KERAJAAN memulakan proses vaksinasi pada Februari lalu menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan sasaran imuniti kelompok sebanyak 80 peratus. Program ini mendapat sokongan penuh daripada badan autoriti agama seperti Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri sebagai satu bentuk ikhtiar perubatan.
Pemberian vaksin sehingga mencapai imuniti kelompok akan membolehkan masyarakat kembali kepada gaya hidup asal seperti menjamu selera di restoran, ziarah-menziarahi dan melakukan solat secara berjemaah di masjid.
Meskipun demikian, program berkenaan berdepan pelbagai cabaran termasuk keengganan sebahagian masyarakat untuk mendapatkan vaksinasi seperti dijadualkan.
Antara alasan diberikan adalah memperjuangkan hak kebebasan untuk membuat pilihan berkaitan kesihatan diri.
Kelonggaran terhadap golongan yang telah lengkap vaksinasi dipandang negatif oleh mereka yang enggan menerima vaksin. Mereka melihat polisi ini menyekat kebebasan dan menganggapnya satu bentuk penindasan.
Bagi membolehkan mendapat kelonggaran yang sama, sebahagian daripada mereka mencipta helah seperti mewujudkan sijil vaksinasi palsu dan pelbagai cara lain agar mereka kelihatan telah lengkap vaksinasi.
Menggunakan kaedah yang salah untuk memperoleh kelonggaran pergerakan sehingga mengundang bahaya kepada orang lain merupakan suatu bentuk muslihat dan pengkhianatan.
Sikap sebegini mengingatkan kepada kita perihal sikap satu kaum yang dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 65 bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina.”
Ayat ini merujuk kepada kaum Yahudi pada zaman Nabi Musa a.s. Mereka diberikan ruang untuk memburu dan menangkap ikan setiap hari kecuali Sabtu yang dikhususkan untuk beribadah. Allah menguji dengan menampakkan ikan pada Sabtu dan menyembunyikan pada hari lain.
Sikap fasik dan khianat mendorong mereka mencari muslihat untuk mendapatkan ikan pada Sabtu tanpa kelihatan secara zahir pergi berburu. Mereka memasang pancing, jala dan perangkap ikan sebelum Sabtu. Apabila ikan-ikan keluar pada Sabtu, maka ikan-ikan tersebut pun tertangkap.
IKHTIAR
Kemudian kaum Yahudi itu memungut hasil tangkapan selepas Sabtu. Disebabkan keserakahan mereka menggunakan helah untuk melanggar perintah Allah, maka Allah menukarkan rupa mereka menjadi kera yang hina. Demikianlah kesudahan bagi mereka yang bersikap tidak amanah dan khianat.
Adapun polisi mendapatkan vaksinasi tidak menyamai taraf perintah Allah, mahupun perintah rasul. Namun, dalam polisi tersebut terkandung ikhtiar dan hasrat memelihara kesejahteraan rakyat dan negara. Begitu juga syarat vaksinasi yang lengkap untuk membolehkan masyarakat diberi kelonggaran pergerakan.
Meskipun polisi kerajaan ini tidak menyamai syariat Allah, helah penciptaan sijil vaksinasi palsu tetap dianggap satu bentuk kezaliman terhadap masyarakat sekeliling dan pengkhianatan terhadap negara. Hal ini kerana perbuatan sedemikian melanggar kepercayaan orang lain dan mendedahkan masyarakat sekeliling kepada bahaya jangkitan.
Sikap khianat ini tidak ubah seperti sikap kaum Yahudi yang dinyatakan sebelum ini. Yahudi merupakan bangsa yang dimurkai oleh Allah SWT. Sikap pecah amanah dan pengkhianatan mereka telah banyak dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Oleh sebab itu, seluruh umat Islam membenci sikap dan perangai bangsa Yahudi.
Sebagai umat Islam yang berpegang kepada ajaran al-Quran dan sunah, sikap dan perangai Yahudi tersebut perlu dihindari.
Dalam konteks vaksinasi, masyarakat digesa untuk mendapatkannya bagi melindungi diri daripada komplikasi buruk jangkitan Covid-19. Namun, usaha ini tidak mampu menggesa, apatah lagi memaksa golongan yang enggan mendapatkannya. Golongan ini mempunyai hak yang dirasakan penting bagi mereka untuk dipertahankan.
Meskipun begitu, kepercayaan terhadap hak tersebut tidak sepatutnya membawa kepada muslihat dan tipu helah sehingga mengganggu-gugat hak majoriti masyarakat lain yang menerima usaha vaksinasi untuk melindungi diri.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










