Keperluan terdesak nilai integriti untuk masyarakat bebas rasuah - Utusan Malaysia

Keperluan terdesak nilai integriti untuk masyarakat bebas rasuah

RATNA ROSHIDA AB. RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dapatan Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa oleh pasukan penyelidik Institut Sains Sosial (Ipsas) Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan amalan rasuah dalam politik di negara ini berada di tahap sangat serius berbanding sektor lain iaitu dengan skor tertinggi sebanyak 91.4. Sektor Parlimen berada di tahap kedua tertinggi dengan skor 84.5 diikuti agensi penguatkuasaan 82.4 dan awam 81.1. 

Dapatan ini juga mendapati antara punca individu terlibat dengan rasuah adalah faktor kewangan, ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi. Kajiaan ini juga mengemukakan syor penubuhan Gerakan Anti-Rasuah Mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), mewujudkan satu biro khas berkaitan integriti dan antirasuah di bawah MPP di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) di samping meneruskan kempen benci rasuah. Kajian ini turut menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan kursus integriti dan rasuah sebagai subjek elektif di semua IPT mulai September 2021.  

Melihat kepada dapatan ini, tidak dinafikan usaha lebih agresif perlu dilakukan untuk menangani masalah rasuah yang merupakan virus, penghalang ke arah pembangunan negara dalam mengisi agenda matlamat pembangunan lestari (SDG) dan pembinaan tamadun Malaysia. Rakyat sebagai pemain utama dalam pembinaan tamadun perlu terlebih dahulu dipastikan mereka adalah sumber manusia yang mampu untuk berada di gelanggang utama. Sekiranya sumber manusia yang ada ini bermasalah, tiada padanya nilai integriti, sering melakukan pecah amanah, tidak mungkin Malaysia berjaya sampai ke tahap pembinaan sebuah negara maju yang mencapai tahap tamadun atau peradaban kerana initipati utama pembinaan tamadun adalah nilai moral, adab atau akhlak. 

Dalam hal ini, sudah tentulah nilai integriti, suatu nilai untuk melakukan hanya sesuatu yang baik dan betul, meskipun tiada siapa yang melihat adalah nilai utama yang diperlukan. Dalam membicarakan tentang usaha menangani rasuah, menjadi satu keperluan untuk melihat di mana puncanya. Meskipun dapatan menyatakan faktor yang menjurus kepada berlakunya rasuah ialah faktor tekanan kewangan, ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi, semua ini merupakan faktor luaran dan terdapat faktor  lagi penting untuk dilihat iaitu faktor dalaman yang menjadikan manusia terlepas daripada nilai yang sepatutnya mendasari perbuatannya.

Pendidikan tetap  dilihat sebagai usaha untuk menyemai dan menyuburkan nilai ini. Namun, bagaimanakah pendidikan nilai seharusnya berlaku? Di manakah lahirnya nilai ini, dan apakah nilai ini sebenarnya? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu kembali melihat kepada komponen kejadian kita sebagai manusia yang terdiri daripada tiga komponen utama iaitu fizikal (jasad), intelektual (minda atau mental) dan spiritual (rohani). Kefahaman kepada komponen kejadian kita dapat membantu menyelesaikan banyak masalah, Kegagalan untuk mengenali diri kita sendiri, mengakibatkan seseorang memberi makanan yang tidak tepat kepada komponen itu dan sekiranya komponen itu sakit, kita gagal untuk memberi ubat yang terbaik. Kesannya komponen tersebut terus berada dalam  kesakitan. Malangnya kesakitan yang dihadapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun kesannya mampu untuk dirasai dan dilihat dengan mata kasar. 

Usaha untuk mendidik nilai ini tidak hanya melibatkan komponen intelektual yang mana organ yang terlibat adalah otak, minda atau akal semata-mata. Komponen terpenting terlibat ialah komponen spiritual yang dianggap paling penting untuk memastikan fizikal dan intelektual dapat berfungsi dengan sejahtera. Organ yang terdapat di dalam komponen spiritual tidak mampu dilihat dengan mata kasar, namun mampu menentukan baik dan buruk tindakan atau perbuatan yang dilakukan, iaitu hati (kalbu). Ini seiring dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dalam diri manusia ada seketul daging, sekiranya baik daging tersebut, akan baiklah keseluruhan anggotanya dan sekiranya rosak, rosaklah keseluruhannya dan itu adalah hati.” Pada hati ini ada roh yang sifatnya kekal dan tidak akan mati serta sering bekerjasama dengan akal. Semua organ ini disebut sebagai jiwa. Perkara ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan tujuan Rasulullah SAW diutuskan atau dihadirkan ke muka bumi ini, iaitu untuk menyempurnakan akhlak manusia, iaitu suatu usaha mendidik komponen spiritual ini. 

Menjadi keperluan untuk kembali melihat peranan agama yang dimiliki oleh rakyat sesuai dengan prinsip pertama Rukun Negara, Kepercayaan Kepada Tuhan, dan ditarik keluar nilai yang merupakan prinsip, yang mendasari atau menjadi asas kepada apa jua perbuatan seseorang. Tidak dapat dinafikan semua agama mengajak penganutnya untuk melakukan kebaikan. Untuk melakukan kebaikan, aspek nilai perlu terlebih dahulu dihidupkan. Di sinilah peranan agama yang menentukan apa yang baik dan apa yang tidak. Tanpa ada nilai, tidak mungkin akan lahir suatu tindakan yang mulia atau disebut sebagai perbuatan beretika. Dengan kata lain, nilai bukan sekadar pengetahuan tetapi ia perlu dihayati, dicernakan dan diterjemahkan melalui perbuatan. Sebagai contoh, sekiranya ada nilai kasih sayang pada seseorang, maka akan lahir seorang individu yang menterjemahkan kasih sayang dengan sikap penyayang, tolong menolong antara satu sama lain. Justeru, nilai tingkah laku dan etika mempunyai hubung kait yang sangat rapat  antara satu sama lain. 

Pendidikan nilai perlu diteruskan secara serius meskipun di peringkat yang agak tinggi seperti universiti atau kolej. Hal ini kerana keadaan jiwa manusia yang sentiasa berubah-rubah. Generasi muda khususnya golongan mahasiswa merupakan aset terpenting kepada negara kerana masa depan negara terletak pada bahu mereka, sebagaimana kata-kata Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali: “Sekiranya kalian ingin melihat masa depan sebuah negara, maka perhatikan keadaan generasi muda masa kini.” Justeru, usaha berterusan perlu dilakukan agar golongan ini mampu menjadi sumber manusia yang memiliki nilai murni, khususnya nilai integriti yang tinggi demi memastikan pembinaan tamadun Malaysia berjaya dilakukan oleh mereka yang bebas rasuah. 

Sebagai kesimpulan, setiap individu mempunyai peranan untuk mencegah gejala rasuah iaitu dengan menghayati dan menterjemahkan nilai integriti. Nilai integriti perlu terus disuburkan dan untuk menyuburkan nilai ini, pastinya aspek spiritual atau rohani perlu terus dijaga, dibelai dan diberi makanan yang sepatutnya. Kegagalan untuk menjaganya inilah yang akan menjadikan nilai ini lemah dan gagal untuk dijelmakan dalam tindakan atau perbuatan dan sebagai akibatnya, maka berterusanlah gejala rasuah yang kelak tanpa dibendung secara agresif, mungkin menjadi budaya hidup dalam masyarakat kita.

PENULIS ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.