PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan polis susulan beberapa laporan kes cabul di sekitar ibu kota, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek ditahan di hadapan sebuah bank di Jalan Sungai Besi pada 7 April lalu
Menurutnya, suspek telah direman selama empat hari bermula Selasa lepas hingga Jumaat lalu bagi siasatan lanjut.
“Pihak polis telah menerima enam laporan dan menjalankan siasatan berhubung kesalahan mencabul kehormatan.
“Suspek juga sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta pada Jumaat lalu untuk pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial memaparkan kejadian seorang wanita yang menunggang motosikal seorang diri didakwa menjadi mangsa gangguan oleh seorang lelaki.
Menerusi video itu, insiden berkenaan didakwa berlaku ketika mangsa sedang menunggu lampu isyarat di Jalan Pudu, Kuala Lumpur selain turut mendakwa terdapat beberapa kejadian lain melibatkan individu sama. – UTUSAN










