TAHUN ini, kali kedua sambutan Hari Kebangsaan tidak dapat diadakan dengan meriah seperti sebelumnya.
Di jalan raya, tidak kelihatan sangat kenderaan mengibarkan Jalur Gemilang. Kalau tidak, lori dan bas pun berbungkus dengan Jalur Gemilang. Di taman perumahan pun hambar. Anak-anak kecil tidak lagi berbasikal membawa Jalur Gemilang ke sana sini. Remaja bermotosikal pun yang dahulunya dengan bendera ke hulu ke hilir tidak kelihatan.
Bulan Kemerdekaan pun seakan-akan tenggelam dek usaha kita melawan Covid-19 yang sudah mencengkam sekian lama. Nampak sangat orang tidak fikirkan sangat soal Hari Kebangsaan tetapi lebih memfokuskan usaha memerangi pandemik.
Duit hendak beli Jalur Gemilang pun diguna untuk membeli benda-benda lain yang dianggap lebih penting terutama soal makan minum dalam keadaan ramai yang tersepit akibat kehilangan kerja.
Sekolah tidak lagi menyusun pelbagai agenda sambutan Hari Kebangsaan kerana budak-budak pun tidak ke sekolah. Budak-budak hanya di rumah dan belajar menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Oleh itu, sambutan kali ini ternyata hambar. Oleh sebab tidak boleh berkumpul, ini bermakna semangat jadi kurang, komitmen pun kurang.
Sebelum ini, kita sangat ghairah dengan sambutan Hari Kebangsaan dengan pelbagai agenda yang membangkitkan semangat patriotik. Di sekolah, pelbagai aktiviti diadakan daripada nyanyian koir, deklamasi puisi patriotik, pementasan drama sampailah kepada larian.
KAMPUNG
Selain kerajaan negeri, pelbagai badan di peringkat daerah dan kampung turut menganjurkan sambutan. Mercun dan bunga api dimainkan. Riuh-rendah di sana sini yang kadang-kadang mengalahkan hari raya.
Dalam suasana Covid-19 yang masih menekan, semua pihak mesti memahami usaha melawan pandemik memerlukan komitmen tinggi dan padu agar kita dapat hidup bebas seperti sedia kala. Meskipun sambutan Hari Kebangsaan kali ini terbatas, tidak semestinya jiwa kita dilunturkan kerana usaha melawan pandemik merupakan satu lambang cintakan negara yang sangat utuh. Terjemahkan rasa cintakan tanah air yang sangat mendalam menerusi pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Sambutan Hari Kebangsaan kali ini biarlah lebih bersifat kejiwaan.
Tidak perlu ke sana ke sini yang boleh menjejaskan usaha kita membendung penularan wabak.
Bagi yang berkemampuan dan memiliki Jalur Gemilang, kibarkanlah di rumah sebagai tanda semangat cintakan tanah air tetap membara di jiwa kita.
Bagi anak-anak sekolah, sambutan boleh diadakan secara dalam talian. Terpulang atas kebijaksanaan guru menyusun program untuk anak-anak didik mereka. Contohnya, pilihlah sebuah lagu patriotik untuk didendang bersama, adakan kuiz Hari Kebangsaan dengan menawarkan hadiah sekadar terdaya dan tanamkan jiwa anak-anak didik mereka dengan semangat cintai tanah air.
PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.










