Jihad keluar dari belenggu pandemik - Utusan Malaysia

Jihad keluar dari belenggu pandemik

PERJUANGANmembebaskan diri daripada pandemik merupakan tanggungjawab bersama setiap rakyat. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERDEKA bermaksud bebas daripada suatu penjajahan, kurungan dan naungan yang membolehkan kita untuk berdiri sendiri tanpa dibayangi oleh mana-mana pengaruh ataupun kuasa lain. Dalam konteks semasa, penghayatan terhadap makna kemerdekaan kali ini masih lagi tertumpu pada perjuangan kita untuk menyelamatkan diri, masyarakat dan negara daripada terus dibelenggu wabak Covid-19.

Namun begitu, suasana kali ini dilihat sedikit berbeza kerana realitinya kini kita menuju era pascapandemik. Lebih-lebih lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan wabak Covid-19 berpotensi menjadi endemik, iaitu virus yang akan terus berada di sekeliling kita. Oleh itu, persiapan untuk menuju ke fasa berikutnya perlu giat dilaksanakan terutama dengan memperkemaskan semula aspek-aspek yang terjejas sebelum ini.

Bertepatan dengan tema Malaysia Prihatin, perjuangan membebaskan diri daripada pandemik merupakan tanggungjawab bersama setiap rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum, budaya mahupun status sosial. Pada masa sama, syariat Islam juga menuntut umatnya agar berjihad, iaitu bersungguh-sungguh melakukan perkara-perkara baik demi mendapatkan keredaan Allah SWT. Hal ini dijelaskan menerusi firman-Nya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan).” (Surah Al-Ankabut: 69)

Sehubungan itu, perjuangan untuk membebaskan diri daripada belenggu pandemik merupakan salah satu bentuk jihad yang dituntut dalam Islam. Hal ini kerana dampak pandemik telah menjejaskan pelbagai aspek dalam kehidupan kita. Dari aspek kesihatan, doktor dan pakar kesihatan menasihati masyarakat agar bersegera untuk mendapatkan suntikan vaksin di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan.

Masyarakat perlu memahami, pengambilan vaksin amat penting bagi mempercepatkan proses kembali kepada keadaan yang lebih baik.

Sejajar dengan itu, para mufti di dalam dan luar negara juga mengambil inisiatif mengeluarkan fatwa mengenai keharusan mengambil vaksin sebagai rujukan berautoriti kepada masyarakat. Oleh itu, umat Islam wajar menghormati fatwa berkenaan serta berusaha membebaskan diri daripada terus dibelenggu pandemik.

Dari aspek ibadah, menuju ke era pascapandemik, umat Islam perlu kembali memantapkan semula aspek kerohanian mereka dengan mengimarahkan rumah-rumah Allah.

Tindakan kerajaan mula memberikan kelonggaran secara berperingkat wajar disambut baik. Alasan-alasan seperti kebimbangan terhadap jangkitan wabak, penutupan masjid, limitasi bilangan jemaah kini dilihat semakin kurang sesuai digunakan.

Asbab yang dahulunya menghalang juga kini sudah beransur hilang dari semasa ke semasa. Hal ini bertepatan dengan salah satu kaedah fiqh, iza zal al-mani, ada al-mamnu, iaitu apabila lenyapnya sesuatu sebab yang menghalang itu, maka perkara yang sebelumnya dilarang kini sudah kembali terlaksana. Justeru, semangat untuk beribadah ini bukan sahaja mampu memperkemaskan semula aspek rohani umat Islam yang telah terkesan, malah membantu menaik taraf semula institusi masjid dan surau.

Oleh itu, marilah kita bersama menghayati sambutan kemerdekaan kali ini dengan rasa prihatin dan bersungguh-sungguh untuk membebaskan diri, masyarakat dan negara daripada terus dibelenggu dengan kesan-kesan negatif akibat pandemik. Pada masa sama, ia juga menjadi persediaan terbaik kita menjelang era pascapandemik yang akan datang.

Wallahualam.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×