IDEA mengiktiraf gender ketiga telah dibawakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melalui cadangan kajian bertajuk Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender. Sehingga penulisan ini, tidak diketahui status kajian tersebut sama ada akan diteruskan kerana walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memohon penjelasan, belum ada pertemuan di antara pihak-pihak terbabit.
‘Kajian’ Suhakam ini dibantah ramai kerana beberapa perkara. Ia sebenarnya tidak bersifat kajian bebas dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang syariah, perundangan sivil, kesihatan fizikal dan mental serta hak-hak wanita.
Kajian ini tidak bersifat bebas kerana nyata dapatan dan kaedah menyampaikan dapatan kajian telah ditetapkan Suhakam. Bermakna ia mestilah menjadi asas membentuk reformasi undang-undang ke arah pengiktirafan transgender sebagai gender ketiga di Malaysia, meskipun dapatan kajian menentang sebarang reformasi perundangan.
Selain itu, penyelidik juga terikat dengan ketetapan bahawa laporan kajian mestilah mengandungi syor kepada kerajaan untuk membentuk undang-undang bagi pengiktirafan transgender dengan membenarkan penukaran nama dan identiti jantina pada dokumen pengenalan diri.
Terdapat pelbagai impak pengiktirafan gender ketiga (merangkumi transgender dan non-binary, iaitu individu yang mengakui tidak mempunyai jantina). Antara paling serius dibincangkan di sini adalah impak kepada remaja dan kanak-kanak.
Ada dua kategori bagi hormon yang menyekat baligh seperti Gonadotropin Releasing Hormon (GnRH) dan hormon bersilang jantina seperti testosteron diberi kepada kanak-kanak perempuan yang ingin menjadi lelaki dan estrogen kepada kanak-kanak lelaki yang ingin menjadi wanita.
Pada 2019, lima orang doktor klinikal di Pusat Perkhidmatan Perkembangan Identiti Gender atau ringkasnya Klinik Gender milik yayasan pro-LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) terkenal, Tavistock and Portman NHS Foundation Trust di United Kingdom (UK) meletak jawatan. Mereka membantah pemberian ubat penghalang baligh diberikan kepada remaja yang mengadu mempunyai masalah kecelaruan gender.
Menurut mereka, ubat-ubatan ini adalah satu bentuk eksperimen tanpa ada bukti jelas tentang keberkesanan dan keselamatan. Mereka juga mempertikaikan diagnosis yang dibuat dengan tergesa-gesa.
Ini boleh dilihat dengan merujuk kepada peningkatan kes di klinik ini. Contohnya, pada 2016, klinik ini menerima 2,000 kes rujukan yang merupakan peningkatan sebanyak 42 peratus dibandingkan tahun sebelumnya.
Susulan peningkatan kes di mana kanak-kanak diberikan hormon penghalang baligh, salah seorang bekas pesakit Klinik Gender Tavistock, yakni wanita bernama Keira Bell mengambil tindakan mahkamah selepas beliau mendakwa tidak mendapat nasihat yang wajar. Klinik Gender Tavistock telah mengesyorkan beliau mengambil hormon testosteron seawal umur 16 tahun dan menjalani pembedahan membuang buah dada ketika berumur 20 tahun.
Beliau kini bimbang mengalami masalah ketidaksuburan. Pada 1 Disember 2020, mahkamah di UK menetapkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun perlu mendapat kebenaran mahkamah sebelum menjalani apa-apa rawatan pertukaran jantina.
PENUKARAN JANTINA
Gender ketiga yang ingin diiktiraf ini juga menyebabkan remaja mempercayai mereka benar-benar terperangkap dalam badan yang salah. Ratusan klinik gender expansive (terma baharu yang mendidik remaja kononnya gender itu tidak tertakluk kepada jantina biologi) di Amerika Syarikat (AS) tumbuh bagai cendawan.
Klinik-klinik ini dikendalikan oleh doktor-doktor yang menggunakan alasan kesihatan mental. Oleh kerana elemen kapitalisme kuat, kebanyakan ibu bapa yang tidak bersetuju tidak berupaya untuk menghalang kehendak anak-anak mereka sedangkan mereka terlalu risau akan implikasi rawatan ini.
Gesaan masyarakat yang semakin sedar akan perkara ini akhirnya mendorong badan perundangan di Arkansas menggubal peruntukan undang-undang bagi mengharamkan prosedur penukaran jantina bagi golongan bawah umur. Undang-undang tersebut menyatakan mereka akan mendakwa mana-mana profesional dalam penjagaan kesihatan yang menyediakan perencat akil baligh, hormon silang seks atau pembedahan menukar jantina kepada kanak-kanak. Doktor yang terlibat akan berhadapan tindakan mahkamah dan penggantungan lesen perubatan.
Dr. Lawrence S. Mayer, seorang ahli biostatistik dan Dr. Paul R. McHugh seorang profesor Psikiatri Kehormat di John Hopkins School of Public Health telah meneliti ratusan artikel kajian saintifik mengenai transgender. Mereka merumuskan majoriti kanak-kanak yang mengenal pasti diri mereka sebagai berlawanan jantina kembali ke jantina asal apabila meningkat dewasa.
Mereka juga menyimpulkan terlalu sedikit bukti kajian yang menyokong nilai terapeutik menyekat proses baligh. Sudah tentu antara yang dibimbangi juga adalah proses pertukaran jantina yang ditawarkan kepada kanak-kanak menyebabkan perubahan tidak berbalik jika mereka menyesal kelak, seperti Kiera Bell dan ramai lagi.
Penggunaan hormon menyekat baligh dikritik oleh ramai pakar kesihatan kanak-kanak kerana ketiadaan data klinikal bersifat jangka panjang akan keberkesanan dan keselamatannya. Hormon silang jantina pula mempunyai pelbagai kesan serius seperti pembekuan darah, kegagalan fungsi hati dan mengurangkan kesuburan.
Suhakam tidak seharusnya terikut-ikut dengan apa juga yang disogok kepada mereka atas nama hak asasi sedangkan ada banyak cara untuk menangani diskriminasi kumpulan rentan. Bukan melalui pengiktirafan gender ketiga yang lebih banyak memberi impak negatif kepada keseluruhan masyarakat. Pesuruhjaya mereka perlu lebih proaktif memberi analisa kritikal terhadap sebarang cadangan.
Mereka sepatutnya berupaya melihat kesan negatif di seluruh dunia apabila pengiktirafan gender ketiga telah menindas hak wanita dalam kejohanan sukan, mengganggu takrifan sains biologi, mengubah penggunaan bahasa dan linguistik serta masalah kesihatan HIV/AIDS yang masih tidak selesai.
PROFESOR Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar ialah Pensyarah di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Ahli Jawatankuasa Isu Hal Ehwal Islam Antarabangsa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).










