TIMBUL sahaja berita menggemparkan, secara tiba-tiba kita akan menerima hantaran mesej bertali arus. Pelbagai maklumat dan cerita dikongsikan oleh teman dan ahli grup WhatsApp.
Contohnya, tragedi kepala air di Yan, Kedah dan Taufan Ida melanda Amerika Syarikat, baru-baru ini. Ledakan maklumat berlaku begitu pantas hasil kemajuan teknologi serta media sosial. Maklumat bukan sahaja boleh disebarkan dalam sekelip mata, malah dapat dikongsikan secara langsung ke seluruh dunia. Walaupun berlaku di benua lain, kita dapat melihatnya begitu jelas seolah-olah di depan mata.
Berada dalam dunia di mana maklumat di hujung jari bermakna kita turut terdedah kepada pelbagai maklumat palsu yang memudaratkan. Setiap hari kita disogok dengan pelbagai kisah tidak benar serta iklan dan bahan propaganda dari seluruh dunia. Akibatnya, kita mungkin terkeliru lantas mempercayai maklumat palsu tentang sejarah, isu semasa, kesihatan, politik dan sebagainya. Lebih parah jika kita terpengaruh dengan perkara yang boleh meruntuhkan akidah.
MELAKA
Saya sering terjumpa maklumat terkini dan menarik daripada laman-laman sesawang yang dibina sebagai pusat pengetahuan. Namun, setelah membuat kajian, saya dapati tidak semuanya benar.
Contohnya, tanpa catatan sejarah sahih, ada yang mendakwa bendera Kesultanan Melayu Melaka dahulu berwarna biru dan berlambangkan bulan dan bintang kuning. Dakwaan amat musykil bagi saya yang meminati bidang kebenderaan. Akhirnya, saya dapati bendera tersebut hanyalah rekaan bagi satu permainan video berlandaskan konsep sejarah silang. Bendera rekaan itu disebarkan sebagai fakta bersejarah.
Maklumat di internet begitu mudah untuk dimanipulasikan oleh sesiapa sahaja. Ramai yang tertipu oleh pelbagai propaganda termasuk ‘ilmu’ serta peluang perniagaan yang ternyata palsu.
Bukan semua maklumat boleh dan layak diterjemahkan sebagai ilmu kerana sebahagiannya hanyalah andaian, rekaan atau palsu semata-mata. Justeru, apabila berhadapan maklumat dan hujah mengelirukan, semak melalui sumber tepat serta bertanyalah kepada mereka yang arif.
Sering kali juga penularan maklumat tidak benar berlaku akibat salah faham penyebar mentafsir sesuatu maklumat. Misalnya, banyak tulisan daripada portal The Onion disebarkan sebagai berita benar. Walhal portal tersebut secara jelas menyatakan tulisan mereka hanyalah berbentuk satira dan bukannya benar.
Justeru, jadilah warga yang bertanggungjawab. Semak maklumat dengan cermat dan elak membuat tafsiran secara semberono.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.










