Merdeka bukan setakat di dunia - Utusan Malaysia

Merdeka bukan setakat di dunia

PERJALANAN untuk mencapai kesejahteraan dan keharmonian yang dikecapi pada hari ini bukanlah mudah tetapi penuh ranjau berliku. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETUJUKAH anda, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita sedang lalui cukup menyeksakan? Kita tidak boleh melancong sama ada di dalam mahupun luar negara, kita tidak bebas bergerak ke mana-mana bahkan ada juga yang terkesan sehingga hilang mata pencarian. Inilah sengsaranya bila tiada kebebasan, bila hidup terkongkong.

Sebenarnya keadaan ini jugalah kita boleh kiaskan betapa pentingnya sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Merdeka atau sebuah negara berdaulat boleh difahami sebagai bebas tanpa kongkongan dan penjajahan serta tiada kawalan mana-mana pihak. Kita bebas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan tanpa sebarang campur tangan pihak-pihak tertentu.

Kita tentunya pernah menonton filem berkisarkan jerih perih perjuangan seperti Bukit Kepong, Leftenan Adnan. Lihatlah betapa susah dan payahnya kehidupan, sentiasa berada dalam ketakutan, hidup dalam berjaga-jaga bila mana adanya ancaman keselamatan daripada pihak yang ingin menakluk serta mengganggu-gugat keharmonian dan kententeraman negara.

Dalam konteks yang lebih semasa, cubalah kita perhatikan betapa sedihnya rakyat Palestin yang terpaksa merempat di tanah air sendiri. Mereka terpaksa bergelumang dengan darah dan air mata demi mencari kebebasan. Hidup mereka dilatari keganasan zionis yang tidak pernah reda, kebiadaban zionis merampas tanah air mereka seinci demi seinci. Begitulah halnya bila tiada kemerdekaan.

Sekarang marilah kita renung sejenak kemerdekaan yang telah dikecapi oleh tanah air tercinta ini. Kita telah mengecapi nikmat kemerdekaan semenjak 1957. Usia kemerdekaan ini mencecah 64 tahun, 31 Ogos ini. Perjalanan untuk mencapai kesejahteraan dan keharmonian yang dikecapi pada hari ini bukanlah suatu perjalanan mudah tetapi penuh ranjau berliku yang ditempuh pejuang kemerdekaan pada masa dahulu. Hargailah perjuangan dan pengorbanan mereka. Dek kerana usaha merekalah, kita generasi hari ini mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya dan aman harmoni.

Jom koreksi bersama, apakah kita hari ini generasi yang tahu menghargai nilai sebuah kemerdekaan atau pun tidak? Negara kita memerlukan kepada pewaris untuk meneruskan legasi kemerdekaan dan kejayaan ini. Maka, apakah yang kita persiapkan diri untuk mewarisi legasi ini? Tunjang utama kepada kejayaan negara ini adalah kesatuan yang padu. Tetapi andainya kita hari ini seakan merestui adanya usaha-usaha halus untuk merobek kesatuan yang telah dibina, maka sebenarnya kita sedang merintis jalan kehancuran bagi negara tercinta ini.

TERGEDIK-GEDIK

Pewaris legasi kejayaan ini juga mestilah dalam kalangan mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dan daya kecerdikan yang boleh menilai baik buruk sesuatu perkara, bukannya mereka yang kian asyik tergedik-gedik di hadapan aplikasi Tik Tok, terkinja-kinja memenuhi ruangan Instagram dan kian khusyuk menghadap muka buka (Facebook) membaca berita-berita gosip yang luas bertebaran. Jika keadaan ini berterusan, maka jadilah kita suatu generasi yang kosong tanpa pengetahuan tetapi hanya hebat berbicara kosong bak kata orang zaman sekarang, sembang kari.

Awasilah anak kecil dan remaja yang telah kita berikan telefon pintar. Di tangan mereka itu peneman yang boleh menjadi ‘malaikat’ dan boleh menjadi ‘iblis.’ Maka awasilah sentiasa. Justeru, ayuhlah kita semua suburkan budaya menuntut ilmu, bukannya budaya berhibur sepanjang masa. Kepentingan ilmu adalah suatu perkara yang dimaklumi oleh semua. Ilmu adalah segala-galanya. Jadikanlah juga kemudahan teknologi media massa sebagai wadah untuk memperoleh ilmu, bukan untuk bersosial semata-mata. Jadilah generasi yang bijak menilai dan menapis setiap maklumat yang diperoleh agar dapat dipastikan kesahihannya.

Sebagai seorang Muslim pula, skop pandang kita bukanlah terhenti di dunia bahkan pandangan utama adalah akhirat. Akhiratlah kehidupan sebenar. Kehidupan dunia hanya sementara lagi memperdayakan kita semua. Jadi, merdeka yang kita cari adalah kemerdekaan di akhirat.
Selamat kita daripada murka Allah, selamat kita daripada azab neraka yang sangat dahsyat. Inilah hakikat sebuah kemerdekaan bagi seorang Muslim, iaitu beroleh reda Allah.

Dalam surah al Hadid ayat 20, Allah memberitahu kita: “Di akhirat adanya azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia) dan (ada pula) keampunan serta keredaan daripada Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

Sekiranya kita sedar dan faham bahawa kita adalah hamba Allah (‘abd), maka kita ini terikat dengan segala aturan yang telah ditetapkan iaitu hukum syariat. Cuma istimewanya, apabila di dunia kita menjadi hamba yang patuh dan taat maka Allah akan berikan nikmat bebas dan selamat daripada bakaran neraka yang menjulang-julang di akhirat kelak. Jadilah akhirat sebagai negeri untuk istirahat di dalam syurga, tempat yang hanya nikmat keseronokan semata-mata. Tiadalah lagi keluh kesah, serabut kepala memikirkan hutang sewa rumah, bil Astro, hari ini nak masak apa, tetapi yang ada hanyalah keseronokan mutlak. Allahuakbar.

Duhai saudaraku, jaga dan hargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini dengan cara yang betul. Usah lalai dan leka dengan syurga duniawi yang fana ini. Merdeka ini wajib kita pelihara agar tanah air tercinta ini menjadi wasilah untuk kita beroleh bahagia hakiki di negeri akhirat kelak.

PENULIS ialah Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×