Jajaran baharu budaya politik Melayu - Utusan Malaysia

Jajaran baharu budaya politik Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN akhbar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa petanda gencatan politik sudah bermula. Semoga ia berterusan begitu dalam persidangan Parlimen nanti.

Dalam suasana gencatan politik ini, parti-parti politik Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) wajar membuat refleksi diri mengenai hala tuju budaya politik agar ia bergerak berlandaskan prinsip kewujudan bersama, kerjasama dan usahasama.

Ini adalah pendekatan di luar kotak yang mungkin tidak selari dengan mood ahli-ahli UMNO yang tidak mengalu-alukan kehadiran parti politik Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sesetengah pihak menganggapnya sebagai pesaing, bukan sebagai rakan kerjasama politik.

Golongan yang menganggap Bersatu sebagai pesaing mahukan UMNO kembali dominan dan menjadi parti politik gergasi untuk Melayu.

Justeru, cakap-cakap politik dalam kalangan golongan anti-Bersatu adalah cenderung kepada tindak-tanduk ke arah menjadikan Bersatu sebagai sebuah parti Melayu yang senasib Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) sehinggalah ia terpaksa dibubarkan.

Namun demikian, cakap-cakap sebegini wajar disanggah kerana situasi kini amat berbeza. Ia berbeza berbanding Semangat 46 kerana Bersatu pernah memimpin kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH). Bersatu juga pernah menerajui kerajaan di bawah panji-panji PN.

Ramai heavyweight politik Melayu berada dalam Bersatu dan Bersatu memiliki ramai rakan setia dalam PN yang turut dianggotai Pas, Barisan Nasional (UMNO, MCA dan MIC) selain parti-parti politik di Sabah dan Sarawak.

Maka adalah tidak tepat sama sekali jika ada pihak menganggap Bersatu sebagai sebuah parti serpihan yang wajar dibubar atau dipinggirkan demi perpaduan Melayu.

Realitinya, dunia menyaksikan banyak parti gergasi berkubur atau menjadi parti kecil yang tidak lagi dominan, misalnya Partai Golongan Karya (Golkar) di Indonesia, Congress di India atau Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun.

Di Malaysia juga, trend sama berlaku apabila prestasi UMNO merosot sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ia terus bertambah lemah pada PRU-13 dan akhirnya tumpas pada PRU-14.

Apakah trend ini bakal berterusan pada PRU-15 sehingga sejarah 22 bulan pemerintahan PH berulang, apabila UMNO kembali ke barisan pembangkang?

Kebarangkalian ini berlaku tidak boleh dinafikan seandainya PH memulakan norma politik baharu yang lebih bersifat kompromi dan konstruktif, manakala DAP pula bersedia mengisytiharkan pengakhiran dasar politik Malaysian Malaysia.

Apatah lagi jika Anwar memilih untuk kembali kepada perjuangan politik berlandaskan Melayu dan Islam sebagaimana prinsip perjuangannya ketika menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada suatu masa dahulu.

Dari perspektif ilmu pemasaran politik, apabila graf populariti sesebuah parti politik menurun, ia perlu segera memperkenalkan langkah-langkah inovatif melakukan penjenamaan semula dan melancarkan pembangunan produk baharu.

Maka itu, jajaran baharu budaya politik Melayu wajar diperkenalkan dengan menggunakan kaedah segmentasi pengundi.

Usaha ini memerlukan penjenamaan bersama agar pengundi melihat suatu pembaharuan yang lebih baik telah diperkenalkan oleh UMNO.

Keperluan penjenamaan bersama inilah yang menuntut UMNO mencorak satu landskap politik baharu untuk memberi ruang kepada kehadiran Bersatu sebagai rakan, bukan sebagai pesaing.

FELDA

Berbalik kepada kaedah segmentasi pengundi, UMNO boleh fokus memberi perhatian kepada sasaran, khusus terdiri daripada pengundi luar bandar dan tanah Felda.

Pas pula menyasarkan pengundi Islamic base, manakala Bersatu diberi tugas menumpukan perhatian kepada pengundi bandar dan subbandar.

Kekuatan Pas, UMNO dan Bersatu wajar diseimbangkan supaya ketiga-tiga parti ini sama kuat dan tidak ada yang dianggap parti gergasi Melayu yang terlalu dominan.

Situasi ini akan mewujudkan budaya politik semak dan imbang sesama sendiri tanpa terlalu bergantung kepada instrumen semak dan imbang oleh pembangkang yang lazimnya berbentuk kritikan lantang dan melampau.

Mungkin ada yang mengatakan pendekatan sebegini tidak praktikal dan terlalu idealistik. Namun perlu diingat, pendekatan inilah yang telah diguna pakai oleh PH (DAP) ketika membangunkan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menjadi parti yang kuat supaya dapat menyaingi Pas dan memenangi hati pengundi Pas.

Ini mereka lakukan dengan meminta Amanah diberi lebih banyak jawatan Kabinet yang penting walaupun jumlah ahli Parlimen mereka amat kecil berbanding PKR dan DAP.

Dalam erti kata lain, DAP rela Amanah menjadi parti Islam yang besar dalam PH supaya boleh mengetengahkan Amanah sebagai pesaing Pas.

Dalam konteks sedemikian, UMNO boleh memanfaatkan Bersatu sebagai sahabat politik yang akan diketengahkan sebagai pesaing kepada PKR manakala Pas pula bersaing dengan Amanah.

MCA serta Gerakan pula diberi tugas untuk bersaing dengan DAP, manakala UMNO bersiap sedia untuk menghadapi pesaing baharu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mungkin menjenamakan parti itu sebagai alternatif kepada UMNO.

DATUK Dr. Mohd. Radzi Abd. Latif ialah Presiden Dewan Profesional Bumiputera Malaysia dan Pengerusi Majlis Bertindak Ekonomi Muslim Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×