MUKADIMAH
ENTAH mana silapnya, Perlis yang sebelum ini selesa dengan status hijau dan kerap merekodkan angka sifar Covid-19, kini mula menunjukkan peningkatan ketara wabak berkenaan.
Tidak mudah melatah dengan situasi tersebut, kerajaan negeri mengatur pelbagai strategi bagi mengekang penularan wabak di samping terus memperkasakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI, Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, AZMAN MOHD. YUSOF berkongsi pandangan dan pelan kerajaan negeri dalam menangani pandemik ketika ditemui di pejabatnya di Kangar, baru-baru ini.
UTUSAN: Adakah kerajaan negeri bersedia dari segi logistik, penguatkuasaan, fizikal dan mental dalam berdepan gelombang Covid-19?
AZMAN: Peningkatan kes Covid-19 di Perlis mula meletus pada Ogos lalu. Kalau dilihat bulan sebelumnya, kedudukan kita agak baik dengan jumlah kes hanya merekodkan satu digit. Tapi apabila masuk Ogos, berlaku peningkatan khususnya di Kuala Perlis.
Kerajaan negeri memang bersedia berhadapan peningkatan kes dengan menyediakan beberapa strategi seperti meningkatkan penguatkuasaan, perhebatkan vaksinasi, pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dan hebahan maklumat vaksinasi melalui pelbagai saluran supaya rakyat tahu kedudukan sebenar kita.
Di sekatan jalan raya (SJR), pihak polis memperkenalkan beberapa proses baharu seperti mengimbas kod tertentu untuk mengetahui mana-mana individu yang masuk setelah mendapat kelulusan dan tahu ke mana mereka pergi.
Kita juga memperkasakan kumpulan komuniti seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menyampaikan maklumat sekiranya terdapat mana-mana individu atau kumpulan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Selain itu, kita juga berbincang dengan IPG untuk membuka PKRC baharu yang akan beroperasi dalam masa terdekat dengan kuantiti katil sebanyak 200.
Adakah gelombang peningkatan kes positif Covid-19 dijangka berlarutan?
Ada jangkaan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan di peringkat Persekutuan yang mana kita akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya Oktober ini.
Maknanya, kes meningkat buat masa ini dan dalam bulan ini ia akan sampai satu kemuncak dan akan menurun selepas itu. Jangkaan menurun ini mungkin berlaku pada Oktober dan November.
Kita harap ia akan terus menurun dan tidak ada lagi varian-varian ganas seperti Delta dan Lambda kerana ia boleh memberi perubahan dalam strategi ditetapkan. Ini kerana apabila keluar sesuatu varian baharu, ancamannya lebih hebat daripada varian sebelumnya. Tapi kenaikan dan penurunan selepas itu kerana ada hubung kait dengan jumlah vaksinasi. Lagi tinggi vaksinasi, lagi kurang Covid-19 dan begitulah sebaliknya.
Apa langkah-langkah pencegahan bagi memastikan kes terkawal?
Banyak maklumat antara pihak berkuasa dan agensi kerajaan serta masyarakat dikongsikan supaya rentas negeri tidak sah dapat diambil tindakan sewajarnya. Pada masa sama, sempadan negeri diperketatkan. Jadi, kita biar pihak berkuasa menguruskannya kerana mereka lebih mengetahui cara dan kaedah bersesuaian.
Bila ada maklumat daripada orang kampung yang ada orang luar datang, maka kita akan hantar maklumat itu kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan di bawah akta berkaitan.
Bagaimana tahap pematuhan SOP dalam kalangan penduduk?
Tidak dinafikan, sebelum peningkatan kes, kita mengenal pasti jumlah penduduk yang mematuhi SOP sangat tinggi. Mungkin pada ketika awal 2020, kita tidak ada vaksin.
Bila kita tidak ada vaksin, orang ramai takut dan mereka patuh untuk sentiasa kekal duduk di rumah sahaja.
Tetapi bila status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beralih kepada Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), ditambah pula dengan pembukaan ekonomi dan pemberian vaksin, ramai yang beranggapan terdapat sedikit kebebasan.
Ada yang berpandangan, tak perlu pakai pelitup muka dan boleh berkumpul. Rakyat dah mula rasa selesa. Sebenarnya apabila masuk fasa mana sekalipun, tidak ada dalam mana-mana keputusan yang mengatakan SOP itu dilonggarkan.
Dari segi penguatkuasaan, adakah lebih ketat terutama di kawasan-kawasan kes jangkitan tinggi?
Ya. Sebenarnya pihak berkuasa ada cara-cara mereka dalam membuat pemantauan. Kalau mereka kata perlu buat SJR, mereka akan buat seperti di Kuala Perlis sebelum ini.
Bila tidak ada SJR, tidak bermakna mereka tidak pantau. Polis ada cara mereka termasuk turun padang untuk mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat dan sebagainya.
Adakah kerajaan negeri bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan berkenaan?
Kita akan melaksanakan PKPD mengikut syarat yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan apabila Kerajaan Persekutuan membenarkannya.
Kita boleh bagi input kepada Kerajaan Persekutuan mengenai situasi semasa. Kebiasaannya bila sesuatu kawasan itu dikenal pasti berisiko oleh JKN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), maka mereka melaporkan kepada kerajaan negeri. Kerajaan negeri akan bawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jika dipersetujui akan dibawa ke peringkat pusat serta peringkat-peringkat seterusnya.
