Bina semula negara bangsa gagal - Utusan Malaysia

Bina semula negara bangsa gagal

DARI segi perpaduan negara, kita masih belum berjaya menyatukan rakyat untuk mendukung jati diri kebangsaan yang sama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN program bicarawara sempena sambutan kemerdekaan kali ini, mengangkat persoalan sama walaupun sisinya berlainan, iaitu sama ada kita sudah betul-betul merdeka atau masih terkongkong dan belum bebas sepenuhnya untuk menentukan untung nasib kita.

Sehubungan ini, tema penilaian tahap bernegara sendiri setelah 64 tahun rata-rata diwacanakan. Ini kerana banyak segi pembinaan negara bangsa kita didapati tersasar jauh daripada aspirasi nasional.

Pembinaan negara bangsa antaranya bermatlamat untuk mewujudkan identiti nasional oleh pemerintah.

Pada identiti nasional ini, rakyat seharusnya seiring sebagai komuniti nasional untuk merealisasikan cita-cita negara.

Antaranya bersatu teguh, suburkan demokrasi, saksama dalam menikmati kemakmuran negara, kebebasan meneruskan tradisi masing-masing serta maju melalui sains dan teknologi.

Melalui identiti nasional ini, kita sebenarnya mahu melahirkan masyarakat yang bergerak sebagai satu kesatuan.

Ia hendaklah dilakukan dengan kita sama-sama mendukung kesedaran nasional, iaitu perasaan sebagai satu bangsa dalam kehidupan nasional melalui perwatakan nasional, yakni pembawaan rakyat sebagai amalan senegara.

Namun semuanya didapati belum terjadi sepenuhnya walaupun kita sudah sekian lama merdeka. Ini dapat dilihat dengan ketara pada beberapa aspek pembentukan negara bangsa yang bermula rancak sejurus sahaja selepas kita mencapai kemerdekaan.

Dari segi perpaduan negara, kita masih belum berjaya menyatukan rakyat untuk mendukung jati diri kebangsaan yang sama. Ini dapat dilihat pada ramai rakyat yang masih tidak mengetahui bahasa Melayu selaku bahasa negara dengan baik, apatah lagi cekap menguasainya.

Ini bukan sahaja membantut usaha penyatuan melalui bahasa negara, ia mencabar taraf kewarganegaraan yang dinikmati mereka ini.

Dalam hal ini, jelas kita gagal dalam mewujudkan ideologi sivik yang di dalamnya ada pemahaman baik tentang aspirasi negara bagi menjalinkan rasa keterikatan kepada negara sebagai tanah air.

GLOKAL

Apabila soal adab disentuh, ia juga didapati masih terdapat banyak kekurangan jika dibandingkan dengan masyarakat Jepun yang rata-ratanya selalu memperlihat ciri positif pada tindak-tanduk mereka sebagai bangsa beradab.

Sepatutnya Rukun Negara (RN) ikut membina peradaban kita, khususnya melalui Prinsip Kelima yang menekankan peri penting akhlak yang sopan dalam kehidupan nasional dan domestik.

Namun, seperti yang diketahui umum bahawa penghayatannya tidak wujud kerana RN hanya berlaku pada tahap ingat serta hafal dan tidak pernah bergerak ke tahap faham dan amal.

Nyata kita juga gagal dalam aspek ini untuk memastikan rakyat mempamerkan sisi hemah dalam perwatakan nasional kita.

Jati diri sebagai keteguhan hati dan kekentalan jiwa adalah sisi lain yang ikut diperkata dalam banyak wacana kemerdekaan.

Ia yang dibicarakan dalam konteks era pemodenan kini untuk negara terus maju berdasarkan sains dan teknologi, dikecam bahawa dalam mengejar kemajuan global yang berlandaskan kesignifikanan barat, kita tidak harus sesekali mengesampingkan keperibadian timur yang menjadi teras kita selama ini.

Sehubungan ini, digesa bahawa kita perlu mengambil pendekatan “glokal”, iaitu bijak mengimbangi tuntutan global dengan kewajipan lokal agar warisan timur tetap dibanggai semasa menyerapi ciptaan moden barat.

Bidang pendidikan juga tidak terlepas dari dikritik dalam kerangka masih terbelenggu dengan pelbagai unsur yang tidak sesuai lagi.

Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan bahawa dalam kita mengembangkannya, banyak pihak berkepentingan langsung tidak memadankannya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Dalam hal ini, FPK menegaskan peri penting pendidikan kepada anak bangsa dipadukan sisi cendekia, rohani, kalbu dan jasmani dengan bersandarkan unsur ketuhanan.

BAHASA NEGARA

Dengan ini, FPK adalah antara bahan utama dalam pembinaan negara bangsa kita agar anak bangsa kita setelah dipandaikan, ada kebertanggungjawaban untuk menyumbang kembali kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Namun, hasilan ini didapati tidak terserlah.

Setelah menyedari kita gagal dalam banyak sisi pembinaan negara bangsa, kita tiada pilihan lain selain membinanya semula.

Ia hendaklah pertama-tamanya diinsafi pemerintah untuk mula menggembleng tenaga dan usaha, bagi melahirkan warganegara berguna melalui program kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan.

Untuk ini, pelbagai peralatan kenegaraan hendaklah digiatkan. Antaranya adalah bahasa negara dan kebudayaan negara.

Sebenarnya kita gagal menggunakan bahasa negara sebagai bahasa perpaduan dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Ia yang berjaya di merata tempat perlu diteliti akan kegagalannya di sini.

Kegagalan ini mungkin disebabkan kita yang membenarkan penggunaan lebih daripada satu bahasa sebagai bahasa utama di negara ini.

Sehubungan ini, penggunaan hanya satu bahasa di tempat lain didapati lebih berjaya dalam mengurus perpaduan negara.

Oleh itu, ada keperluan gagasan ini diberi perhatian serius lagi tegas oleh pemerintah.

Untuk kebudayaan negara, ia hendaklah menganjurkan sikap yang bukan sahaja menyerlahkan jati diri kebangsaan kita, tetapi juga yang dapat menyumbang kepada kestabilan politik serta kemakmuran sosioekonomi.

Dengan ini, melalui pengaruh sama yang diterima tentang cara hidup bernegara, rakyat akan mendukung sifat serupa untuk ciri positif pada perwatakan nasional kita.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×