Hapus hutang: Rahmat untuk peneroka - Utusan Malaysia

Hapus hutang: Rahmat untuk peneroka

Mustapa Mohamed (dua dari kiri) turun padang melawat Felda Lurah Bilut, Pahang, baru-baru ini. – FACEBOOK MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tarikh 7 Julai setiap tahun merupakan hari besar bagi seluruh warga Felda, iaitu Hari Peneroka Felda. Ini merupakan tarikh keramat untuk peneroka seperti ibu bapa saya yang melalui cabaran dan jerih perih dengan tulang empat kerat membelah hutan belantara dan semak samun untuk membuka tanah rancangan.

Tahun ini amat istimewa, Perdana Menteri mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menghapuskan sebahagian besar hutang peneroka kepada Felda yang keseluruhannya berjumlah RM8.3 bilion. Ia melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka bersyarat.

Pengumuman ini amat besar ertinya kepada kami, keluarga peneroka. Kami sedar jumlah hutang yang terlalu tinggi amat sukar untuk dibayar apatah lagi ketika harga sawit dan getah menjunam seperti beberapa tahun lalu. Ketika itu, setelah ditolak hutang, hasil ladang yang dibawa balik ke rumah cukup-cukup untuk makan.

Kerajaan amat membantu dengan memberikan pinjaman mudah untuk tanam semula, baik pulih rumah dan membaja. Dek kerana terlalu mudah mendapatkan pinjaman, kami lupa beban yang ditanggung sehingga hutang membukit.

Kini kami mampu menarik nafas lega, isu penyata hutang sebenar telah dimuktamadkan oleh pengurusan Felda setelah sekian lama membelenggu tanpa noktah lebih 20 tahun. Kami sedar, hutang wajib dibayar sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jiwa seorang mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilangsaikan.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Baihaqi)

Saya amat kagum dengan komitmen Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh bersama pengurusan tertingginya yang berusaha melaksanakan Pelan Pemulihan Felda. Dalam masa setahun dapat mengeluarkan penyata hutang secara terperinci untuk setiap peneroka.

Mungkin ramai yang terkejut dengan jumlah hutang tetapi itulah realitinya. Mungkin ada salah dan silap sedikit dalam penyata hutang tersebut tetapi perkara itu bersifat teknikal yang boleh diperbetulkan.

Kerajaan dan Felda sedar, ada dalam kalangan peneroka tidak mampu membayar hutang tersebut kerana terlalu tinggi dan menjadi hutang lapuk. Menurut laporan sebelum ini, hanya 16,000 daripada 112,638 peneroka yang tidak mempunyai hutang. Kami gembira apabila kerajaan mengambil keputusan menghapuskan hutang setiap peneroka sebanyak 80 peratus.

Atas keprihatinan Felda, jumlah baki hutang yang perlu dibayar adalah berdasarkan kepada kemampuan dengan jumlah munasabah. Melalui inisiatif ini, purata bayaran balik pinjaman berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000 kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.

BANK DUNIA

Bagi yang tiada hutang, kos tanam semula berikutnya selepas ditolak caruman penuh dan insentif lain akan ditanggung oleh Felda. Saya yakin kerajaan dan pengurusan tertinggi Felda akan melakukan yang terbaik untuk meletakkan kembali agensi yang menjadi contoh kepada dunia ini di landasan yang tepat seperti mana sasaran Pengerusi sebagai syarikat Fortune Global 500 menjelang 2040.

Pokok pangkalnya, seluruh warga Felda harus kembali bersama. Konsep inilah yang menjadi asas kejayaan sehingga mendapat pengiktirafan Bank Dunia dan tidak perlu bergantung kepada kerajaan untuk menguruskan kelangsungan hidup. Saya yakin dan percaya, Felda dan kerajaan sentiasa merasai denyut nadi rakyat dan mendengar luahan hati warga peneroka.

Ini terbukti apabila Pengerusi dan Pengarah Besar Felda turun padang memberi penerangan, mendengar luahan hati dan aduan daripada peneroka dan generasi baharu Felda termasuk bersiaran secara langsung melalui Facebook dan sidang video. Mustapa dalam kesibukan kerjanya juga sanggup meluangkan masa mendengar rintihan dan keluhan peneroka termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Felda serta generasi baharu Felda. Beliau turut turun padang ke tanah-tanah rancangan untuk melihat kelancaran pelupusan hutang ini.

Sebagai anak peneroka, saya masih ingat kata-kata ayah agar selalu bersyukur kerana rancangan Felda yang diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak memberi seribu rahmat kepada kami sekeluarga yang asalnya tidak bertanah, kini menjadi tuan tanah.

Kalau dahulu hidup kais pagi makan pagi, kini mempunyai pendapatan bulanan hasil tuaian ladang. Kehidupan kami sekeluarga dan warga peneroka telah berubah. Malah semakin ramai anak Felda yang dahulunya hidup susah, kini mampu tersenyum apabila berjaya dalam kehidupan dan menyandang pelbagai jawatan penting di sektor kerajaan dan swasta. Kejayaan ini adalah berkat kebersamaan antara peneroka dan Felda.

Perkara yang lepas perlu dijadikan pengajaran tetapi tidak perlu terbawa-bawa sehingga bersangka buruk. Berilah peluang kepada kerajaan dan pengurusan tertinggi hari ini untuk melaksanakan pelan pemulihan. Pun begitu, pengurusan tertinggi jangan terlalu selesa, libatkan lebih banyak warga peneroka sebelum keputusan besar dibuat supaya tidak jadi seperti rumah siap, pahat terus berbunyi. Apatah lagi, kitakan mahu hidup bersama.

Akhir kalam, mari kita bersama-sama meredah badai mengembalikan semula maruah Felda. Separuh abad pertama sudah berlalu, kita pernah mencipta kejayaan. Yakinlah, kita mampu bangkit kembali untuk tahun-tahun mendatang. Saya sangat bersyukur. Inisiatif ini merupakan satu rahmat yang diberikan kepada kami, anak Felda. Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Terima kasih kerajaan dan Felda.

PENULIS ialah anak peneroka Felda Soeharto, Hulu Selangor, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×