Kayuhlah… jangan lagi berpecah - Utusan Malaysia

Kayuhlah… jangan lagi berpecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIDUP di bawah penjajahan samalah macam melukut di tepi gantang. Masuk tak penuh, keluar tak luak. Duduk tak sama rendah, berdiri tak sama tinggi.

Cabaran getir tanah air ini sejak merdeka 31 Ogos 1957 sehingga membawa ke Malaysia yang kita hidup aman damai hari ini, hakikatnya tidak dicapai sebegitu mudah. Selepas merdeka, Malaya cuba diganyang Presiden Indonesia, Sukarno kerana membantah pembentukan Malaysia. Peristiwa konfrontasi Indonesia-Malaysia itu yang bermula 20 Januari 1963 menyaksikan ramai askar Indonesia yang mendarat di Pontian, Johor ditangkap.

Ejen-ejen dan tali barut mereka juga merata tertangkap. Malaysia berjaya dibentuk 16 September tahun yang sama, tetapi konfrontasi hanya berakhir tiga tahun kemudian, 11 Ogos 1966.

Selepas itu kecelakaan mengundang lagi dengan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, bersekali keganasan komunis yang mengorban dan mencedera ribuan nyawa tidak berdosa. Dan tanah air ini terus disusul dengan kisah-kisah dan peristiwa mencetus ketidakstabilan ekonomi dan politik sehinggalah sekarang.

Bagi mereka yang umurnya lingkungan 50-an tahun hari ini, mungkin tidak berapa ingat peristiwa-peristiwa penting yang berlaku. Apa lagi buat anak muda belasan tahun, awal 20-an dan 30-an sekarang. Mereka semua dilahirkan dalam suasana menyedut udara merdeka. Lahir-lahir sahaja sudah terbentang depan mata menara berkembar Petronas – dua pencakar langit tertinggi dunia.

Kita sebenarnya bernasib baik mendapat pemimpin-pemimpin yang bijaksana dalam mentadbirkan negara ini dalam perjuangan merebut kemerdekaan hinggalah kemerdekaan dicapai. Jasa-jasa mereka tidak boleh dilupakan laksana harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.

Ketika Pemuda UMNO mencadangkan slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka pada 1951, bukan sahaja sindiran dilemparkan malah ejekan dan penghinaan diterima oleh UMNO daripada pembesar-pembesar Melayu sendiri termasuk juga akhbar-akhbar tertentu.

 

SELEPAS merdeka, Malaya cuba diganyang Presiden Indonesia, Sukarno kerana membantah pembentukan Malaysia, 16 September 1963. Selepas tiga tahun, perjanjian menamatkan konfrontasi ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak manakala Indonesia diwakili menteri luarnya, Tun Adam Malik di Istana Merdeka, Jakarta pada 11 Ogos 1966.

EJEKAN, PENGHINAAN
Mereka menganggap perjuangan yang ditumpukan kepada menuntut kemerdekaan itu kononnya belum layak kepada bangsa Melayu, disebabkan kelemahan yang menyelubungi bangsa Melayu dalam semua bidang termasuk pendidikan, ekonomi dan kekuatan mental. Ada pihak berpendapat bagaimana mahu merdeka sedangkan ‘buat sebatang jarum pun tak tahu.’

Begitu sekali cetek pemikiran mereka dalam menilai erti merdeka. Malah pelbagai macam lagi ejekan dan penghinaan terhambur dari mulut mereka bagi melemahkan perjuangan UMNO. Tetapi berkat ketabahan pemimpin-pemimpin merevolusikan pemikiran rakyat, pejuang-pejuang yang tidak pernah kenal penat lelah ini akhirnya dapat meyakinkan orang ramai dengan penjelasan-penjelasan yang diberikan kenapa kita harus memegang teraju kemerdekaan.

Ketika orang Melayu menentang Malayan Union pada 1946, pejabat penerangan kerajaan Inggeris menampal poster di kampung-kampung di mana gambar seorang Haji yang memakai serban memegang tali teraju layang-layang berbentuk kubung (sejenis binatang seakan-akan kelawar atau keluang).

Tangan kanan Haji itu memegang teraju yang ditulis dengan perkataan huruf besar ‘siapa pegang teraju’ – sebagai sindiran yang amat tajam, bahawa orang Melayu tidak layak memegang teraju. Ertinya tidak ada rupa orang Melayu hendak menentang Malayan Union dan kerajaan Inggeris yang gagah perkasa.

Demikianlah penghinaan kepada orang Melayu apabila digambarkan sebagai seorang Haji itu adalah orang Melayu memegang teraju layang-layang kubung, tetapi sebenarnya ialah Inggeris sendiri. Bagi jabatan propaganda itu, hanya Inggeris sahaja layak mentadbirkan negara ini.

Satu lagi kisah, detik wakil Pemuda UMNO, Mohd. Tahir Majid menurunkan bendera Union Jack dan Hamzah Alang menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Jalur Gemilang) pada 30 Ogos 1957 pukul 12 tengah malam di padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka).

Sebelum itu dalam mesyuarat Exco Pemuda UMNO yang diadakan di rumah ketuanya ketika itu Sardon Jubir, satu perutusan diterima daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Sir Donald Mac Gillivary meminta supaya tidak diadakan upacara menurunkan Union Jack.

Alasan yang diberi oleh Mac Gillivary, kemerdekaan dicapai melalui setitik dakwat dan sehelai kertas bukan secara revolusi seperti berlaku di Indonesia yang menumpahkan darah serta mengorbankan nyawa. Justeru adalah wajar maruah penjajah dipelihara dengan mempertahankan bendera berkenaan. Namun, Pemuda UMNO tetap tidak berganjak dengan keputusan mahu melakukan upacara simbolik menurunkan bendera Union Jack dengan tidak menghiraukan saranan Mac Gillivary.

HIKMAH
Sebelum Perang Dunia Kedua, kedudukan orang Melayu berpecah-pecah mengikut negeri masing-masing atau ditakrifkan sebagai bersifat kenegerian. Mereka berbangga dengan negeri masing-masing, bukan sebagai satu bangsa di Semenanjung Tanah Melayu ini. Perpaduan dalam bentuk nasional boleh dikatakan tidak ada langsung walaupun terdapat usaha-usaha dilakukan oleh beberapa orang pemimpin yang sedar betapa pentingnya orang Melayu bersatu, akan tetapi tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

Penentangan terhadap Malayan Union menjadi satu hikmah kepada bangsa Melayu apabila mereka berada dalam keadaan perahu sudah terasak ke tebing, ikan sudah sesak ke belat. Ledak kebangkitan semangat ketika itu telah berjaya menyatupadukan orang Melayu.

Mesej yang paling baik diamalkan kini ialah kontrak sosial Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati dan dipatuhi dalam semua urusan kebangsaan kita. Perlu dicari dan dimurnikan bibit-bibit persamaan antara kaum di Malaysia dengan mengambil kira tautan sejarah, interaksi sosial dan budaya zaman dahulu membawa saat ini.

Hari ini, perahu sudah di air, dayung sudah di tangan, kayuhlah dengan cermat dan hati-hati supaya selamat sampai ke seberang.

Bila berjalan janganlah sentiasa mendongak ke langit. Pandanglah sesekali ke bawah supaya tidak terantuk kaki terkena akar kayu yang melintang.

Bila sudah sampai ke seberang, jangan lupa pangkalan tempat mula berkayuh. Malaysia termasuklah orang Melayu tidak mampu berpecah lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×