Kita tidak boleh terus tutup kerana jika PKPD dilakukan tanpa proses undang-undang tadi, kerajaan negeri boleh disaman oleh pihak tertentu kerana tidak mematuhi peraturan.
Adakah Perlis boleh beralih ke Fasa 4 PPN dalam keadaan sekarang?
Kita belum lagi bersedia untuk ke Fasa 4 kerana beberapa faktor termasuk jumlah kes yang belum turun selain kadar kebolehjangkitan masih tinggi. Kita mendengar keluhan rakyat untuk jangan terlalu ghairah membuka ekonomi dan aktiviti sosial sedangkan kita dalam keadaan terdedah pada bahaya.
Biarlah kita tumpu dahulu pada proses vaksinasi dan disiplin dalam pematuhan SOP.
Bila dijangka dapat beralih ke fasa seterusnya?
Perlis akan beralih ke fasa seterusnya apabila kita sudah memenuhi keempat-empat atau lima indikator iaitu kes yang rendah, kebolehjangkitan rendah, bilangan katil di hospital tidak sampai pada tahap maksimum dan sebagainya. Walaupun memenuhi indikator ini, tahap risiko akan dikaji sehingga disahkan pihak berkenaan sama ada kita mampu naik ke Fasa 4, maka kita akan bersedia.
Jika dilihat pada trend, kerajaan negeri menetapkan kita akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini. Kemungkinan semua akan berada di Fasa 4 pada Oktober dan November.
Bagaimana perkembangan pemberian vaksin?
Kita sentiasa mengharapkan kepada penambahan vaksin supaya kita dapat meningkatkan lagi dos kerana kita mempunyai pelbagai kaedah seperti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam, swasta dan secara bergerak melibatkan pelbagai agensi. Ini menunjukkan kita mampu untuk memberi dos vaksin yang lebih tinggi kepada masyarakat dan dipercepatkan. Diharapkan dos itu jangan dikurangkan. Buat masa ini, secara purata kita mampu memberikan 3,500 dos setiap hari.
Bermula 1 September lalu, Perlis membuka PPV Kubang Gajah secara jumpa terus. Adakah ini membantu mempercepatkan proses mencapai imuniti kelompok?
Ya, ia akan mempercepatkan. Baru-baru ini, bila kita buka PPV secara mobiliti, jumlahnya mencecah sehingga 4,000 ke 4,500 dos sehari. Apatah lagi bila dibuka PPV Kubang Gajah ini bagi menggantikan PPV Dewan Warisan, ia dapat meneruskan lagi momentum pemberian vaksin.
Apa langkah-langkah diambil bagi memastikan tidak berlaku kesesakan seperti di sesetengah PPV jumpa terus?
Saya sudah tengok dewan yang disediakan untuk dijadikan PPV dan telah berbincang dengan JKN. Dengan bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan PDRM, sistem pemberian vaksin ini dapat dikawal.
Jadi, tidak ada isu seperti apa yang berlaku di Lembah Klang. Di Perlis, tidak sepatutnya berlaku begitu kerana penduduknya bukannya seperti di sana.
Masih ramai lagikah penduduk yang belum mendaftar MySejahtera?
Sehingga 30 Ogos lalu, sebanyak 91.6 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Jika melibatkan keseluruhan 254,900 penduduk di negeri ini pula, 71.1 peratus daripadanya sudah pun mendaftar.
Komen apabila ada dalam kalangan guru enggan mengambil vaksin sekali gus boleh mengganggu proses pembelajaran secara bersemuka?
Perkara ini kita telah rujuk dengan Jabatan Pendidikan Negeri dalam mesyuarat MKN negeri baru-baru ini. Kami minta mereka supaya menasihati guru-guru yang dikatakan belum bersedia untuk menerima vaksin. Masing-masing ada alasan tersendiri. Ada yang kata belum bersedia, takut dan tidak yakin. Namun saya difahamkan, kementerian sedang berusaha untuk memberikan mereka maklumat dan cuba beri keterangan supaya mereka yakin untuk menerima vaksin.
Ini kerana mereka akan terlibat dalam proses pembelajaran bersama para pelajar dan kebolehjangkitan itu boleh berlaku. Diharapkan semua memperoleh fakta daripada sumber yang sah. Ramai terpengaruh dengan apa yang ditulis di media sosial dan tidak tahu kebenarannya.
Dalam berdepan situasi penularan pandemik, bagaimana kerajaan negeri memastikan kebajikan rakyat tidak dilupakan?
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah pengangkutan kepada mereka yang tiada kenderaan untuk datang ke PPV. Bagi mereka yang terlibat dengan kuarantin pula, kita akan datang menghantar makanan jika mereka tidak mempunyai bekalan.
Ekonomi juga kita benarkan beroperasi termasuklah makan di kedai setelah kita memasuki Fasa 3 dengan syarat ada penjarakan fizikal dan sebagainya.
Nasihat kepada orang ramai?
Saya yakin sekiranya penduduk membaca maklumat yang betul, sentiasa berdisiplin mematuhi SOP, bekerjasama dengan kerajaan dan berfikiran positif dalam proses vaksinasi, kita akan keluar daripada kemelut Covid-19 dengan lebih cepat walaupun pandemik dijangka berada dalam kehidupan kita pada masa depan.










