Bergembira, jangan SOP ‘ke laut’ - Utusan Malaysia

Bergembira, jangan SOP ‘ke laut’

Warga kota mengambil kesempatan cuti hujung minggu membawa keluarga berkelah selepas kebenaran rentas daerah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan di Sungai Congkak, Selangor baru-baru ini. MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH mengambil kira keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), pihak kerajaan sudah mula memberikan pelbagai kelonggaran mengikut fasa pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kemudahan yang diberikan ini juga boleh dikatakan sebagai usaha kerajaan untuk melatih rakyat menyiapkan diri bagi memasuki fasa endemik mulai akhir Oktober ini.
Antara kemudahan yang menarik perhatian khalayak adalah kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam beberapa aktiviti yang menjadi amalan rutin kita sebelum ini seperti dine-in atau makan di restoran, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah serta pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.
Justeru dalam hal ini, apa yang penting sekarang ada­lah tatkala menikmati sega­la kemudahan ini, kita perlu bersikap jujur pada diri sendiri dan berlaku adil pa­da orang lain.
Misalnya, sedarlah walaupun sudah lengkap divaksinasi kita tetap terdedah kepada jangkitan. Tam­bahan pula kemunculan varian Delta yang dilaporkan pa­ling dominan di negara ini boleh merebak dan men­jangkiti melalui udara dalam tempoh masa 15 saat sahaja.
Dalam konteks ini, perkara yang paling membimbangkan kita sekarang adalah kecuaian ibu bapa dalam melindungi keselamatan anak-anak.
Misalnya, memang seronok apabila kita melihat orang ramai berpusu-pusu menyerbu semua pusat rekreasi dan kawasan pelancongan yang ada di negeri masing-masing setelah begitu lama terkurung di rumah. Kemeriahan aktiviti riadah bersama keluarga ini jelas kelihatan di Lembah Klang serta negeri-negeri yang terkenal dengan pantai dan kawasan pelancongan seperti Melaka dan Negeri Sembilan.
Umumnya ini satu perkembangan yang positif kerana rakyat dapat meng­hilangkan segala tekanan emosi yang dirasai selama ini akibat terperuk di rumah, di samping dapat membantu menghidupkan industri pelancongan. Cuma apa yang dikesali adalah ramai yang sudah mula lupa, leka dan mengabaikan SOP yang perlu terus dipatuhi.
Kesesakan yang berlaku menyebabkan amalan pen­jarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka dilihat antara SOP yang sangat mudah dilanggar sekaligus mula mencetuskan kebimbangan penularan wabak.
Golongan kanak-kanak yang belum divaksin pula kelihatan terperangkap di tengah-tengah kepadatan orang ramai menyebabkan mudah terdedah kepada risiko yang besar apabila ibu bapa sendiri mengabaikan pematuhan SOP tersebut.
Situasi sama juga berlaku di kedai makan dan pusat beli-belah di seluruh negara. Ibu bapa mula membawa anak-anak untuk membeli-belah serta dine-in atau makan di restoran. Tidak salah untuk membawa anak-anak tetapi persoalannya adalah sejauh mana kita bertanggungjawab dan serius dalam melindungi keselamatan mereka ketika berada di lokasi seperti ini yang kebiasaannya sesak dan sempit.
Tambahan pula aktiviti sosial dan bersantai secara beramai-ramai seperti ini juga dibimbangi boleh mencetuskan kes sporadik dalam kalangan komuniti yang akan terus menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Penularan video dan gam­bar beberapa lokasi seperti kawasan pelancongan dan pusat beli-belah selepas pel­ba­gai kelonggaran diberikan menunjukkan masih ramai leka dan mengabaikan SOP yang ditetapkan sekaligus meletakkan anak-anak da­lam situasi berisiko tinggi. Ru­musannya, pelitup muka entah ke mana dan secara keseluruhannya SOP juga ke laut.
Namun anehnya ramai pula ibu bapa yang menzahirkan kebimbangan untuk menghantar anak-anak ke sekolah mulai 3 Oktober nanti. Persoalannya, lokasi mana yang lebih selamat jika dibuat perbandingan antara kawasan pelancongan, kedai makan, pusat beli-belah serta sekolah? Kelihatan ibu bapa lebih berani membawa anak berkelah tetapi takut hantar ke sekolah.
Bukankah kawasan seko­lah lebih selamat kerana mem­­punyai SOP yang le­bih ketat, terjamin dan ter­urus di samping majoriti gu­ru juga telah divaksin. Jangan lupa para guru juga sen­tiasa memastikan anak-anak mematuhi SOP yang dite­tapkan.
Jadi adalah kurang wajar jika masih ada ibu bapa yang lebih bimbang menghantar anak-anak ke sekolah tetapi sanggup membawa mereka ke pelbagai lokasi terbuka yang terdedah dengan risiko jangkitan akibat kecuaian mereka.
Ironinya, pilihan sekarang di tangan kita sebenarnya. Kita boleh memilih untuk menikmati segala kemudahan dengan penuh bertanggungjawab melalui pematuhan terhadap SOP atau menikmatinya tanpa mempedulikan serta mengabaikan SOP tetapi meletakkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling dalam risiko yang besar.
Apapun selepas ini jangan merungut mahupun menuding jari menyalahkan mana-mana pihak akibat kecuaian kita sendiri. Bahkan kita juga perlu sedar mana mungkin pihak berkuasa dapat memantau pematuhan SOP di seluruh pelosok negara.
Maka jika kita tidak mahu kes terus meningkat, pilihan terbaik adalah menjadi warganegara yang jujur dan bertanggungjawab kepada diri dan keluarga melalui pematuhan terhadap semua SOP khususnya pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal sebagai gaya hidup norma baharu demi melindungi semua pihak.
Tuntasnya, walaupun lega dengan kelonggaran yang dibuat, kita tidak boleh mengabaikan SOP kerana penularan wabak masih berlaku secara aktif dan agresif di seluruh negara. Justeru dalam menikmati kemudahan yang disediakan, buktikanlah kita mampu menjadi individu yang bertanggungjawab dan berdisiplin tinggi.

PENULIS ialah Pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN