DENGAN pengumuman peletakan jawatan beliau semalam, maka berakhirlah jangka hayat pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang bermula 1 Mac 2020 setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari sebelumnya.
Kisah Muhyiddin hampir sama dengan kisah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, mengemukakan pelan untuk membentuk kerajaan perpaduan merentas jurang politik bagi kembali berkuasa tetapi ditolak oleh parti lain.
Bezanya, tawaran kerajaan perpaduan Dr. Mahathir dibuat tatkala beliau kehilangan jawatan, diberi peluang untuk menjadi perdana menteri interim dan dalam usahanya membentuk sebuah kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan PH yang sudah terkubur.
Berlainan pula ceritanya dengan Muhyiddin yang bukan menawarkan kerajaan perpaduan yang memerlukan pembentukan barisan Jemaah Menteri daripada parti-parti berlainan ideologi atau para profesional tatkala beliau sudah tidak lagi berkuasa.
Sebaliknya tawaran Muhyiddin hanyalah tawaran perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) berupa tujuh komitmen kepada parti pembangkang sebagai tukaran kepada komitmen mereka untuk menyokong usul undi percaya kepada beliau.
Tujuan Muhyiddin mengemukakan tawaran ini adalah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bipartisan di Parlimen selain tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik tidak diselesaikan segera.
Tawaran CSA adalah suatu langkah amat berani diambil oleh Muhyiddin setelah berunding dengan rakan-rakan beliau di dalam Kabinet dan pimpinan parti-parti dalam kerajaan PN.
Pemberian CSA juga dikira munasabah bila difikirkan tindakan sama dibuat di Perak oleh Menteri Besarnya dari UMNO, Datuk Saarani Mohamad, pada Disember 2020, ia disambut baik oleh parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan sivil.
Ia juga dikira rasional kerana tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting di mana kerajaan merancang untuk mencapai imuniti kelompok pada Oktober dan sasaran ini tidak akan tercapai jika negara terganggu dengan kemelut politik tidak berkesudahan.
Tujuh komitmen yang ditawarkan adalah menarik dan boleh memastikan kepentingan rakyat terjaga meliputi perkara-perkara yang pernah parti-parti pembangkang perjuangkan di samping tidak menggadaikan prinsip perjuangan mana-mana parti:
1. Peruntukan tahunan yang sama kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.
2. Penambahbaikan substantif Pelan Pemulihan Negara berdasarkan input dan cadangan diperoleh daripada libat urus Menteri Kewangan dengan pelbagai pihak termasuk pembangkang.
3. Membentangkan di Parlimen suatu rang pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan rang antilompat parti.
4. Memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
5. Melaksanakan Undi18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
6. Berunding terlebih dahulu dengan semua ahli Parlimen tentang rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen.
7. Memberikan saraan dan kemudahan setara seorang menteri kanan kepada Ketua Pembangkang.
IKHLAS
Malangnya di sebalik menyahut jemputan Muhyiddin supaya membincangkan cadangan-cadangan itu, parti-parti pembangkang dalam PH khususnya terus sahaja mengeluarkan kenyataan media melalui Majlis Presidennya yang menempelak tawaran berkenaan.
Yang menjadi perhatian utama mereka bukanlah membincangkan isi tawaran tetapi mempolitikkannya dengan mendakwa ia adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat yang mewajibkan Muhyiddin meletakkan jawatan.
Penolakan serta-merta Majlis Presiden PH terhadap tawaran Muhyiddin ini merupakan satu manifestasi kepada kegelojohan PH dalam membuat keputusan sekali gus menonjolkan obsesi PH untuk merampas kuasa walhal belum tentu kuasa akan menjadi milik mereka.
Jika para pemimpin PH benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya menimbangkan secara rasional tawaran Muhyiddin di dalam mesyuarat parti-parti komponen di samping menunjukkan kematangan berpolitik dengan sekurang-kurangnya memberikan tawaran balas ke atasnya.
Para pemimpin PH seharusnya menunjukkan secara telus dan terbuka kepada rakyat, apakah yang dikatakan perancangan lebih baik yang mereka ada untuk dibandingkan dengan tawaran Muhyiddin tetapi ia tidak berlaku di mana tiada sebarang penjelasan pun diberi mengenainya.
Menyedihkan sekali reaksi PH dan parti-parti pembangkang lain ini yang sekali gus menjadi bukti jelas betapa para pemimpinnya tidak benar-benar ikhlas untuk menjaga kepentingan rakyat sebaliknya hanya mahu mengejar kuasa sehingga menolak mentah-mentah tawaran ini.
Tiada apa pun yang perlu dikesalkan oleh Muhyiddin bila tawaran ini ditolak, malah ia sebaliknya akan tercatat dalam lipatan sejarah sebagai satu tanda kerendahan hati dan keikhlasan beliau untuk benar-benar memastikan kepentingan rakyat dan negara terjaga.
Sesungguhnya peletakan jawatan Muhyiddin adalah suatu tindakan bermaruah yang menjadi bukti bahawa beliau bukan gila kuasa dan jika Perdana Menteri baharu datang daripada pendukung PN juga, bukan pendukung PH, seperti diperkata maka PH yang perlu menyesal.
Muhyiddin akan dikenang sebagai seorang Perdana Menteri yang bertungkus-lumus memerangi musibah Covid-19 tetapi terpaksa berundur di saat bayang-bayang kejayaan sudah terlihat ekoran sikap tidak berkompromi beliau ke atas prinsip kedaulatan undang-undang.
DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).











