MUKADIMAH
SETIBANYA di tanah air pada 9 Ogos lalu, jaguh berbasikal negara, DATUK AZIZULHASNI AWANG berkongsi tekadnya untuk kembali bertarung memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Kegagalan membawa pulang kilauan emas di Tokyo 2020 tidak mematahkan semangat pelumba berusia 33 tahun yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman ini untuk terus mengungguli acara keirin di pentas Olimpik terakhirnya, sebelum bersara kelak.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF bersama jurugambar, PUQTRA HAIRRY ROSLI di Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini, beliau mengupas mengenai Tokyo 2020 dan Paris 2024 di samping soal keluarga dan akademiknya.
PARIS 2024
Utusan: Pentas terakhir sebelum bersara
AZIZULHASNI AWANG : Saya akan buat persediaan ke Olimpik Paris, kemungkinan yang terakhir dengan misi memburu emas. Selepas itu, saya ada beberapa perancangan tetapi tidak boleh dikongsikan lagi. Namun, perancangan jangka pendek saya mahu menghabiskan pengajian peringkat ijazah yang berbaki setahun lagi di Universiti Victoria, Melbourne, Australia.
Latihan
Balik ke Australia, saya terus berlatih. Saya tiada cuti pun untuk mengekalkan prestasi walaupun sesi kelayakan bermula pada 2023.
Usia bukan halangan
Dari segi fisiologi, mungkin usia ada memberi kesan kepada prestasi atlet tetapi saya tidak nampak itu sebagai isu. Soal pemakanan sentiasa dijaga di samping perlu kekal konsisten termasuk memperbaiki jika ada apa-apa kesilapan lalu.
Antara pecut dan keirin
Of course kita akan cuba layak dalam kedua-dua acara tetapi bagi saya, peluang untuk membawa pulang emas adalah pada keirin. Jadi, fokus saya mungkin lebih ke arah itu sebab pecut saya ada kekurangan dari segi saiz badan. Oleh itu, saya tidak meletakkan sasaran bagi pecut, mungkin bagi peluang pada pelumba muda dan saya fokus kepada satu perkara sahaja.
Perancangan 2022
Bulan depan (Oktober) ada kejohanan dunia di Paris tetapi untuk tahun ini, saya cuba kurangkan perlumbaan sebab persiapan Olimpik Tokyo very intense dan pressure sepanjang lima tahun kita buat persediaan. Kejohanan besar saya tahun depan, insya-Allah Sukan Komanwel dan Sukan Asia, diharapkan saya dapat beraksi cemerlang di situ.
Kontrak John Beasley
Saya rasa sekarang peratusan untuk sambung cerah cuma masih lagi di peringkat perbincangan oleh Kementerian Belia dan Sukan (dan Majlis Sukan Negara. Sudah tentu saya masih perlukan beliau (Beasley) untuk Olimpik Paris, kalau tidak saya panggil beliau balik Terengganulah.
TOKYO 2020
Final keirin
Benda pertama yang saya nampak adalah disebabkan jarak yang diberikan pelumba Australia. Kalau saya berada di kedudukan dua atau tiga, insya-Allah saya memang kejar terus. Cuma saya duduk belakang sangat iaitu di nombor lima dan nak pergi memang very risky.
Nature keirin memang begitu sebab kita berlumba enam orang dan banyak sangat taktikal dalam perlumbaan, kadangkala ada benda di luar kawalan.
Peluang emas tipis sudah dijangka
Ketika dua lap sebelum tamat, saya sudah nampak peluang untuk menang emas tipis, jadi amat penting untuk saya buat pengurusan risiko. Kalau saya tiada pengalaman, gelabah dan terus kejar, mungkin pingat perak pun terlepas. Apabila nampak keadaan begitu, saya terus ubah plan dan go for the best, Alhamdulillah, pelan itu berjaya menerusi pingat perak.
Cabaran temasya sukan dalam suasana Covid-19
Banyak cabaran. Pertamanya kerana Olimpik tertangguh lebih setahun, jadi sangat menguji mental dan fizikal atlet menerusi persediaan selama lima tahun di samping kekangan tidak boleh berlatih kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping terpaksa berjauhan lama dengan keluarga.
