ORANG tua-tua sentiasa berhati-hati memilih nama untuk bayi. Selain sedap didengar, makna juga diberi perhatian. Nama menjadi identiti diri dan mampu meningkatkan keyakinan diri individu.
Saya menghubungi sejumlah rakan kaum India untuk bertanyakan makna nama mereka. Harus difahami, selalu juga ejaan berubah mengikut masa. Kadang-kadang makna juga mengalami perubahan.
Harvintha Reddy menyatakan, namanya membawa beberapa makna seperti arif, teratai, hikmah dan kacak. Dia juga memberi contoh nama Athinarayanan yang merujuk kepada Dewa Vishnu dalam agama Hindu.
Subashini a/p Thiyagarajan merujuk kepada individu lemah lembut tutur bicara. Mohanakrishna membawa makna Dewa Krishna yang mengasyikkan atau menggoda. Kavinesh ialah ketua penyair dan pujangga, manakala Ramachandran watak utama dalam epik Ramayana bermakna bulan yang menggoda.
Seterusnya, Ezhilarasi bermakna ratu yang cantik dan nama bapanya, Velautham adalah gabungan lembing (vel) dan senjata seperti yang dimiliki Dewa Muruhan di kuil Batu Caves. Vijaya atau Vijayal membawa makna kejayaan dan Chandrakumari bermakna puteri bulan.
Nama Elango merujuk kepada putera dan Ilavarasi, puteri. Tiru Mohan menggabungkan kata cantik/kacak dan terhormat (Tiru) serta menggoda (Mohan). Prema bermakna cinta atau kasih, manakala Deepti membawa makna cahaya atau sinaran. Nama Mukhundh satu lagi nama Dewa Vishnu bermakna pemberi pembebasan (mukti).
Seorang lagi rakan, namanya Ghanthimathi. Ghanthi bermaksud cahaya, matahari atau sinaran manakala Mathi merujuk kepada kebijaksanaan dan daya intelek. Satu lagi nama, Nirmalan membawa makna insan yang bersih, suci, tidak ternoda. Dari situlah muncul perkataan ‘nirmala’ dalam bahasa Melayu.
Nama Jeeva Kasthuri menggabungkan jiwa atau roh dengan wangian kasturi. Ganesh atau Ganesan adalah nama popular bagi bayi lelaki dalam kalangan orang Hindu kerana merujuk kepada dewa berkepala gajah. Prakash atau Pragasam membawa maksud cahaya atau bercahaya.
Bagi Rupasree a/p Ganesan, namanya membawa makna individu yang memiliki rupa cantik. Gayethri merujuk kepada dewi yang dikaitkan dengan kitab Veda. Ada juga mantera penting yang dinamakan Gayathri. Danesh merujuk kepada dewa kekayaan dan pengetahuan.
Turut berkongsi contoh nama ialah Mahesvaran merujuk kepada Dewa Shiva, manakala versi wanita ialah Maheswari. Thenmozhi membawa makna bahasa seperti madu,
Panchavarnam adalah gabungan lima (panca) warna (varnam), manakala Poongaavanam bermakna taman bunga.
Sivabarathi a/p Munikanan merujuk penyair yang menyampaikan lagu memuja Dewa Shiva. Dia memberi contoh nama Kalaiselvi (pakar kesenian) merujuk kepada Dewi Saraswathi, Sanmitra (teman yang baik), Shakti (kuasa, sakti) dan Rishi (pendeta).
Turut berkongsi makna nama ialah Nageinthini a/p Tewarajan merujuk kepada ular betina yang ada kuasa ajaib. Ananthan atau Anandham merujuk kepada kebahagiaan atau kegembiraan. Sementara itu, Prabhakaran merujuk kepada cahaya atau api (prabha) yang menyinar terang.
Ada juga rakan-rakan saya beragama Kristian mengekalkan unsur nama India sebagai identiti budaya. Misalnya, Joanne Renu Alexander menceritakan, renu atau renuga bermakna butir tanah. Secara simbolik merujuk kepada Dewi Durga yang dianggap ibu bagi tanah (bumi). Nama Shoba membawa makna cerah dan bercahaya. Thevy atau Devi adalah nama lazim bagi wanita bermakna berkedudukan tinggi dan mulia. Nageswari pula dewi ular.
Nala Venthan a/l Arojunan berasa bangga kerana namanya merujuk kepada seorang raja (venthan) bernama Nala dari kerajaan Kushwah. Kisah Nala dan isterinya, Damayanti ada dalam epik Mahabharata. Arojunan atau Arjunan merujuk kepada watak pemanah hebat dalam Mahabharata dan Bhagavad Gita. Nama Anjalai merujuk kepada wanita sopan dan pekerti mulia. Siva Nesan membawa makna pengikut atau pencinta Dewa Shiva, manakala Inbanesan bermakna individu yang mencintai kegembiraan dan kebahagiaan. Nama Devendran merujuk kepada Dewa Indra, ketua dewa-dewi dalam mitos Hindu. Ezhil Oviya membawa makna lukisan yang cantik.
Jayasri a/p Ramuloo memberi contoh nama anaknya, Hamshyaleykha yang juga membawa makna lukisan cantik. Nama Jayasri pula membawa makna kejayaan gemilang.
Chelvi a/p Ganesan boleh berbangga kerana namanya membawa makna cik dan merujuk kepada 16 harta (selvam) dalam kehidupan manusia. Nama Punitha merujuk kepada wanita yang suci, mulia dan bermoral.
Kabilan (satu lagi nama Dewa Ganesha) berkongsi nama Kathiravan (matahari yang terbit), Geetha (lagu, puisi), Kavitha (puisi, sajak), Ethayarajan (raja di jantung/jiwa), Palaniappan (Dewa Murugan di Palani, Tamil Nadu) dan Ilamaran (raja muda, putera).
Bagi Malini Lakshmi Bai, namanya merupakan gabungan nama Dewi Saraswathi dan Durga yang memakai kalungan malai (malini), Dewi Lakshmi (kekayaan) dan Janshi Rani (Lakshmi Bai) iaitu tokoh sejarah India. Nama lain yang dikongsi ialah Balasubramaniam (Dewa Murugan semasa kanak-kanak), Arvin (teratai merah), Kaaviyaveni (dewi kesenian) dan Tharan (pelindung adil).
Nama Pooveneswary membawa makna Dewi Bumi, Rassmitha (sinar cahaya), Yohanayagy (wirawati bertuah), Thiruneelakandar (Dewa Shiva berleher biru) manakala Narchonai (emas bermutu, ibu kepada Raja Cheran dalam epik Silappatikaram). Murali Mohan berkongsi nama Valli membawa makna pokok keladi menjalar, juga nama isteri Dewa Muruhan.
Nama Suwedan a/l Sellappan bermaksud insan berjiwa suci dan bersih. Suvarna Krishnan merujuk kepada emas, Theenarachigee (pelindung daya intelek), Vasuki (raja ular di leher Dewa Shiva) dan Suguna (insan berakhlak mulia). Illayarani merujuk kepada ratu muda, Palanisamy (Dewa Muruhan di Palani), Subasri (dewi pelajaran) dan Anushri (jelita, terkenal). Mohan Balachandram memberi contoh Mohan (dewa cinta), Megala/Megalai (rantai emas pada pinggang wanita), Yalini (gadis semerdu alat muzik tradisi), Kayalvili (si mata seperti ikan) dan Tanggamani (manik emas).
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










