TAHUN 1442H berlalu pergi bersama pelbagai peristiwa suka duka yang mewarnai sejarah kehidupan kita. Begitu banyak cabaran yang telah kita hadapi, khususnya serangan pandemik Covid-19. Begitu ramai hilang punca pendapatan, berdepan tekanan emosi, kehilangan ahli keluarga, rakan, jiran tetangga dan sebagainya. Bagi sebahagian daripada kita, suasana kehidupan berubah begitu drastik dalam masa singkat sekali.
Kita menyambut Maal Hijrah 1443 dengan memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dengan penuh harapan sambil mensyukuri segala nikmat-Nya. Dalam keadaan yang sangat mencabar ini, kita semua mengharapkan keberkatan dan ihsan Allah agar sentiasa berada dalam limpahan rahmat-Nya.
Sayidina Umar ibnu Al-Khattab memilih tahun Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah sebagai tahun pertama kalendar Hijrah. Pemilihan Muharam sebagai bulan pertama bagi tahun hijrah dibuat atas beberapa sebab yang penting. Pada bulan ini, umat Islam baru sahaja selesai menunaikan ibadah haji serta bulan Muharam juga termasuk antara bulan-bulan haram untuk berperang.
Penghijrahan Nabi Muhammad SAW adalah satu peristiwa penting yang amat bermakna kepada seluruh umat Islam. Bagi umat Islam, hijrah bukan sahaja bermaksud perpindahan secara fizikal tetapi merangkumi aspek spiritual. Ia juga membawa maksud suatu perubahan sikap, cara pemikiran dan sebagainya ke arah yang lebih baik. Ini termasuklah meninggalkan tabiat buruk serta cuba untuk menjadi insan yang lebih baik.
Walaupun hijrah ke arah kebaikan harus berlaku sepanjang masa, tiada salahnya jika kita menetapkan azam tahun baharu setiap kali tibanya awal Muharam. Dengan adanya satu matlamat yang jelas serta sasaran jitu, kita akan lebih komited untuk memperbaiki diri.
Bagi saya, azam tahun baharu adalah suatu dorongan dan pembakar semangat dalam usaha untuk mengubah sikap diri. Dalam kegembiraan menyambut tahun baharu, kita mesti cuba menghayati dan memahami konsep sebenar hijrah secara tersurat mahupun tersirat.
Sambutan maal hijrah haruslah dirancang supaya bukan sahaja kita dapat memahami proses penghijrahan Rasulullah SAW tetapi dapat menyelami semangat dan mendapat pengajaran daripadanya.
Saya ingin mengucapkan salam maal hijrah buat semua pembaca Utusan Malaysia. Semoga tahun ini membawa sinar baharu kepada kehidupan kita semua, insya-Allah.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.











