Sukan Olimpik edisi ke-29 melabuhkan tirai di bandar raya Tokyo, Jepun baru-baru ini. Pelbagai cabaran dan halangan terpaksa ditempuh oleh negara matahari terbit itu untuk menganjurkan temasya sukan terbesar dunia di waktu kemelut pendemik Covid-19 masih lagi berleluasa.
Tumpuan dunia pada ketika itu terarah ke Jepun selama dua minggu berlangsungnya temasya sukan tersebut. Seluruh dunia menyaksikan bagaimana Jepun menganjurkan Sukan Olimpik kali ini dengan memperkasakan kelestarian.
KITAR SEMULA
Pingat yang dikalung oleh pemenang diperbuat daripada perkakasan telefon pintar dan alat elektronik yang dikitar semula disumbangkan sepenuhnya oleh rakyat Jepun dan ia dijayakan menerusi Projek Pingat Tokyo 2020.
Podium untuk pemenang diperbuat daripada bahan plastik yang mana selepas sahaja tamat sukan Olimpik, ia dikitar semula.
Di perkampungan sukan, setiap bilik atlet dilengkapi perabot yang rata-rata diperbuat menggunakan kadbod seperti katil manakala tilamnya yang hadir dalam bentuk polietilena akan diguna semula untuk produk plastik.
Ada juga jenama sukan besar yang menyediakan kasut untuk kegunaan atlet yang juga daripada bahan kitar semula. Oleh itu, ia membuktikan sukan adalah antara medan yang sesuai ke arah pembangunan lestari (SDGs) 2030.
PENJARAKAN FIZIKAL
Setiap kali temasya sukan berlangsung, pelbagai insiden dan drama mencuit hati mewarnai kisah. Kisah suka duka yang menyentuh naluri kita akan menjadi kenangan kekal yang sinonim dengan Olimpik Tokyo 2020.
Dalam keadaan beringat-ingat untuk memastikan penjarakan fizikal sentiasa diamalkan, keakraban sosial pula perlu dipererat. Masih segar dalam memori kita tatkala dua atlet acara lompat tinggi meraikan kejayaan mereka memenangi pingat emas bersama.
Pelompat tinggi Qatar, Mutaz Essa Barshim dan pelompat tinggi Itali, Gianmarco Tamberi terikat markah sama pada ketinggian 2.37 meter. Kedua-dua atlet ini gagal melepasi ketinggian 2.39 meter. Mereka boleh meneruskan jump-off untuk mencari pemenang mutlak, tetapi kedua-duanya memilih untuk berkongsi pingat emas sekali gus mencatat sejarah tersendiri.
Kali terakhir dua atlet berkongsi pingat emas adalah lebih 100 tahun lalu, pada temasya 1912. Semangat kesukanan dan persahabatan yang sesuai dengan laungan sukan Olimpik kali ini, sukan untuk semua.
Cerita atlet wanita Filipina, Hidilyn Diaz yang memenangi emas pertama Filipina dalam sukan Olimpik menerusi acara angkat berat 55 kilogram membuktikan persahabatan menjangkau batasan sempadan. Dia berlatih di Jasin, Melaka dengan bantuan dihulurkan oleh keluarga Ahmad Janius Abdullah yang juga Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia.
Meskipun berlainan bangsa, warganegara dan agama, ia tidak menghalang keluarga Ahmad Janius membantu Diaz menyiapkan diri ke Tokyo 2020. Lebih manis lagi, Hidilyn Diaz tidak lupa mengucapkan terima kasih secara terbuka kepada keluarga Ahmad Janius sejurus selepas dia memenangi pingat emas.
Sejarah juga tercipta di Tokyo apabila buat pertama kali, dua beradik memenangi pingat emas pada hari sama. Atlet judo Jepun, Uta Abe memenangi pingat emas dalam acara 52 kilogram wanita menewaskan Amandine Buchard dari Perancis. Beberapa jam selepas itu, abangnya, Hifumi Abe menghadiahkan pingat emas untuk Jepun dengan menewaskan Vazha Margvelashvili dari Georgia. Sejarah dilakar oleh dua atlet tuan rumah di negara lahirnya seni judo, 140 tahun lalu.
Dalam sukan Olimpik kali ini menyaksikan faktor umur tidak menjadi penghalang untuk seseorang atlet. Atlet gimnastik artistik dari Uzbekistan, Oksana Chusovitana menyertai sukan Olimpik yang kelapan buat dirinya. Dia yang berumur 46 tahun mula menyertai Olimpik di Barcelona 1992 yang pada ketika itu mewakili Commonwealth of Independence selepas Soviet Union dibubarkan. Oksana juga pernah mewakili Jerman pada Olimpik Beijing 2008 dan memenangi pingat perak.
Penerjun lelaki Jepun, Ken Terauchi pula mengundur diri daripada sukan terjun selepas menyertai enam edisi sukan Olimpik bermula di Sydney 2000. Atlet yang berusia 40 tahun ini hanya tidak menyertai sukan Olimpik di London pada 2012. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
TAHNIAH MALAYSIA
Sekalung tahniah kita ucapkan kepada semua atlet Malaysia yang bertanding di sukan Olimpik kali ini. Kejayaan melayakkan diri ke sukan ini sudah membuktikan kemampuan mereka meletakkan diri masing-masing antara atlet elit dunia.
Tahniah kepada Datuk Azizul Hasni Awang yang memenangi pingat perak dalam acara keirin. Tidak lupa juga kepada beregu badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang membawa pulang pingat gangsa.
Syabas juga kita ucapkan kepada stesen penyiar di Malaysia yang menyiarkan keseluruhan sukan Olimpik kali ini, terutama RTM yang membawa aksi sukan Olimpik ke seluruh negara secara percuma menerusi semua aplikasi, televisyen, radio, laman sesawang dan telefon pintar supaya seluruh rakyat dapat bersama menyaksikan temasya ini.
Menurut RTM, sebanyak 7.8 juta penonton menyaksikan siaran Olimpik di semua saluran televisyen RTM dan 75 juta di aplikasi dan laman sesawang mereka. Pasti ada di suatu tempat di negara ini, seorang anak kecil yang menyaksikan kelibat jaguh negara dalam sukan Olimpik menerusi siaran berkenaan dan menanam semangat untuk menghadiahkan satu pingat kepada Malaysia, suatu hari nanti.
Sayonara Tokyo 2020, bonjour Paris 2024.
Dr. Harmi Ta’azim Mohamad ialah Pengarah, Pejabat Komunikasi, Advokasi & Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










