PERINGATAN Mufti Pulau Pinang supaya jangan memandang hina pada Sajat dan golongan seumpamanya amat dialu-alukan. Sebaliknya pihak berkenaan termasuk agamawan serta pihak berkuasa wajar bersimpati dengan mereka seraya cuba membantu dan membimbing serta menasihati semampu yang boleh.
Menurutnya lagi, menjadi kewajipan seorang Islam untuk membantu rakan seagama sekiranya mereka tersasar dari landasan hidup. Ini adalah satu pandangan matang lagi bernas yang zahir daripada seorang yang mengerti keadaan sebenarnya.
Bak kata beliau, dari perspektif Islam, tiada manusia yang bersih daripada dosa dan tiada manusia yang tidak melakukan kesalahan kecuali para rasul dan nabi. Oleh itu, Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-hamba-Nya yang ingin membersihkan diri dan kembali ke jalan yang diredai-Nya.
Beberapa bulan lalu, Mufti Pulau Pinang pernah memberi pendapat sama apabila menyeru Sajat untuk kembali ke pangkal jalan dan ke fitrah asalnya sebagai seorang lelaki. Ketika itu Sajat dikatakan melalui sebuah video, membuat kajian agama lain dan berhasrat menukar agama.
Namun, ternyata kini dia masih di bawah lindungan Tuhan yang Maha Esa, walaupun ramai yang tidak teragak-agak mempersendakan perlindungan tersebut. Golongan mak nyah terus diaibkan sementang-mentang mereka tidak mengalami kecelaruan jantina.
DISFORIA GENDER
Andaikan keadaan dialami Sajat dan seangkatan merupakan sejenis ketidakselesaan jantina dikenali sebagai disforia gender, agar ramai lebih menginsafi yang ini bukan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Malah ia ada kaitan dengan satu bentuk gangguan emosi, tidak banyak beza dengan gangguan emosi yang lain.
Apatah lagi dalam keadaan pandemik yang rata-rata gangguan jiwa memuncak sehingga ada yang terdorong membunuh diri.
Lantaran masih ramai memuntahkan pelbagai bentuk cemuhan dan cacian yang tidak berperikemanusiaan. Anehnya, tidak kurang juga yang membolosi sempadan kerana pelbagai sebab melibat kumpulan bukan mak nyah. Namun tidak ramai yang bersuara apa lagi mencaci celah baik daripada pihak berwajib mahupun agamawan.
Mengapa begitu berat sebelah menjadi tanda-tanya yang terang-terang tidak peka akan soal disforia gender sebagai satu kecelaruan jiwa yang kebetulan menyentuh hal-hal jantina. Ia sekali gus menggambarkan suatu kedanggalan pemikiran yang hanya pandai mencari salah dan memberi amaran itu dan ini.
Pada suatu ketika dahulu, seorang bekas mufti memberi amaran keras kepada mereka atas alasan mahu tukar agama, tanpa pula memberi teguran yang sama kepada kumpulan penyebab untuk berbuat demikian. Pendek kata, sememangnya soalan keluar agama amat serius, namun tidak kurang serius tekanan yang mendorong seseorang ke arah itu.
Umpama seorang keluar agama kerana angkara kemiskinan dan kezaliman, maka kemiskinan dan kezaliman wajar dirawat juga, malah didahulukan dalam mencari penyelesaian jangka panjang. Inilah kelompangan terpampang di hadapan kita selama ini yang tidak diselami sesungguhnya.
UIAM MELANGKAH
Dalam konteks ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah lebih 10 tahun meneliti isu ini secara dekat melalui pendekatan sains dan perubatan oleh para profesional dan pakar kesihatan bersama agamawan di universiti. Penyelesaian serumit ini tidak wajar dilakukan melalui liputan media di mana umumnya pihak berkepentingan mendapat publisiti masing-masing.
Ini memandangkan ia mengesan maruah insan ciptaan Ilahi yang ditakdirkan sebegitu rupa. Rata-rata mereka tiada pilihan sama sekali.
Jika kempen membantu kesihatan mental menekankan slogan ‘elakkan stigma’, bayangkan stigma (sendaan) yang mereka celaru jantina hadapi.
Ada pula ura-ura tidak membenarkan mereka ke masjid atau Tanah Suci kerana sebab-sebab tertentu. Tindakan sempit seumpama ini bakal menyaksikan ‘masjid mak nyah’ didirikan nanti seperti di negara lain.
Apapun di UIAM, mereka diajak ke masjid, diajar mengaji dan mengenali diri serta fitrah mereka melalui kuliah dan bicara khas. Malah ramai sudah ke Tanah Suci melakukan umrah dan haji, kemudian kembali semula kepada fitrah asal mereka. Tidak kurang juga mendapat rawatan yang sesuai apabila diperlukan di bawah seliaan pakar dan profesional universiti buat sekian lama.
Ini merupakan proses rumit dan mahal. Ramai yang tidak mampu tanpa dibantu. Tetapi syukur ada yang kembali, berumah tangga dan berkeluarga, menjadi peniaga mencari rezeki halal dan menghindari kemaksiatan kerana hati mereka telah terbuka bukan dek ugutan dan tohmahan tetapi belaian mesra dan kesabaran jua.
JANGKAUAN
Selama ini, program tersebut diteruskan secara senyap-senyap baik dalam suasana pandemik sekali pun. Ini untuk mencegah fitnah walaupun mempunyai ikutan melalui talian maya yang menggalakkan sebagai usaha bersimpati, seraya membantu dan membimbing serta menasihati semampu yang boleh bagai peringatan mufti Pulau Pinang.
Sekarang jangkauannya sudah keluar ke negara jiran yang tidak mempunyai huluran bantuan ala UIAM. Lebih baik kita sama-sama merangka penyelesaian dalam diam secara jujur dan ikhlas sebagai fardu kifayah. Tanpa memperdagangkannya supaya tiada pihak yang terus merumitkan lagi langkah sambil menangguk di air yang keruh.
Atas dasar ini, UIAM berazam terus mencari penyelesaian seadanya untuk ummah demi rahmatan lil alamin sesama makhluk Ilahi. Apa lagi didorong oleh kata-kata menteri agama baharu – “Kita bukan nak menghukum, kita lebih kepada pendidikan.” yang cukup sejiwa dengan hasrat UIAM jua.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










