Barat beralih ke teknologi Turki - Utusan Malaysia

Barat beralih ke teknologi Turki

DRON Bayraktar TB2 menjadi bualan selepas dilihat sebagai salah satu punca utama kemenangan Azerbaijan dalam Perang Nagorno-Karabakh pada 2020. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT laman globalfirepower.com, kekuatan ketenteraan Turki berada di ranking ke-11 dunia pada tahun ini, satu anak tangga atas Itali. Laman sesawang yang sentiasa menjadi tumpuan ramai itu mengukur tahap kekuatan sesebuah negara berdasarkan pertahanan, kewangan hingga kemampuan logistik dan geografi.

Ramai dalam kalangan kita sedia maklum tentang keagungan dan kehebatan angkatan tentera Turki dari zaman khilafah Empayar Uthmaniyah yang diasaskan oleh Osman Gazi pada 1299. Kekuatan kurniaan Tuhan itu tidak lain hanya semata-mata untuk mengembangkan dan mempertahankan ajaran Islam di seluruh dunia.

Sistem ketenteraan Turki yang moden dan canggih sentiasa menjadi mimpi ngeri bagi negara-negara Barat dan sekutunya sehingga terpaksa menggunakan pelbagai kaedah dan cara dalam melemahkan Turki. Tambahan pula melihatkan kedudukan geografi Turki yang merupakan pintu masuk-keluar antara Asia dan Eropah sangat merungsingkan mereka.

Institut penyelidikan ketenteraan antarabangsa bebas, Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) melaporkan, import bekalan senjata ke Turki merosot 59 peratus antara 2011 hingga 2020. Antara faktor utama penurunan tersebut disebabkan Amerika Syarikat (AS) menghentikan penghantaran pesawat tempur F-35 ke Turki pada 2019. AS dikatakan marahkan Turki yang membeli sistem pertahanan udara Rusia yang dilihat sebagai musuh tradisi AS, Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Namun, sebenarnya sekatan tersebut lebih menguntungkan Turki kerana laporan SIPRI turut menyatakan faktor lain penurunan itu juga disebabkan Turki meningkatkan pengeluaran senjata domestik sekali gus mengurangkan kebergantungan ke atas senjata asing.

Syarikat-syarikat pengeluaran peralatan senjata moden gergasi di Turki seperti Industri Aeroangkasa Turki (TAI), ASELSAN, Roketsan, Perbadanan Industri Kimia dan Mekanikal (MKEK) serta FNSS menjadi semakin terkenal dan berjaya menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama dengan negara-negara asing baik di Asia mahupun Eropah.

Keberkesanan senjata keluaran Turki tidak boleh disangkal lagi seperti dron Bayraktar TB2 keluaran Baykar Defence, tujuh tahun lalu. Dron tersebut menjadi bualan dunia setelah dilihat sebagai salah satu punca utama kemenangan Azerbaijan dalam Perang Nagorno-Karabakh pada 2020.

Tentera Azerbaijan memusnahkan lebih RM4.18 bilion peralatan tentera Armenia. Ini menunjukkan produk keluaran Turki terbukti berkualiti tinggi.

Dron Bayraktar TB2 yang dibeli Azerbaijan pada Jun 2020 berjaya menghancurkan banyak kenderaan berperisai Armenia seperti kereta kebal dan pelancar roket. Bahkan dron yang tidak dipandu manusia itu juga telah mengucar-ngacirkan barisan pertahanan Armenia dan kedudukan infantri mereka.

Laporan akhbar antarabangsa pula menyebut, dron jenis itu berjaya memusnahkan 12 belas peluru berpandu Armenia. Perkembangan ini ternyata sangat meresahkan Barat dan sekutunya apabila lebih banyak negara Eropah Timur mengambil keputusan untuk membeli dron dan alat senjata lain keluaran Turki.

LAUT HITAM

Poland menjadi anggota NATO pertama membeli dron Bayraktar TB2 dilengkapi peluru berpandu antikereta kebal diikuti Ukraine yang menggunakan dron tersebut sebagai kegunaan tentera lautnya memantau Laut Hitam.

Laporan Forbes mendedahkan terdapat beberapa lagi negara Eropah yang ingin mengimport dron sama seperti Latvia. Albania pula dilaporkan menyediakan sebanyak RM40.58 juta untuk membeli dron tersebut.

Sebenarnya dron ini sudah lama digunakan dan keberkesanannya terbukti di medan perang. Semua sistem berfungsi dengan lancar dan baik di Syria, Libya dan Armenia.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang perkara ini, saya menemu bual Ketua Pengarang Tamindir, Ramazan Kahraman. Menurut Ramazan, beliau sangat yakin dengan produk ketenteraan negaranya (Turki).

“Saya mengikuti rapat pengeluaran industri pertahanan negara. Embargo ke atas Turki merupakan antara perkara utama perkembangan industri pertahanan domestik Turki.

“Ternyata produk yang dihasilkan setelah embargo jauh lebih kukuh dan selamat,” katanya.

Ramazan yang pakar dalam bidang teknologi menambah, sebenarnya NATO berada di belakang perkembangan produk pertahanan Turki yang berkualiti tinggi. Bahkan kesemua senjata dalam inventori Turki mesti mengikut piawaian NATO. Hal ini membolehkan Turki mengembangkan senjata dengan lebih mantap.

Baru-baru ini juga, saya bertemu Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman.

Menurut beliau, dunia Islam kini sudah mempunyai alternatif dalam aspek teknologi ketenteraan.

“Turki semakin menyerlah dalam soal ini. Pergantungan kepada Barat tidak selamanya menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

“Tiada salahnya untuk menjadikan Turki sebagai alternatif dan teknologi dron mereka ternyata menyerlah. Malaysia patut memanfaatkan hubungan baik selama ini,” katanya yang juga Presiden Wadah Pencerdasan Umat (Wadah).

Pada pandangan saya, inilah masa negara kita menumpukan lebih perhatian kepada teknologi Turki dan memanfaatkannya semaksimum mungkin. Ini bukan sahaja disebabkan Turki merupakan sebuah negara Islam, bahkan produk-produk pengeluaran mereka juga bertaraf dunia.

Sekiranya terdapat banyak negara Eropah berebut untuk mendapatkan teknologi Turki, mengapa tidak kita?

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×