Mahkamah tambah hukuman buruh Bangladesh cabul lima wanita kepada 18 bulan, sebatan

Mahkamah tambah hukuman buruh Bangladesh cabul lima wanita kepada 18 bulan, sebatan

SEORANG individu warga Bangladesh yang didakwa melakukan cabul kehormatan ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda hukuman yang dikenakan terhadap seorang buruh binaan warga Bangladesh yang sebelum ini mengaku bersalah atas lima pertuduhan mencabul lima wanita di kawasan awam, April lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin meminda hukuman daripada penjara enam bulan dan denda RM14,500 yang dijatuhi oleh Mahkamah Majistret pada 6 Mei lalu kepada penjara 18 bulan dan satu sebatan selepas membenarkan permohonan semakan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 27 April.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencabul kehormatan kesemua mangsa termasuk seorang wanita warga Jerman dengan pelbagai cara termasuk memeluk dan menyentuh badan mangsa yang berusia antara 21 hingga 28 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di laluan pejalan kaki Stesen LRT Chan Sow Lin, dalam tren dan di kawasan eskalator Stesen MRT Maluri dan dalam tren dari Stesen MRT Taman Midah ke MRT Muzium Negara antara pukul 7 pagi dan 10.30 malam, 10 hingga 25 April lalu. 

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum berhujah, perbuatan tertuduh mencabul kehormatan lima mangsa pada tarikh, masa dan lokasi berbeza merupakan tindakan yang sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Hujahnya, tertuduh bukan sahaja melakukan perbuatan itu di kawasan awam, malah bertindak berani mencabul mangsa di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) ketika waktu puncak.

“Kalau dilihat perbuatan tertuduh, ada mangsa yang dipeluk dari belakang dan disentuh di bahagian badan. Semua ini adalah perbuatan yang sangat berani dan tidak wajar.

“Semua tindakan tersebut bukan tindakan normal. Kalau orang biasa, tidak akan berperilaku begitu,” hujahnya.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman bersifat pencegahan bagi memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan mencabul kehormatan di tempat awam perlu dipandang serius.

Sementara itu, peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk Dr. Mohd Radzuan Ibrahim berhujah, tertuduh sebenarnya mengalami gangguan emosi dan tidak mampu membayar denda keseluruhan RM14,500 yang dikenakan Mahkamah Majistret sebelum ini.

Peguam itu turut memaklumkan, permit kerja anak guamnya baru disambung kira-kira dua minggu lalu dan masih sah sehingga Februari 2027.

Oleh itu, Mohd, Radzuan memohon mahkamah menggunakan kuasa yang ada untuk mengarahkan tertuduh dihantar pulang ke Bangladesh bagi mendapatkan rawatan.

“Abang kepada pesalah yang berada di belakang mahkamah mengesahkan pesalah sebenarnya mengalami gangguan emosi.

“Mereka sebenarnya dalam proses menghantar pesalah pulang ke Bangladesh bagi mendapatkan rawatan.

“Saya memohon mahkamah menggunakan kuasa untuk pengusiran dan menghantar pesalah pulang supaya dia tidak perlu menanggung perbelanjaan di penjara,” hujahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN