KITA tidak mungkin mampu berundur lagi kecuali perlu meneruskan perjalanan kehidupan merentas era digital yang sangat sulit, absurd dan infiniti. Apabila membaca dan cuba memahami isi kandungan pembentangan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025: Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan, ternyata sebahagian gagasan pembangunan lima tahun negara ini memberi fokus kepada soal digital dan pendigitalan.
Antaranya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika pembentangan itu mengutarakan soal pembangunan, penyertaan dan penguasaan ekonomi digital selain soal pendidikan digital, kerajaan digital, infrastruktur digital, agenda transformasi digital, isu jurang digital, projek Identiti Digital Nasional serta Pusat Digital Keluarga Malaysia.
Namun, untuk mendukung gagasan digital dan pendigitalan ini secara insani nan tulen, kerajaan tidak harus lupa memasukkan Agenda Masyarakat Digital dalam RMK12.
Maksudnya, perlu ada satu pelan komprehensif bagaimana rakyat dibentuk, dilihat mahupun bertindak berasaskan acuan dan program sosial serta kebertanggungjawaban yang murni. Menginsafi senario era digital yang sangat rapuh, penuh fitnah dan memusnahkan ini, maka pelan pembangunan insani sangat perlu.
Tujuannya supaya kebejatan sikap sesetengah individu yang semakin ketara kerana didorong konon kebebasan dan hak asasi termasuk dalam bermedia sosial dapat disantuni. Kita perlu membawa mereka yang sangat agresif dan sesat di alam maya ini kembali kepada nilai insani masyarakat Timur yang ada jati diri.
Dalam RMK12 juga ada disebut, kerajaan akan memberi tumpuan untuk menambah baik seluruh sistem pendidikan negara. Ternyata, tindakan ini sangat wajar dan perlu dilakukan secara berhemah.
Negara memang perlu melakukan perubahan yang menjadi teras matlamat pelaksanaan RMK12 dengan mewujudkan satu sistem pendidikan baharu yang bukan sahaja berupaya melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi semata-mata, bahkan memiliki nilai murni yang subur dalam diri mereka.
Apatah lagi Ismail Sabri dengan jelas menyebut, antara langkah utama bagi menambah baik sistem pendidikan negara ialah mewujudkan Pelan Pendidikan Digital pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi. Pelan itu diperkenalkan bagi memastikan akses lebih luas kepada pendidikan berkualiti.
Justeru, kerajaan boleh menanam inisiatif pembangunan insani yang mampu melahirkan masyarakat digital yang rasional dan sarat dengan nilai murni untuk menangkis limpahan toksik kepalsuan dalam dunia maya.
Pembentukan insani menerusi Pelan Masyarakat Digital antaranya supaya tidak muncul netizen, keyboard warrior dan generasi digital yang bersikap negatif – seperti menjadi hakim tidak bertauliah, pembunuh karakter, penyebar fitnah, pejuang kesongsangan serta pendukung kepalsuan mahupun keganasan. Generasi yang ketirisan adab dan adat ini semakin ramai. Kehadiran mereka boleh dikesan, contohnya menerusi komen-komen karut, tidak beretika, tiada adab, mendokong liberalisme, ekstrem dan pentingkan diri sendiri dalam media sosial.
Andai tiada usaha di peringkat kerajaan untuk melahirkan ahli masyarakat digital yang murni dan bertanggunghawab menerusi sistem pendidikan yang formal, bagaimana negara hendak mengharapkan mereka boleh menjayakan gagasan Keluarga Malaysia? Seterusnya, bagaimana mereka hendak memenuhi aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030?
SYIRIK
Nanti, bagaimana pula kisahnya dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) kerana Perdana Menteri memberi jaminan, semua strategi dan inisiatif RMK12 akan dilaksanakan secara tersusun dengan penuh integriti dan bertanggungjawab?
Jika generasi digital tidak mempunyai asas pendidikan formal dan tidak formal untuk membikin mereka kalis kepada anasir memusnahkan yang muncul dalam era digital ini, maka keseluruhan hasrat melaksanakan perubahan negara menjelang 2025 serta tempoh seterusnya pasti sukar dilakukan dan dicapai. Justeru, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi berkaitan harus melihat Agenda Masyarakat Digital ini secara keseluruhan bagi pihak kerajaan.
Pelan atau gagasannya mesti digariskan segera. Komunikasi dalam kehidupan era digital dan pengaruh media sosial ini mesti lebih harmoni berlandaskan adab dan etika. Langkah ini bukan untuk menyekat rakyat berkomunikasi tetapi menuntut dan memastikan kebertanggungjawaban rakyat ketika menggunakan media tersebut.
KKMM juga harus melihat ancaman kandungan bahan berkaitan agama Islam yang syirik, songsang, palsu dan keliru. Ancaman ini boleh dikawal menerusi audit dilakukan pihak berkuasa agama Islam dengan menyekat semua bahan berkaitan daripada sampai kepada umat Islam di negara ini. Selepas menyekat, pihak berkuasa wajar menyediakan satu platform rasmi untuk menghimpun semua bahan itu supaya bahan yang sah dan benar disebarkan menerusi satu saluran rasmi.
Selain pendidikan formal untuk membentuk generasi digital yang akan menggerakkan ekonomi digital dan jentera kerajaan digital, platform lain mesti diwujud dan digunakan untuk menyebarkan pendidikan tidak formal untuk maksud yang sama.
Antaranya, dalam RMK12 ini, kerajaan komited untuk memperkukuh kesepaduan Keluarga Malaysia menerusi program perpaduan dan sukan secara inklusif serta komprehensif yang akan dipergiat. Kerajaan juga melihat perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik adalah tunjang kekuatan kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
Justeru, patriotisme dan kesukarelawanan mesti diperkukuhkan termasuk menerusi pemahaman serta penghayatan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang mesti diperkasakan semula dalam diri setiap rakyat.
Namun, boleh juga dipertimbangkan jika Agenda Masyarakat Digital dimasukkan ke dalam gagasan Keluarga Malaysia yang diperkukuhkan. Sebab bangsa Malaysia yang berdisiplin, beretika, beradab, berbudaya serta menjulang Rukun Negara mesti dizahirkan dengan sebenar-benar dan sejelas-jelasnya jika kita mahu merealisasikan sebuah negara bangsa yang makmur, inklusif dan mampan serta kalis kepada kebobrokan mahupun gaya hidup yang memusnahkan pada era digital ini.
PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.