BERBAKTI KEPADA TERENGGANU
Mentor-mentee
Saya percaya atlet Terengganu mempunyai banyak kredibiliti untuk berjaya di peringkat tertinggi, malah di Sukan Malaysia (Sukma) pun kita sangat cemerlang. Insya-Allah, apabila sudah bersara, saya akan cuba bantu sebaik mungkin sebagai sumbangan saya kepada Terengganu.
Akademi Azizulhasni di Terengganu
Insya-Allah, satu idea yang menarik, of course saya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan akan sampai waktunya nanti saya sumbangkan idea dan tenaga kepada Terengganu yang banyak membantu saya.
KELUARGA
Pencetus semangat
Dalam sukan, salah satu kunci untuk berjaya ialah pengorbanan, diikuti kekuatan mental. Perjalanan ke Olimpik Tokyo tidak mudah dan sebagai orang Islam, saya banyak bergantung kepada Allah SWT. Saya pula jenis tidak mudah mengalah dan percaya cabaran meninggalkan keluarga di Australia dan di Dungun ada hikmahnya, kita just move forward dan keep fighting.
Isteri hamil anak ketiga
Sekarang kandungan isteri sudah lebih tiga bulan, tetapi kali ini sickness teruk sedikit sampai lembik badan. Kalau boleh saya nak balik terus tetapi banyak kekangan kerana hanya boleh pulang selepas mendapat kebenaran. Mujurlah ada kawan-kawan dan jiran yang bantu memasak serta memberi makanan.
Rutin hantar hadiah kepada anak
Setiap hari saya buat panggilan video sebab terlalu rindu mereka. Anak nombor dua walaupun manja tetapi kurang merajuk berbanding kakaknya. Sebagai ayah, saya cuba sebaik mungkin untuk menggembirakan anak-anak, kadang-kadang saya hantar hadiah sebab sekarang senang beli secara online. Terbaharu sebelum ke Tokyo, saya belikan beberapa mainan untuk mereka.
Anak ikut jejak langkah
Saya tidak menetapkan apa-apa dan sentiasa menyokong minat anak-anak. Ketika ini mereka sudah didedahkan dengan renang dan taekwondo sebelum memperkenalkan sukan lain. Kadang-kadang pada waktu petang kami turut berkayuh.
Paling dirindukan di Malaysia
Tentunya ibu bapa dan adik-beradik sebab jarang boleh berjumpa. Selain itu, saya rindu semua masakan emak terutama nasi dagang dan pulut lepa (pulut panggang).
Pengurusan masa
Jadual memang padat kerana latihan high level tetapi saya cuma seimbangkan antara latihan, pelajaran dan masa bersama keluarga. Jadi, memang tiada waktu untuk saya melepak. Kalau ada ruang rehat selepas pertandingan, saya dan keluarga akan melakukan aktiviti outdoor ke pantai atau hutan. Jika ada jemputan majlis rakan-rakan, kita pulang terus selepas selesai. Bagi saya, pengurusan masa amat penting untuk saya fokus kepada komitmen.
AKADEMIK
Sambung sarjana, PhD
Harapnya selepas selesai Ijazah Sarjana Muda Kecergasan Klinikal dan Sains, saya dapat menyambung sarjana pula tetapi bidangnya saya belum pasti lagi. Kalau boleh saya nak sentiasa belajar dan tawaran biasiswa peringkat doktor falsafah (PhD) yang diterima cukup menarik kerana saya boleh menyambung pengajian selepas bersara dan anak-anak sudah besar.
Pensyarah masa hadapan
Sebenarnya saya suka mencurahkan ilmu secara formal atau tidak formal tetapi buat masa ini belum ke arah itu (pensyarah). Pada masa hadapan saya tidak tahu apa akan berlaku.
PENCIPTA KANDUNGAN
Azizul Awang dapat sambutan
Kandungan yang dikongsikan sekadar suka-suka bukan bermaksud mahu jadi Youtuber. Saya buat untuk kelainan sebab tiada atlet buat begitu dan paling penting saya mahu memberi maklumat tepat kepada masyarakat terutama berkaitan sukan basikal dan persiapan ke Olimpik Tokyo lalu. Tidak sangka mendapat sambutan hingga ramai menunggu next video.










