Rasional Thailand ‘halalkan’ ketum - Utusan Malaysia

Rasional Thailand ‘halalkan’ ketum

LADANG ketum berskala besar memang dan telah lama wujud di kawasan pedalaman Kedah dan Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI teruja selepas mendapat berita Thailand mula ‘menghalalkan’ ketum sejak 24 Ogos lalu. Sudah tentu laporan demikian mendapat perhatian meluas masyarakat kita terutama golongan petani dan ‘pengguna’ tegar ketum.

Di kawasan utara tanah air, ketum atau nama saintifiknya mitragyna speciosa bukan sahaja boleh didapati dengan mudah kerana selain tumbuh secara semula jadi, ia juga sudah sebati dengan penggunaan masyarakat setempat.

Tidak keterlaluan dikatakan ladang ketum berskala besar memang dan telah lama wujud di kawasan pedalaman Kedah dan Perlis. Ini seolah-olah menjadi rahsia terbuka sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Berikutan perkembangan tersebut, agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) khabarnya turut mengambil langkah melipatgandakan penugasan pemantauan di sempadan Malaysia-Thailand untuk mengekang individu atau kumpulan sindiket penyeludupan ketum.

Pada masa sama, terdapat juga cadangan agar kerajaan Malaysia menimbang kebenaran menanam ketum secara ‘halal’ susulan langkah Thailand tersebut. Salah seorang pemimpin yang sentiasa konsisten dengan cadangan ini ialah Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia). Beliau sebelum ini sudah beberapa kali mengutarakan idea sedemikian.

Menurut Zahidi, tanaman ketum bukan sahaja mampu memberi kebaikan dari segi perubatan malah berupaya meningkatkan pendapatan lebih dua juta pekebun kecil di luar bandar. Beliau yang juga bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memberikan hujah bahawa ketum mempunyai permintaan eksport tinggi di luar negara.

Selain ketum, beliau seperti mana dilaporkan oleh media pada 29 Ogos lalu turut mencadangkan kerajaan membenarkan tanaman hemp iaitu sejenis kanabis yang tidak mengkhayalkan.

Berbalik kepada kedudukan undang-undang di Thailand, larangan terhadap ketum atau dalam bahasa Thai, kratom sebenarnya mula dikuatkuasakan di negara itu sejak 78 tahun lalu menerusi Akta Tanaman Kratom B.E. 2486 (1943). Bahan terlarang itu kemudiannya dimasukkan dalam senarai dadah berbahaya di bawah kategori 5 Akta Narkotik B.E. 2522 (1979).

Menerusi undang-undang tersebut, sebarang penggunaan, penanaman, pengeluaran, pemilikan, pemerdagangan dan pengedaran ketum adalah dilarang sama sekali.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda antara 10,000 baht (RM1,250) hingga 500,000 baht (RM62,500) atau penjara antara setahun hingga 15 tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, pada 26 Mei lalu, kerajaan Thailand mengorak langkah memberikan nafas baharu terhadap ketum dengan mewartakan Akta Narkotik (No. 8) B.E. 2564 (2021) dan mula menguatkuasakannya pada 24 Ogos lalu. Dengan itu, ketum telah dikeluarkan daripada senarai dadah berbahaya. Ringkasnya, pengeluaran dan pemilikan serta pengedarannya kini tidak lagi menjadi kesalahan.

Sungguhpun begitu, tindakan mengadunkan dan modifikasi ketum dengan bahan kimia lain seperti ubat batuk, ubat nyamuk dan cecair mengkhayalkan atau dikenali sebagai sii koon roi (4 X 100) masih menjadi kesalahan serius.

GANJA

Sewaktu menjelaskan rasional tindakan ‘halalkan’ ketum, Menteri Kehakiman Thailand, Somsak Thepsuthin menegaskan, tanaman terbabit sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat sejak sekian lama.

Tambahan pula, bahan tersebut tidak dikategorikan sebagai dadah dalam Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961) yang ditandatangani serta diratifikasikan oleh kebanyakan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, penggubalan undang-undang baharu mengenai ketum dibuat selaras dengan corak pemikiran mengenai dadah berbahaya dalam kalangan komuniti antarabangsa yang kini banyak berubah. Ini termasuklah kecenderungan pelbagai negara yang dilihat lebih berkompromi dengan ketum dan hemp malah ganja.

Lebih penting lagi, Thailand melihat wujud potensi sangat besar dari segi peluang penjanaan ekonomi dan pasaran antarabangsa. Negara-negara seperti Denmark, Latvia, Poland, Lithuania, Sweden, Belanda, Indonesia, England dan Amerika Syarikat yang kini ‘menghalalkan’ ketum merupakan sasaran utama.

Pada masa sama, Thailand turut berusaha memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan moden dan tradisional menerusi penggunaan bahan-bahan tempatan. Antara kejayaan terbaru ialah penghasilan vaksin ChulaCov19 dan Baiya Vaccine serta usaha menggalakkan penggunaan herba fah talai jone (hempedu bumi) sebagai alternatif rawatan kepada penularan pandemik Covid-19.

Sungguhpun begitu, negara gajah putih tersebut kini khabarnya dalam peringkat akhir untuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang subsidiari baharu berkenaan pengedaran ketum secara domestik, komersial dan eksport. Ini termasuklah pengenaan sekatan tertentu terhadap pengguna bawah umur. Maknanya, masih wujud mekanisme yang seimbang antara kebebasan dan larangan dalam penggunaan ketum.

Di Malaysia, secara ringkasnya kita mempunyai cerita dan versi undang-undang ketum sangat berbeza dengan Thailand. Di sini, ketum bukanlah dadah. Sebaliknya, ia disenaraikan sebagai psychotropic substance di bawah Akta Racun 1952 (Akta 366). Seksyen 30 Akta 366 memperuntukkan sebarang aktiviti berkaitan pemilikan, penjualan, pemindahan, pemprosesan, import atau eksport ketum merupakan suatu kesalahan.

Sabit kesalahan seseorang itu boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 30(5) Akta 366 iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

Satu lagi perkara agak menarik ialah penanaman pokok ketum tidak menjadi kesalahan dan tidak terdapat sebarang undang-undang melarang tanaman itu. Dari aspek penagihan juga, tidak banyak terdapat akta yang membantu pihak berkuasa sama ada berkaitan penguatkuasaan mahupun pendakwaan.

Meskipun terdapat banyak usaha atau cubaan menggubal undang-undang dengan memasukkan ketum dalam senarai dadah berbahaya, namun setakat ini masih belum berhasil dan dipercayai sukar dilaksanakan. Dengan kata lain, banyak kekangan dan pertimbangan perlu dibuat.

Natijahnya, perubahan masa dan corak pemikiran akan mempengaruhi keputusan masyarakat dalam menentukan kewajaran ‘menghalalkan’ ketum atau sebaliknya. Apa pun, diharap sebarang pertimbangan yang bakal dibuat akan mendatangkan keuntungan kepada semua pihak.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia selama 15 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×