Kita hanya perlu berubah dalam kehidupan seharian - Utusan Malaysia

Kita hanya perlu berubah dalam kehidupan seharian

SITI SURIANI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa hari ini, Malaysia berduka. Kita nampak sendiri statistik jangkitan Covid-19 semakin hari semakin meningkat. Pernah merekodkan sifar kes jangkitan pada tahun lepas, hari ini kita merekodkan lima angka kes positif setiap hari. Angka ini pastilah menggerunkan akal waras kerana Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dari segi saiz dan jumlah penduduknya tetapi jumlah kes positifnya sangat tinggi.

Kes-kes positif yang sangat tinggi jumlahnya bermakna ‘mencekik leher’ barisan petugas barisan hadapan kita. Kita merayu semua warga Malaysia sedar apa yang berlaku dalam negara kita hari ini dan bertindaklah mengikut apa yang digariskan. Jangan selesa dan tawakal sahaja yang suatu hari nanti Malaysia akan kembali seperti sedia kala. Tidak akan berlaku kesembuhan andai tidak diusahakan. Berubah adalah satu keperluan hari ini. 

Mengikuti normal baharu, menjaga kebersihan diri dan rumah lebih daripada biasa dan sentiasa peka dengan perkembangan semasa berkaitan pandemik adalah antara perubahan yang perlu. Memang diakui tidak selesa dan janggal apabila perlu berubah, tetapi itulah namanya kehidupan. Apabila pantai bah, pasir pun berubah, baharulah sesuai dengan fitrah dan kelangsungan kehidupan manusia.

Dengan jumlah kes positif melebihi 190 juta orang di seluruh dunia dengan lebih empat juta kematian, setiap daripada kita harus faham dan berubah. Namun, perubahan yang dimaksudkan haruslah bermula dengan kefahaman dan bukannya mengikut membuta tuli. Apa yang perlu kita difahami?

1. Bahayanya Covid-19 jenis Delta.

Covid-19 bukan hanya terdiri daripada sejenis virus tetapi bermutasi (berubah) dan hari ini wujud jenis atau varian yang dikenali sebagai Delta yang sangat mudah menjangkiti. Pesakit boleh dijangkiti tanpa simptom dan boleh menjangkiti seseorang secepat lima hingga 15 saat! Walaupun hanya ada 199 kes jangkitan Delta di Malaysia kini, wujudnya varian ini di Malaysia sendiri adalah berita buruk buat kita semua.

2. Keperluan vaksinasi.

Kajian di China mendapati individu yang belum divaksinasi dan dijangkiti varian Delta akan mempunyai lebih 1,000 kali jumlah virus dalam paru-paru mereka berbanding jika terjangkit Covid-19 jenis biasa. Individu yang belum divaksinasi pula jika terjangkit varian Delta akan mengalami kesakitan yang teruk sehingga perlu dimasukkan ke hospital. Mengikut pengkaji dari Universiti Yales, buat masa ini vaksinasi sedia ada adalah kaedah terbaik melindungi diri daripada varian Delta.

3. Kekalkan normal baharu.

Selain vaksinasi, kehidupan dengan normal baharu wajib diteruskan sungguhpun telah menerima vaksin. Memakai pelitup muka, membasuh tangan selalu dan tidak berada di tempat yang sesak tetap perlu menjadi gaya hidup hari ini. Kekal di rumah kecuali keluar hanya untuk urusan penting juga sangat penting kita amalkan. Apabila di luar, amalkan jarak satu meter dengan orang lain.

Jadi, apa yang perlu kita lakukan lagi secara konsisten bagi memastikan tidak dijangkiti varian Delta ini? Kekal di rumah sangat penting. Amalkan normal baharu juga penting. Memahami fakta dan kebenaran tentang Covid-19 serta varian barharunya juga penting. Dengan kefahaman dan keambiltahuan itu, pendekatan integrasi antara usaha dan doa juga tidak perlu dikompromikan. 

Di Brunei misalnya, buku-buku zikir diedarkan kepada pemandu kenderaan di jalan raya untuk diamalkan. Mungkin usaha ini menampakkan hasilnya apabila jumlah kes positif di Brunei hanya mencecah 321 kes dengan tiga kes kematian. Usaha lain Brunei yang juga efektif membantu ialah penutupan sempadannya terhadap semua warganegara asing. Hari ini, pejabat, sekolah dan universiti beroperasi seperti biasa di negara itu.

Di Malaysia nampaknya dugaan kita maha hebat. Maksudnya, melandaikan lengkung pandemik ini memerlukan usaha setiap orang dan bukan pihak-pihak tertentu sahaja. Klise sangat bunyinya tapi itulah hakikat yang tidak boleh ditolak. Dalam keadaan sekarang, setiap orang itu adalah penting. Kefahaman dan sikap setiap daripada kita terhadap pandemik ini menentukan di mana Malaysia beberapa hari lagi, minggu hadapan dan bulan hadapan.

Mampukah kita menangani kes-kes positif andai terlalu tinggi jumlahnya? Kita tidak mahu itu, kita mahukan penurunan kes. Maka, kita tidak mahu kerana kedegilan atau ketidakambiltahuan kita, Malaysia lumpuh dan lebih ramailah akan menderita bukan kerana Covid-19, namun kerana kesempitan wang dan kemurungan akibat tekanan hidup.

Apa yang terjadi itu adalah kerana sikap, keegoan dan kegagalan kita memahami keperluan hidup bersama, keperluan untuk berubah dan melindungi diri untuk melindungi orang lain. Kasihanilah petugas barisan hadapan yang sudah begitu banyak berkorban dan merisikokan diri mereka untuk kita. Kita hanya perlu berubah dan mengamalkan apa yang disarankan sebagai tanda sokongan kepada mereka. Bantulah mereka membantu kita dan negara.

Dr. Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya