SETELAH lebih setahun negara mengharungi ancaman pandemik Covid-19, kita perlu terima kenyataan bahawa tidak mungkin virus ini akan lenyap atau hilang begitu sahaja dalam tempoh terdekat. Hakikatnya, kita perlu akui Covid-19 berkemungkinan besar menjadi endemik, iaitu kekal serta menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia sebagaimana virus lain seperti selesema.
Maka persoalannya, bersediakah kita untuk hidup bersama virus ini yang masih merekodkan kes positif membimbangkan di samping kadar kematian yang tinggi?
Tambahan pula, kemunculan varian baharu yang lebih agresif seperti Delta menambahkan lagi cabaran kepada sistem kesihatan negara dalam menangani pandemik.
Justeru, kita perlu akui betapa vaksinasi dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah kunci dan formula mujarab untuk kita menangani penularan wabak seterusnya meneruskan kelangsungan hidup. Hal ini penting kerana sudah semestinya kita tidak mahu terus terperuk di rumah serta hidup dengan pelbagai keterbatasan yang menjejaskan aktiviti kehidupan harian.
Maka dalam hal ini, kita bersyukur kerana sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kita dapat lihat banyak perkembangan positif berlaku dalam konteks membendung wabak Covid-19. Antaranya kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di Selangor menurun sehingga 35 peratus. Malah peratusan pesakit kategori 4 dan 5 juga dilaporkan menurun di mana secara keseluruhannya, jumlah kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Lembah Klang khususnya membabitkan warga emas dan warganegara menunjukkan trend menurun secara signifikan. Keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang menunjukkan berlaku penurunan jumlah pesakit sebanyak 46.6 peratus dan pusat rawatan harian hospital itu dijangka beroperasi sepenuhnya pertengahan bulan ini.
Dalam pada itu, kadar suntikan vaksin harian di seluruh negara yang terus meningkat juga membolehkan beberapa negeri dan kawasan beralih fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Misalnya, Wilayah Persekutuan Labuan beralih dari Fasa 3 kepada Fasa 4, manakala Negeri Sembilan beralih dari Fasa 1 kepada Fasa 2. Perubahan fasa ini dilakukan berpandukan kepada kadar vaksinasi lengkap dua dos yang menyumbang kepada imuniti kelompok bagi populasi dewasa di kawasan terbabit.
Dengan perubahan fasa seperti ini, rakyat mula menikmati pelbagai kelonggaran yang membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup. Penduduk Labuan misalnya mula diberi kelonggaran serta kebenaran untuk semua sektor ekonomi beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus di samping seminar, bengkel, kursus dan aktiviti berkaitan mesyuarat juga dibenarkan dibuat secara bersemuka dengan kapasiti ruang 50 peratus.
ACUH TAK ACUH
Ini jelas menunjukkan vaksinasi mula memberikan impak yang sangat positif kepada kehidupan rakyat. Justeru, di samping kita berharap agar kadar suntikan harian akan terus dipergiatkan di seluruh negara, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat yang belum mendaftar segera berbuat demikian dan mendapatkan vaksin.
Sedarlah, vaksin bukan sahaja melindungi diri tetapi turut melindungi keluarga dan masyarakat di sekeliling kita. Jadi, hentikanlah segala alasan serta buang jauh-jauh sikap acuh tak acuh sebaliknya zahirkanlah sikap bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat.
Dalam hal ini, besar juga harapan kita agar golongan guru yang menolak untuk menerima vaksin turut segera berubah fikiran dan mendapatkan vaksin. Media melaporkan, seramai 396 guru di Johor, 41 orang di Melaka dan 26 di Perlis masih ragu-ragu serta menolak untuk menerima vaksin. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mengikut jadual, sekolah bakal dibuka secara berperingkat mulai Oktober ini dan jika guru enggan divaksin, ia boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa kerana meletakkan anak-anak dalam risiko tinggi.
Tuntasnya, sampai bila kita mahu tutup sekolah? Sekolah perlu dibuka dengan segera dan formula terbaiknya ialah semua guru, anggota kumpulan pelaksana serta petugas lain di sekolah wajar mendapatkan vaksin dengan segera.
Pada masa sama, pematuhan kepada SOP perlu terus menjadi amalan dan budaya dalam kalangan anggota masyarakat. Walaupun kita telah lengkap dua dos vaksin, namun risiko jangkitan tetap ada jika kita gagal mematuhi SOP ditetapkan.
Ringkasnya, lengkap imunisasi bukan lesen bebas Covid-19 serta bukan juga bermaksud kita kebal daripada dijangkiti. Seseorang yang sudah divaksin masih boleh dijangkiti virus ini tetapi hanya mengalami simptom ringan. Tambahan pula kita masih boleh menjangkiti mereka yang belum divaksin.
Maka dalam kita meneruskan pelbagai aktiviti harian serta menikmati kelonggaran yang diberikan, jangan sesekali leka dan alpa untuk mematuhi SOP. Jadikan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal sebagai amalan gaya hidup norma baharu demi melindungi semua pihak.
Pandemik Covid-19 sudah hampir pasti menjadi endemik. Maka kita tidak mempunyai banyak pilihan selain mendapatkan vaksin serta terus mematuhi SOP agar dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti biasa dengan segera.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.











