GALAKAN penyertaan generasi muda untuk turut serta bersama kerajaan dalam perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi signifikasi bahawa peranan yang dimainkan oleh golongan tersebut membolehkan mereka menjadi pengundi dalam pilihan raya dan menjadi pemimpin negara kelak. Ia sekali lagi merupakan analogi kepada hambatan harapan generasi ini untuk menyertai pelbagai program kerajaan dan swasta yang boleh memberi manfaat terhadap kedudukan, peranan dan masa depan untuk merubah wajah negara ini.
Tidak lama lagi cadangan penetapan kerajaan untuk menurunkan usia minimum pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dijangka akan dapat direalisasikan pada tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Perubahan dasar ini boleh disifatkan sebagai tindakan bijak, berani dan mencabar. Ia membuktikan peralihan paradigma (paradigm shift) dalam proses perlembagaan negara yang mengiktiraf golongan belia atau remaja berusia 18 tahun sebagai pengundi muda pada PRU akan datang. Ini menunjukkan komitmen kerajaan bersungguh-sungguh dalam menguji golongan belia untuk mencabar diri menjadi warganegara yang bersedia menunaikan peranan dalam memilih pemerintah dengan berbekalkan rasa tanggungjawab dan bijak menafsir peradaban budaya politik di negara ini.
Dalam erti kata lain, belia kita akan mengalami cabaran menilai kematangan diri apabila golongan ini terlibat secara langsung dalam percaturan arena politik dengan lebih terbuka.
Kalau dibandingkan dengan negara-negara lain seperti di Eropah, Amerika Latin dan Timur Tengah, tahap usia minimum remaja mengundi kebanyakkannya dari umur 16 tahun. Malah beberapa buah negara seperti di Argentina, Austria, Brazil, Cuba, Ecuador, Nicaragua sudah pun mengamalkan tahap usia minimum pengundi ke paras 16 tahun.
Walau bagaimanapun, dalam konteks kebanyakkan negara Asia, penetapan usia remaja 18 tahun mengundi masih menjadi polemik dan menjadi bahan perdebatan dalam dasar pemerintahan sesebuah negara. Indonesia, misalnya telahpun membuat ketetapan tahap usia pengundi muda seawal 17 tahun, berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara yang masih mengekalkan 21 tahun.
Di Malaysia, jumlah pemilih belia berusia antara 21 ke 40 tahun berjumlah 6,249,062 orang (sumber: SPR.2021). Sementara bilangan belia di peringkat usia 18 hingga 20 tahun mencecah 1.2 juta orang. Ia menunjukkan penambahan setiap tahun.
Sudah pasti pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan ini mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan masyarakat.
Sejak kebelakangan ini beberapa kerajaan negeri seperti Sabah dan Sarawak telah meluluskan pindaan tahap usia ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini. Ini menunjukkan golongan belia muda akan mewarnai budaya politik dan mengisi tradisi kepimpinan politik negara tidak lama lagi.
Dalam keghairahan mencipta perubahan drastik ini, beberapa aspek yang perlu diperhatikan oleh kerajaan sebelum melaksanakan dasar penetapan umur mengundi tersebut termasuklah:
1. Tahap kematangan remaja yang boleh dipersoalkan. Ini kerana mereka terbatas kepada kandungan media sosial dan sangat bergantung kepada kuasa media untuk menyebar dan mempengaruhi pemikiran menerusi lambakan maklumat yang boleh mengancam peradaban budaya.
Banyak kajian membuktikan bahawa kebergantungan kepada media sosial boleh memberi implikasi negatif kerana mereka seakan tidak berpijak di dunia realiti dan hanya menerima apa sahaja kandungan terutama berkaitan dengan hal ehwal politik negara yang boleh dimanipulasilan oleh pihak-pihak tertentu untuk mempropagandakan isu. Kajian indeks Petriotisme Belia 2020,misalnya menunjukkan tahap kesedaran belia terhadap kenegaraan masih rendah, iaitu di paras 30 peratus dan sudah pasti akan memberi kesan terhadap proses pembuatan keputusan dalam kalangan mereka terutamanya berhadapan kesukaran untuk memilih parti politik penerajui kerajaan akan datang.
