MINGGU lalu, saya ada sebutkan dalam kolum ini bahawa drama politik di negara kita ini belum berakhir. Titah Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan akhbar Istana Negara bertarikh 16 Jun lalu belum dipatuhi sepenuhnya oleh badan eksekutif.
Hasrat Istana Negara agar wakil rakyat dapat berbincang dan berbahas mengenai apa jua isu negara tidak kesampaian. Persidangan pada 26 Julai lalu tidak lebih merupakan satu pemberian taklimat, kata seorang ahli Dewan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat kejutan apabila menyatakan semua ordinan darurat (yang sepatutnya dibentang di Dewan Rakyat supaya boleh dibahas) telah dibatalkan.
Apabila ditanya apakah pembatalan itu telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan telah diwartakan, menteri berjanji akan menjelaskan semua isu itu kemudian seperti diarahkan oleh Speaker. Hingga kini, isu pembatalan ordinan darurat ini samar-samar lagi.
Disebabkan persidangan kemudian digantung, wakil rakyat kita tidak ada peluang membahaskan dua isu berikut – prestasi kerajaan memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Perlu ditekankan, selain empat perkara ini (persidangan Parlimen, kelangsungan darurat, pandemik dan pemulihan ekonomi), Istana Negara juga mahu satu kerajaan yang kukuh dan stabil memerangi pandemik dan memulihkan ekonomi negara dengan berkesan.
Malangnya, krisis Perlembagaan dan kemelut politik menyukarkan dan membantut tugas penting ini. Hingga Sabtu 14 Ogos lalu, jangkitan virus Covid-19 mencecah 20,670 kes, manakala kematian 260 kes.
Apabila darurat berakhir pada 1 Ogos lalu dan UMNO kemudian mengumumkan tidak lagi menyokong kerajaan, situasi menjadi kritikal bagi Perdana Menteri.
Desakan datang dari pelbagai penjuru agar beliau meletak jawatan. Beliau hanya ada dua pilihan di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan – minta Yang di-Pertuan Agong bubar Parlimen atau letak jawatan. Pada hemat saya, dalam situasi Covid-19 sekarang, kedua-dua pilihan bukan sesuatu yang terbaik.
Pada pagi Jumaat lalu, saya menghadiri sembang dalam talian dengan beberapa individu, membincangkan senario undang-undang masa depan.
Antara isu yang kita bincangkan adalah andainya Perdana Menteri enggan meletak jawatan secara terhormat, apakah Yang di-Pertuan Agong ada kuasa simpan (reserve power) untuk memecatnya? Kita kaji amalan di beberapa negara komanwel lain apabila berdepan dengan situasi sama.
Saya tidak menyangka pada petang hari itu, Perdana Menteri sendiri mengakui perkara sama – bahawa beliau ada dua pilihan, iaitu meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen atau meletakkan jawatan.
Soalnya, setelah beliau meletak jawatan, apakah kita yakin kerajaan baharu yang ditubuhkan itu nanti akan kekal stabil dan kukuh, memandangkan kita tidak ada undang-undang antilompat parti?
KONGSI
Sebagai penyelesaian, beliau menawarkan kongsi kuasa antara kerajaan dan pembangkang untuk sama-sama bergabung tenaga membanteras Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Beliau menawarkan beberapa insentif dan langkah-langkah baharu untuk masa depan negara.
Malangnya, tawaran ini segera ditolak oleh pembangkang atas alasan sudah terlambat. Ada pula pihak lain yang berkata, tawaran Perdana Menteri ini satu rasuah.
Betulkah ia satu rasuah, satu jenayah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta SPRM 2009? Saya katakan tidak. Tawaran Perdana Menteri pada petang Jumaat lalu hendaklah dilihat sebagai satu usaha menyelamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara.
Perkongsian kuasa ini boleh disifatkan sebagai satu kerajaan perpaduan pimpinan kerajaan atau ringkasnya, Kerajaan Perpaduan 2.0. Versi asal kerajaan sebegini pernah dicadangkan dahulu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada hemat saya, ini adalah versi baharunya.
Apa yang dicadangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lalu itu adalah mewujudkan satu CSA (confidence & supply agreement) antara kerajaan dengan pembangkang.
Ironinya, perkara ini telah dibangkitkan oleh wakil rakyat DAP, Anthony Loke Siew Fook (Ahli Parlimen Seremban) pada 29 Oktober 2020. Pendekatan sebegini menjadi amalan biasa di beberapa negara sebelum ini, antaranya New Zealand, United Kingdom, Australia dan Kanada.
Kenapakah sekiranya satu cadangan ini datang daripada ahli politik pembangkang, ia boleh diterima tetapi apabila datang daripada Perdana Menteri, ia segera ditolak dan dipanggil rasuah?
Setiap kali saya sebutkan kepada sahabat tentang idea mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan (disebabkan tidak ada satu pemimpin pada masa ini yang ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat), ada sahaja sahabat yang menolaknya atas alasan – mustahil ahli politik pembangkang sanggup bekerjasama dengan kerajaan.
Lantas saya jawab balik: “Betul, jika mereka hanya memikirkan kepentingan politik mereka. Sedarlah, ini peluang pertama dalam kehidupan mereka memikirkan kepentingan orang lain.”
Andainya pembangkang sekarang setuju menyokong Perdana Menteri di bawa CSA demi mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, mereka boleh pada bila-bila masa menarik balik sokongan ini sekiranya kerajaan tidak setia kepada janjinya membela rakyat.
Harapan saya kepada ahli Parlimen kita, berhenti sekejap jadi politikus. Jadilah seorang negarawan.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.











