Harapan berani, tepat - Utusan Malaysia

Harapan berani, tepat

ISMAIL Sabri Yaakob pada majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Perdana Menteri dan Mengangkat Sumpah Jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara baru-baru ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG beberapa hari menyambut hari kemerdekaan ke-64, kita telah dipermudahkan oleh Allah SWT mendapat seorang lagi Perdana Menteri yang baharu.

Pemilihan begitu cermat dan teliti mengikut peruntukan Perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu menunjukkan Rukun Negara masih lagi menjadi tonggak kekuatan kepada resipi keamanan berkekalan dari detik awal kemerdekaan hingga ke saat ini.

Tahniah Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik menjadi ketua kerajaan kita. Anak Pahang asal Kelantan yang lahir sebagai anak penoreh getah membuktikan bagaimana takdir Allah SWT telah mengangkat beliau naik ke puncak kuasa berkat kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan.

Semua pihak menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selaku Ketua Pembangkang yang menerajui Pakatan Harapan (PH), beliau mengajak semua pihak menerimanya dengan kecekalan yang jitu.

Pada masa sama, Anwar menjadikannya sebagai satu cabaran untuk bekerja lebih keras lagi dalam misi kembali mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

GOSIP KABINET

Kini, semua mata sedang menanti susunan barisan Kabinet yang akan diumumkan dalam masa terdekat selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.

Beberapa muka lama dijangka tidak dilantik kembali dan beberapa tokoh kanan parti UMNO juga akan mengisi portfolio penting dalam Kabinet baharu nanti tanpa melibatkan pemimpin yang sedang menghadapi kes pendakwaan di mahkamah.

Pada masa sama, senarai Kabinet berasaskan pertaruhan Malaysia Baharu melibatkan muka-muka baharu perlu difikirkan.

Beri peluang kepada orang muda seperti Khairy Jamaluddin, Shahril Suffian Hamdan, Khairul Azwan Harun, Nurul Izzah Anwar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Mohd. Syahir Che Sulaiman dan Rafizi Ramli. Maknanya, kerajaan perpaduan dengan wajah baharu.

Rakyat mengharapkan Kabinet baharu dapat bertindak dengan pantas dan tuntas untuk menangani kemelut hari ini dan latar belakang calon mestilah sesuai dengan tugasan yang akan mereka kendalikan nanti.

Usah dilantik menteri yang gagal untuk mengisi kekosongan Kabinet tersebut dan jika ia berlaku lagi, sudah tentu negara akan menyaksikan episod duka kembali menyelubungi ruang pemikiran dan perasaan rakyat keseluruhannya.

Mereka juga mengharapkan majlis penasihat berkaliber untuk menjadi mentor kepada Jemaah Menteri kerajaan yang bakal dilantik diwujudkan untuk memastikan setiap perancangan membuahkan hasil dan tidak terseleweng daripada matlamat sebenar.

Penjawat awam hendaklah dibebaskan daripada sebarang campur tangan politik jika mahu melihat prinsip integriti dapat dipertahankan daripada menjadi nanah yang akan merosakkan sistem penyampaian awam melibatkan duit rakyat.

Semua parti hendaklah dilayan dengan adil dan saksama tanpa perlu menggunakan kuasa untuk menindas musuh politik mereka sedikit pun.

KONSEP KEADILAN

Konsep keadilan jujur kepada kebenaran dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak yang terbukti melakukan penyelewengan akan menjadi faktor berkekalan sokongan oleh rakyat terutama orang Melayu yang mahu melihat pada masa hadapan Malaysia bangkit sebagai sebuah negara Islam yang boleh dibanggakan.

Demikian ke arah Malaysia yang telus dalam pendakwaan seperti yang dizahirkan dalam teks panduan al-Quran dan hadis yang menjadi rujukan konsep keadilan dalam Islam.

Akta Anti Lompat seperti yang dihasratkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang detik terakhir perutusannya juga elok diteruskan agar masalah perdagangan sokongan ahli Parlimen dapat dihapuskan pada masa akan datang.

Penggubalan akta rasuah yang lebih ketat juga perlu dilakukan untuk menggerunkan semua pihak yang masih cuba melanggar undang-undang dengan menawarkan imbuhan begitu lumayan kepada sesiapa yang mahu melompat parti.

Pengguguran kes mahkamah yang bersifat mirip kepada kehendak pemimpin politik juga hendaklah dibuang daripada kamus pemikiran mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab memegang kuasa.

Pengasingan kuasa antara legislatif, kehakiman dan eksekutif hendaklah diperkukuhkan dengan tindakan bersepadu, bukan sekadar retorik ahli politik yang menggunakannya sebagai propaganda murahan untuk meraih perhatian dan sokongan rakyat.

Begitu juga konsep mendakwa pihak musuh politik yang disebut selective prosecution juga tidak wajar lagi mengisi berita-berita di dada akhbar nasional kerana ia tidak membawa ke arah kebaikan bahkan akan menimbulkan lebih banyak keburukan.

Rakyat sudah semestinya mahu melihat di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang baharu ini, semua aset dan wang negara yang diseleweng atau dijual dan dicuri dikembalikan kepada kantung perbendaharaan negara.

Dan penguatkuasaan hendaklah dipertingkatkan lagi agar tidak berlaku salah guna kuasa untuk melarikan dana milik negara sama ada berbentuk aset atau pemegang saham syarikat milik kerajaan (GLC) yang dijual kepada pihak yang mempunyai hubungan rapat dengan anggota pentadbiran kerajaan.

Harapan demi harapan ini tidak akan lahir dalam alam realiti jika ia tidak didukung dan disokong oleh semua pihak.

Kebijaksanaan Perdana Menteri yang baharu untuk mengajak semua pihak menjelmakannya dalam bentuk tindakan akan terus diperhatikan oleh rakyat sebelum diputuskan sokongan mereka kepada mana-mana ahli Parlimen dan parti politik pada PRU akan datang.

Kepada Allah SWT kita berserah agar Malaysia akan terus diberkati-Nya dan kembali menjadi sebuah negara maju serta dihormati lawan dan disegani kawan yang mampu memberikan sumbangan bermakna kepada kemakmuran dunia.

Selamat bertugas Ismail Sabri. Rakyat akan menunggu keputusan demi keputusan yang berani, tepat dan bijaksana daripada pasukan anda setiap masa.

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×