PEMIMPIN boleh datang dan pergi, bila-bila masa. Namun, matlamat sebagai pemimpin tetap sama, iaitu memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat. Itu yang penting.
Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersembahkan surat peletakan jawatan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Sebelum itu pada sebelah pagi, beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya.
Berita peletakan jawatan tersebut tidak mengejutkan kerana sejak Ahad lalu sudah heboh desas-desus mengenainya. Maka redalah seketika kemelut politik yang mencetuskan kegusaran rakyat dalam berdepan pandemik Covid-19.
Muhyiddin, 74, diberi tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu negara pada 1 Mac 2020. Beliau memegang tampuk pentadbiran kerajaan ketika gelombang kedua pandemik Covid-19 membadai negara ini.
Letaklah mana-mana pemimpin di kerusi berkenaan, bukan suatu tugas mudah ketika seluruh dunia sedang berdepan wabak maut yang belum pernah dikenali sebelum ini. Bagaimana mahu memastikan jangkitan tidak terus merebak, hidup rakyat tidak menderita dan ekonomi terus dijana dalam keadaan begitu sukar ini?
Namun, Ahli Parlimen Pagoh itu cekal berdepan cabaran luar biasa tersebut. Antara tindakan segera beliau bagi membendung penularan pandemik adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac 2020. Ia disusuli beberapa peringkat PKP bagi menyeimbangkan kelangsungan hidup rakyat, juga sektor-sektor yang terkesan akibat pandemik. Ternyata langkah tersebut berjaya mengawal penularan hingga suatu ketika, statistik kes positif harian hanya dua. Keberkesanan langkah diambil beliau itu turut mendapat pujian masyarakat dunia.
Bagi kehidupan rakyat yang terkesan disebabkan PKP, beliau mengumumkan pakej-pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih RM500 bilion. Antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).
Dalam ucapan ketika mengumumkan pakej-pakej tersebut, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini menggunakan nama-nama seperti Makcik Kiah, Pak Salleh, Kak Radziah dan Datuk Lim bagi menerangkan secara mudah faedah dan manfaat yang bakal diperoleh rakyat. Pendekatan sedemikian memperlihatkan Muhyiddin begitu menyelami denyut nadi rakyat yang terkesan.
Pendekatan mesra dan prihatin rakyat oleh Muhyiddin dalam dasar dan polisi pentadbirannya itu begitu disenangi dan mendapat tempat di hati banyak pihak. Sehinggakan netizen di media sosial memberikannya gelaran Abah. Barisan Kabinet beliau turut menerima tempias apabila timbalannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipanggil Pak Long manakala Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai Pak Ngah.
DARURAT
Beliau turut mengambil langkah berani memperkenalkan buat pertama kali, i-Sinar dan i-Citra bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun untuk membuat pengeluaran simpanan masing-masing mengikut syarat-syarat ditetapkan.
Bagaimanapun, segala usaha Muhyiddin termasuk proklamasi darurat sejak 12 Januari lalu masih tidak mampu membendung penularan Covid-19 malah semakin serius. Setakat kelmarin, jumlah kes baharu positif harian adalah 19,740 manakala jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 1,424,639 dan jumlah kematian 12,784.
Berikutan itu, banyak pihak mendesaknya melepaskan jawatan termasuk rakyat yang kehidupan mereka semakin terhimpit berikutan terlalu lama berada dalam fasa PKP. Perhimpunan aman yang disertai majoriti anak-anak berpakaian hitam sambil membawa bendera hitam berhampiran Dataran Merdeka turut diadakan penghujung Julai lalu. Itu belum lagi kecaman-kecaman dalam media sosial terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tidak cukup itu, kerajaan dipimpinnya terus terumbang-ambing setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya. Sebagai jalan terakhir, Jumaat lalu, Muhyiddin memberi pelbagai tawaran kepada pembangkang dan UMNO supaya menyokongnya dalam usul percaya di Parlimen nanti. Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak.
Agak terkilan keadaan sebegini berlaku tatkala Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dicetuskan oleh kerajaan berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 50 peratus populasi negara menerima vaksin lengkap menjelang 31 Ogos ini. Sehingga kelmarin, 47.2 peratus populasi dewasa di seluruh negara telah menerima vaksinasi lengkap manakala lebih 73.7 peratus sekurang-kurangnya satu dos.
Apakan daya, ketika Muhyiddin cuba menongkah arus, beliau tewas jua. Menerima hakikat arus politik ada pasang surut, beliau seraya mengangkat bendera putih tanda reda dengan ketentuan Ilahi. Namun, usahlah kita terlalu menghukum. Sebaiknya yang pahit dan buruk itu kita buang jauh-jauh. Yang baik dan mulia itu kita kenang hingga nyawa dikandung badan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.
“Saya dan rakan-rakan dalam jemaah menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini. Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi, saya memohon maaf,” kata Muhyiddin dalam perutusan terakhir sebagai Perdana Menteri, kelmarin.
Terima kasih, Abah.
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










