkan. Andai saya tersilap cakap, saya mohon ampun. Tapi yang penting bila kita boleh ampun-mengampuni, akhir sekali kita bekerjasama semula, insya-Allah usaha untuk kita membangunkan negara ini dapat dijalankan dengan baik tanpa mengira parti, agama dan bangsa. – Mingguan Malaysia

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN