Mencari keabsahan Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Mencari keabsahan Perdana Menteri

RAKYAT menunggu kebijaksanaan Seri Paduka dan Raja-raja Melayu untuk bertindak mencari jalan penyelesaian terbaik dalam membuat keputusan menyelesaikan kemelut politik negara. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK kiralah rentas parti atau berpakat dengan parti-parti di luar Perikatan Nasional (PN) atau apa sahaja istilahnya. Padahal sebenarnya ia sama sahaja maksudnya dengan membentuk satu jajaran baharu.

Atau membeli ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang, sekali gus ‘lompat parti’ dalam pengertian sama dengan lompat parti sebenar. Dan waima apa pun, pusing sini, pusing situ, kanan, kiri, utara, selatan, timur, barat, titik penamatnya – Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap masih Perdana Menteri dalam keadaan negara yang goyah.

Dengan kedudukan tidak ada majoriti – cuma berbaki 100 kerusi daripada 111 majoriti mudah, iaitu kurang 24 jam sebelum perutusan dibacakan pada pukul 6 petang Jumaat lalu – kerajaan PN diketuai Muhyiddin secara mengejut menawarkan pelbagai insentif kepada pembangkang.

Antaranya menyediakan saraan dan kemudahan kepada ketua pembangkang yang setara dengan menteri kanan sekiranya majoriti ahli Parlimen bersetuju dengan cadangan rentas parti dan meluluskan usul undi percaya pada sidang Parlimen, September ini. Itu kata Muhyiddin sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat jika usul undi percaya itu diluluskan. Faedah kepada ketua pembangkang itu adalah antara tujuh perkara yang dijanjikan oleh Muhyiddin, termasuklah tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal, Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dibentangkan dan pelaksanaan Undi18.

Muhyiddin sebenarnya telah menggunakan pelbagai cara untuk mengekalkan kedudukannya. Penguatkuasaan proklamasi darurat pada 11 Januari tahun ini misalnya, konon untuk membendung Covid-19. Malangnya, ternyata gagal apabila kes terus meningkat hingga lima kali ganda.

Tidak hanya menjual retorik kawalan Covid-19, proklamasi darurat juga menggantung sidang Parlimen dan semua sidang Dewan Undangan Negeri selain menangguhkan semua pilihan raya.

Keputusan itu mencetuskan perdebatan sejak awal sehingga Yang di-Pertuan Agong bertitah, persidangan Parlimen masih boleh dijalankan walaupun negara dalam darurat. Namun, tiada persidangan diadakan pada Mac lalu seperti lazim. Susulan itu, setelah kes tidak turun-turun, Yang di-Pertuan Agong mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada pertengahan Jun lalu. Seri Paduka bertitah, sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahas proklamasi darurat, ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Raja-raja pemerintah pula menzahirkan pandangan, darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Yang di-Pertuan Agong bertitah sekali lagi peri pentingnya perbahasan topik-topik tersebut ketika menerima menghadap dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada akhir Jun. Namun, titahnya tidak dituruti sehingga Seri Paduka menzahirkan rasa amat dukacita terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan juga Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menghadap Seri Paduka pada 24 Julai, dua hari sebelum sidang khas Parlimen. Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita pada 29 Julai setelah Takiyuddin tiba-tiba memaklumkan pada hari pertama sidang khas Dewan Rakyat bahawa semua enam ordinan darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai.

TERKEJUT
Terkejut dengan kenyataan tersebut, ahli-ahli Parlimen mendesak usul pembatalan dibentang dan dibahaskan dalam persidangan minggu lalu. Namun, kerajaan pula menegaskan sidang khas itu hanya sekadar penerangan menteri, bukannya usul mengungkai ordinan darurat. Setelah ditekan, akhirnya pada 3 Ogos lalu, Muhyiddin menyatakan kesediaan kerajaan untuk membawa usul membahas dan mengungkai ordinan tersebut pada persidangan September ini.

Begitupun, seandainya pelawaan rentas parti oleh Muhyiddin disambut oleh parti-parti pembangkang, adakah cukup untuk ruang ahli-ahli Parlimen mereka ditempatkan dalam Kabinet? Padahal, Kabinet PN sekarang sudah terlalu besar dengan 29 menteri, 38 timbalan menteri, menjadikan 69 orang keseluruhannya (termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri).

Malah, mungkinkah bertambah lagi kementerian, sedangkan ketika ini pun ada kementerian yang dahulunya semasa Pakatan Harapan memerintah 22 bulan ditugaskan kepada seorang menteri, sudah dipecahkan kepada tiga. Hakikatnya, akan lebih ramai menterilah andai kata rentas parti ini disambut parti-parti pembangkang. Lebih tinggi lagilah kos gamaknya yang akan ditanggung kerajaan.

Apakah sebenarnya jawapan kepada penamat gelora politik di Malaysia hari ini? Ini kerana sekali pun dibentuk kerajaan rentas parti atau apa sahaja istilahnya dengan kedudukan majoriti tipis atau hakikat sebenar kerajaan minoriti, politik negara dipercayai akan terus bergolak.

Ya, kita dimomokkan kononnya tidak boleh ada pilihan raya umum (PRU) kerana kes Covid-19 yang tinggi. Rancang prosedur operasi standard (SOP) yang terbaiklah. Mengapa Singapura dan Korea Selatan boleh melangsungkan pilihan raya mereka tahun lepas semasa Covid-19 membadai negara-negara berkenaan?

Antara boleh difikirkan, proses pengundian pilihan raya umum selama beberapa hari. Bukankah pilihan raya negeri pertama Sarawak pada 1969 dilangsungkan selama empat minggu secara berperingkat dari 10 Mei ke 7 Jun? Dalam sehari contohnya, dibenarkan kira-kira 500 keluar mengundi di satu-satu kawasan. Buat selama empat atau lima hari dengan kawalan ketat di banyak saluran.

Jalan penyelesaian terbaik adalah mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih dalam PRU, sekali gus membuktikan keabsahan kerajaan memerintah. Selagi tidak bubar Parlimen, selagi itulah pergolakan politik tanah air tidak akan selesai. Dan selagi itulah orang luar tidak yakin dengan Malaysia sehingga merencatkan kemasukan pelaburan asing.

Maka sekarang rakyat jelata tertumpu ke Istana Negara. Menunggu kepada kebijaksanaan Seri Paduka dan Raja-raja Melayu keseluruhannya untuk bertindak dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam membuat keputusan menyelesaikan kemelut politik demi kebaikan rakyat.

Ampun Tuanku!

 

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×