HARI ini ulang tahun ke-76 berakhirnya Perang Dunia Kedua. Ketika kita memperingati kejayaan Pihak Berikat menghancurkan Kuasa Paksi, kita juga berkongsi dukacita yang mendalam sebab hampir setiap negara di dunia merasai penderitaan hari-hari itu.
Semasa Perang Dunia Kedua, Rusia (ketika itu Kesatuan Republik Sosialis Soviet) dan China kehilangan banyak nyawa. Jumlah tentera dan orang awamnya yang terkorban mencecah lebih separuh angka kematian seluruh dunia yang dianggarkan antara 70 hingga 85 juta orang.
Biarpun tragedi sejagat itu sudah jauh ditinggalkan dalam sejarah, kita harus mengenangnya sebagai satu pengajaran yang sangat bernilai. Ia memberi kita pemahaman tepat tentang apa yang perlu dijadikan sempadan dan apa pula yang harus dijadikan teladan.
Sebelum berakhir pun, Perang Dunia Kedua sudah mengubah sikap masyarakat dunia terhadap hal ehwal antarabangsa. Barang diingat, slogan yang menarik ‘bersatu kita teguh, bersatu kita menang’ (united we are strong, united we will win) sangat popular dalam kalangan Pihak Berikat yang juga dikenali sebagai Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada 1945, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diasaskan dengan matlamat seperti digariskan dalam piagamnya, ‘Untuk menyelamatkan generasi-generasi yang berikut daripada kesengsaraan peperangan.’
Disebabkan Perang Dunia Kedua juga, muncul gelombang gerakan pembebasan dan penjajahan yang melahirkan beberapa negara baharu termasuk Malaysia yang kini bebas dan merdeka. Tentunya bukan kerana perang tetapi atas cita-cita rakyatnya yang semakin meningkat mahukan keamanan serta aturan antarabangsa yang lebih saksama dan demokratik. 76 tahun sudah berlalu, namun kita masih di jalan panjang yang berliku menuju ke aturan itu.
Hari ini, dunia sekali lagi menghadapi kekacauan dengan keadaan tidak stabil dan tidak menentu yang makin ketara. Kemanusiaan menanggung sengsara akibat tadbir urus dan keyakinan dalam hal ehwal antarabangsa yang semakin berkurangan, kesenjangan pembangunan yang melebar dan potensi konflik yang meningkat. Memastikan keselamatan bersama dan menggalakkan pembangunan lestari masih lagi cabaran yang getir. Penggunaan dan ancaman kekerasan semakin menjadi ciri penting dalam hubungan antarabangsa.
Kita masih lagi menyaksikan usaha kuasa-kuasa tertentu untuk memecah-belahkan dunia atas garis ideologi, mencampuri urusan dalaman negara-negara berdaulat, mendorong politik kuasa atau malah ‘perang dingin baharu’ dalam persaingan menang atau kalah dan meremehkan kerangka perundangan dalam sistem hubungan antarabangsa. Sekatan unilateral termasuk sekatan luar wilayah membantutkan pelaksanaan penuh matlamat pembangunan mapan terutama di negara-negara membangun. Ia seterusnya memberikan kesan kemanusiaan yang buruk kepada penduduk awam terutama ketika seluruh dunia sedang mengharungi pandemik. Ancaman keganasan, ekstremisme dan gerakan pemisahan semakin meningkat.
VAKSIN
Tambahan pula, pandemik menyulitkan lagi masalah-masalah ini serta memberikan kesan jangka panjang kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik dunia serta seluruh sistem hubungan antarabangsa. Malangnya, isu-isu vaksin dan virus yang dipolitikkan dan bukannya ditangani dengan solidariti semakin memburukkan lagi keadaan sehingga mengorbankan kesihatan serta kehidupan jutaan orang di seluruh dunia.
Ada banyak rintangan yang sangat luar biasa harus diatasi oleh dunia. Semua cita-cita yang kita usahakan sukar untuk dicapai. Bagaimanapun, ketika masa depan dunia memang tidak menentu, setiap negara memilih untuk menjadi sebahagian daripada dunia bersama dan bukannya dunia seseorang. Mereka mahu hidup aman, stabil dan makmur. Ini memberikan kita harapan bahawa cita-cita itu masih dalam jangkauan.
Aturan antarabangsa pelbagai hala dan pelbagai pihak yang sejati akan memenuhi keperluan kita. Kita harus mengatasi perbezaan dan pergeseran sambil melindungi kemerdekaan dan keunikan masing-masing. Kita harus berpegang pada kepentingan bersama dan berganding bahu mempertahan dan menggalakkan tatanan antarabangsa yang berpaksi pada undang-undang antarabangsa.
Kita harus mempertahankan penyelarasan berpusat sistem antarabangsa oleh PBB serta prinsip-prinsip kesaksamaan, saling menghormati, tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara-negara berdaulat, penyelesaian damai pertikaian, menolak hukuman unilateral demi untuk bekerjasama mengatasi cabaran bersama. Semua kita berkongsi nilai-nilai ini. Itulah satu-satunya yang perlu kita perteguhkan untuk sama-sama memikul tanggungjawab mengekalkan keamanan, kestabilan dan keselamatan antarabangsa dan sama-sama menangani masalah-masalah dunia yang paling kritikal. Gerakan yang konsisten, langkah demi langkah ke arah itu sangat diperlukan.
Moscow dan Beijing sedang di landasan ke arah itu. Ini ditegaskan oleh pemimpin kami dalam kenyataan bersama sempena ulang tahun ke-20 Perjanjian Rusia-China Tentang Kejiranan Yang Baik dan Kerjasama Yang Ramah pada 28 Jun 2021. Kerjasama strategik menyeluruh Rusia-China, biarpun bukan satu perikatan ketenteraan dan politik, ia mewakili ‘suatu model bentuk baharu hubungan antara negeri yang memenuhi kepentingan asas dua negara dan cita-cita rakyatnya yang juga memainkan peranan penting dalam memajukan tatanan dunia multipolar dan memastikan keselamatan dan kestabilan antarabangsa dan serantau.’
Kami sangat percaya, setiap negara yang menjalin hubungan dua hala seperti itu dengan negara-negara jiran dan jauh boleh menyumbang ke arah masa depan lebih baik, sekali gus untuk negara itu sendiri dan seluruh dunia.
Melihat kemunculan Malaysia sebagai aktor yang aktif, bertanggungjawab dan berpengaruh di pentas dunia, kami menanggapi sahabat-sahabat di Malaysia serta rakan-rakan di ASEAN lain sebagai mereka yang sealiran berfikir dan bertindak untuk sejagat. Apa yang akan berlaku seterusnya bergantung penuh pada kita. Ia meyakinkan kita sekali lagi bahawa era baharu hubungan antarabangsa akan tiba.
NAIYL Latypov dan Ouyang Yujing ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Rusia dan China ke Malaysia.










