PADA 27 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelantikan 31 menteri dan 38 timbalan menteri di bawah pentadbirannya. Beliau menyatakan, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran ditetapkan. Setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama. Ertinya, rakyat kena tunggu lebih tiga bulan sebelum dapat tahu prestasi setiap menteri dan timbalan menteri yang dilantik minggu lalu.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Mohamed Arshad Raji, segera mempersoalkan tindakan Perdana Menteri ‘menghadiahkan’ 100 hari kepada barisan Kabinetnya untuk memperlihatkan prestasi mereka. Beliau juga menegur kedatangan rombongan besar Perdana Menteri ketika melawat kawasan dilanda banjir di Kedah yang menurutnya memperlihat sikap tidak sensitif dan bermewah-mewah yang tidak disukai rakyat. Baginya, Kabinet yang baru ditubuhkan ini seumpama bas lama dipenuhi penumpang sama, yang bertukar hanya pemandu.
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia juga berpendapat, Kabinet baharu ini tidak perlu diberi 100 hari untuk membuktikan prestasinya.
Kata seorang sahabat (pakar pengurusan), tindakan memberi 100 hari tanpa memberi apa-apa panduan kepada 69 pemimpin politik yang baru dilantik bukan sesuatu yang terbaik. Sebabnya, jika mereka orang lama, kebarangkalian mereka akan bekerja ikut cara lama kerana itulah sahaja yang mereka tahu dan berasa senang melakukannya. Sekiranya mereka orang baharu, tidak mustahil mereka akan mengamalkan pendekatan trial and error, kecuali ada pihak lain (mentor) yang memberi tunjuk ajar cara kerja yang betul.
Bukan semua orang sanggup jujur mengakui kelemahan atau kekurangan mereka, lalu bersedia tanpa segan silu meminta orang lain memberi tunjuk ajar kepadanya. Sahabat mencadangkan, selepas sahaja ahli jemaah menteri baharu ini dilantik, mereka segera diberi taklimat, latihan serta panduan bagaimana merancang tugas baharu mereka.
Taklimat serta tunjuk ajar ini boleh disampaikan oleh sesiapa sahaja yang mampu memberinya. Misalnya, bekas menteri kanan yang banyak pengalaman, bekas ketua setiausaha kementerian atau subject matter experts yang diakui kepakaran serta pengalaman mereka.
Bagi seorang ahli politik yang belum pernah memimpin atau mentadbir sesebuah kementerian, taklimat serta tunjuk ajar mengenai beberapa persoalan berikut wajar diberi kepadanya. Antaranya:
Apakah kementerian itu sudah ada visi dan misinya?
Apakah kementerian itu sudah ada dasar mengenai pelbagai isu atau perkara di bawah pentadbirannya?
Apakah sudah ada pelan induk bagi melaksanakan dasar tersebut?
Apakah sudah ada satu strategi serta pelan tindakan yang terperinci?
Apakah sudah ada tenaga kerja dan infrastruktur secukupnya supaya pelan tindakan itu boleh dilaksanakan dengan baik?
Apakah undang-undang serta prosedur yang jelas sudah ada untuk melaksanakan semua tugas itu?
Apakah latihan (teori dan amali) telah diberi secukupnya kepada para petugas di semua bahagian dan lapisan kementerian?
TABLIGH
Mengikut pakar pengurusan, Peter Drucker, peranan kepimpinan jauh berbeza dengan peranan pengurusan atau pasukan pekerja. Peranan kepimpinan adalah melakukan perkara yang betul, manakala peranan pengurusan dan pasukan adalah melakukan kerja dengan cara yang betul (Leadership is doing the right things, management is doing things right).
Dengan lain perkataan, matlamat kepimpinan adalah keberkesanan, manakala matlamat pasukan pekerja atau pengurusan adalah kecekapan.
Paling ideal, setiap menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik perlu memastikan segala kerja yang dilakukan oleh warga kerja di kementeriannya mempamerkan kecekapan dan akhirnya berkesan (mendatangkan hasil yang dirancang).
Tidak semua ahli politik ada pengamalan atau kepintaran merancang dan mentadbir jabatan kerajaan, apatah lagi sebuah kementerian besar yang mengandungi pelbagai jabatan. Beliau perlu bersedia belajar cepat dalam satu jangka masa yang amat singkat, keluk pembelajaran baginya perlu tinggi.
Saya tanya sahabat tadi, apakah ciri-ciri utama seorang pemimpin? Jawabnya: “Ada lima – punyai misi dalam kehidupannya, boleh menyelesaikan masalah, bersedia berhubungan dengan pihak lain, bijaksana bertindak walaupun menghadapi pelbagai kekangan, berintegriti tinggi, dan mampu menyampaikan visinya kepada pihak lain.”
Jawapan sahabat saya itu mengingatkan saya kepada empat sifat mulia Rasulullah SAW – jujur (bercakap benar), amanah (boleh dipercayai), tabligh (boleh menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).
Akhir kata, sahabat mengingatkan saya: “The first rule of leadership – everything is your fault.” Baik macam mana pun seorang pemimpin, dia mesti bersedia setiap masa menerima kritikan daripada rakyat.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.