2. Kematangan belia muda dalam hal ini juga agak subjektif kerana pada usia sedemikian, remaja masih mencari-cari identiti dan lebih terdorong kepada sifat-sifat emosi yang membolehkan mereka berfikir dan membuat keputusan. Dikhuatiri sekiranya mereka terpengaruh dengan dakyah-dakyah isu politik di media massa. Ini akan menyebabkan mereka terkeliru dengan keputusan yang bakal diambil.
Pada peringkat usia sebegini juga, remaja harus terdedah dengan ilmu keorganisasian, berpersatuan,mengenali sifat parti-parti politik sebagai satu kaedah mematangkan fikiran sebelum membuat keputusan mengundi atau memilih kerajaan memerintah.
3. Reformasi pendidikan harus dilaksanakan sejak peringkat bangku sekolah lagi. Subjek Kenegaraan, Sejarah Malaysia, Sistem Perlembagaan Negara, Perihal Dasar-dasar Negara dan Masyarakat perlu dijadikan subjek teras dalam kurikulum pendidikan negara. Pelajar harus dibimbing supaya mempunyai cukup ilmu pengetahuan dan kefahaman menyeluruh berkaitan dengan hal-hal dan isu kenegaraan nasional.
4. Langkah kerajaan untuk melancarkan penubuhan program kenegaraan yang lebih komprehensif menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini merupakan satu langkah tepat bagi mendidik warga belia muda memupuk dan mengembangkan ilmu kepengurusan dan semangat patriotistme terutamanya berhubung dengan hal-hal kenegaraan semasa. Namun niat tersebut yang dihalangi dengan pandemik Covid-19 barangkali boleh digantikan dengan kaedah pembelajaran digital harus disegerakan pelaksanaannya yang boleh memanfaatkan sebahagian besar golongan belia tanpa menunggu pandemik berakhir beberapa tahun lagi.
5. Disyorkan organisasi-organisasi belia seperti Majlis Belia dan persatuan-persatuan belia dapat mengembangkan usaha untuk mendidik dan memimpin golongan remaja dalam hal-hal kenegaraan dengan lebih menyeluruh seperti mengadakan kempen-kempen pendidikan kenegaraan terancang dan aktiviti-aktiviti yang boleh membina semangat patriotisme.
6. Pemerkasaan peranan remaja dalam soal-soal kemasyarakatan dan kesukarelawan komuniti sejak bangku sekolah seharusnya tersirat dalam agenda pendidikan nasional bagi membolehkan golongan ini dapat menerapkan pemahaman mereka terhadap keperluan masyarakat setempat dan kepentingan perjuangan budaya politik mengikut acuan citra negara yang positif.
Penyertaan politik dalam kalangan belia muda hari ini juga akan menyaksikan bahawa perjuangan mereka menghadapi ketidaktentuan dunia kerjaya akibat pandemik Covid-19 dan kegawatan sosioekonomi akan menjadi agenda utama golongan ini merubah landskap politik hari ini yang tidak lagi dibataskan dengan kepentingan parti politik semata-mata.
Oleh yang demikian, menjadi satu cabaran buat kerajaan untuk memastikan bahawa risiko yang akan dihadapi bagi membolehkan belia kita seawal usia 18 tahun dipertanggungjawabkan untuk memilih kerajaan akan dapat ditangani dengan bijaksana.
Sampai masanya nanti remaja kita bersedia untuk menggalas peranan dan amanah menjadi pengundi yang jujur dan memahami serta menyakini pilihan yang bakal mereka terjemahkan di peti-peti undi di kemudian hari.
TS. Dr. Syed Agil Alsagoff , Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi,Media dan Industri Kreatif (CMCi), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia










