BILA sahaja ada kawan, kenalan mahupun orang tidak dikenali meninggal dunia pada saat ini, pantas kita bertanya, arwah kena Covid-19 ke? Kluster apa? Malah pelbagai lagi soalan mengalahkan wartawan. Untuk pengetahuan orang sebegini, ajal dan maut manusia bukan setakat Covid-19 sebagai asbab nyawa diambil malaikat Izrail.
Sejak dunia dilanda Koronavirus pada 2019 dan ditukar nama menjadi Covid-19, negara kita merekodkan kes melebihi satu juta dan angka kematian lima digit. Sebagai seorang Muslim, kita disyariatkan untuk mempercayai qadak dan qadar, segalanya ditentukan sejak azali. Namun, kita sebagai manusia mempunyai asa atau harapan untuk mengubah ketentuan dengan usaha dan doa.
Berbalik kepada kematian manusia, kita harus dimengertikan bukan Covid-19 sahaja mengintai mencari mangsa seterusnya. Ada juga kematian disebabkan sakit jantung akibat stres dengan keadaan pandemik yang masih belum kendur walaupun pemberian vaksin menghampiri imuniti kelompok.
Kematian juga boleh disebabkan kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian pemandu atau memandu di bawah pengaruh alkohol. Tahun lepas berlaku juga kes kemalangan maut melibatkan barisan hadapan akibat pemandu mabuk dan perkara tersebut membuktikan kita sebagai manusia perlu menghadapi pelbagai risiko kematian atau kecederaan.
Pengurusan risiko kematian atau penyakit harus dilakukan secara sistematik dalam memastikan penyakit tidak berjangkit menjadi lebih serius semasa pandemik berleluasa.
Jangan pula ada pesakit tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol, gentar ke hospital atau klinik untuk membuat pemeriksaan rutin tiga bulan sekali disebabkan takut virus Covid-19. Jika ada yang mempunyai sakit kardiovaskular, jangan pula melangkau pemeriksaan berkala atas alasan takut dijangkiti Covid-19 di hospital.
Kehilangan beberapa rakan Facebook saya dengan jumlah dua angka sepanjang dua tahun ini amat mengejutkan. 50 peratus meninggal dunia kerana Covid-19 dan 50 peratus lagi disebabkan kemalangan jalan raya, serangan sakit jantung, kencing manis dan sakit tua. Penyakit seperti demam denggi, tuberculosis (Tibi), jangkitan kuman dalam darah juga mampu menambah statistik kematian harian.
Ambillah langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan persekitaran rumah dan tempat kerja. Biasakan diri dengan penyahkuman setiap kali memegang permukaan seperti tombol pintu, memegang plastik barang, butang lif mahupun pen untuk mendaftar diri masuk ke premis seperti kedai dan restoran.
Pada saat ini jangan memandang remeh risiko penyakit yang sama akibatnya dengan jangkitan Covid-19. Jika virus boleh bermutasi, kita sebagai manusia harus bermutasi dalam melindungi diri kita daripada risiko penyakit mahupun kemalangan.











