SELAIN penularan pandemik Covid-19, negara kini turut berhadapan ancaman baharu yang dikatakan mengganggu-gugat kesejahteraan hidup rakyat. Ancaman tersebut berupa trend peningkatan mendadak kes bunuh diri.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), peningkatan tersebut mula dirasakan pada 2020 dengan 631 kes dilaporkan berbanding 609 kes pada 2019. Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, 468 kes bunuh diri dicatatkan. Sudah tentu statistik tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Pertama, jika orang itu yang ‘berjaya’ bunuh diri, maka tiada apa-apa liabiliti atau pendakwaan yang dapat dilakukan. Jawapan kedua pula sebaliknya, jika tidak ‘berjaya’, maka orang itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Seksyen 309 Kanun Keseksaan memperuntukkan sesiapa yang cuba membunuh diri, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. Justeru, pembacaan kepada seksyen tersebut membawa persoalan yang mungkin bermain di fikiran kita, adakah perbuatan bunuh diri merupakan suatu jenayah? Terdapat dua jawapan ringkas kepada rumusan membunuh diri tidak salah tetapi jika perbuatan itu tidak berjaya, maka barulah menjadi kesalahan.
Tidak hairanlah jika sebelum ini kita turut disajikan dengan beberapa laporan media berkaitan individu yang dihukum kerana cuba membunuh diri. Antaranya pada 2 Februari 2020, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang cuba bunuh diri dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. Selain itu, seorang lelaki yang melakukan perbuatan sama di Cheras turut didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2020.
Jika diperhalusi, peruntukan sedemikian nampaknya tidak begitu relevan dalam konteks masa kini dan wajar dituntut agar suatu pindaan dilakukan. Dengan kata lain, sudah tiba masa bagi kerajaan bertindak nyahjenayah (decriminalise) perbuatan cubaan bunuh diri. Umum mengetahui, peruntukan tersebut tidak begitu berjaya dalam membendung peningkatan kes bunuh diri. Ini kerana langkah mengenakan hukuman terhadap pelaku cubaan bunuh diri diumpamakan sebagai orang terjatuh, dihimpit janjang.
PARI MATERIA
Dalam bidang perubatan moden, orang yang cuba membunuh diri sewajarnya dilayani sebagai pesakit atau mangsa kerana mereka dikatakan sedang menghadapi masalah kemurungan atau kecelaruan mental serius dan bukannya dicop sebagai penjenayah. Tambahan pula, peruntukan terbabit merupakan suatu warisan dan peninggalan British yang mana dipanjangkan ke dalam Kanun Keseksaan India (IPC) serta seterusnya ke Tanah Melayu sekitar 1936. Peruntukan berkenaan terus diguna pakai sehingga sekarang.
Semasa penjajahan British, cubaan bunuh diri digubal menjadi kesalahan selepas mengambil kira kepercayaan agama bahawa perbuatan sedemikian bertentangan dengan kehendak Tuhan. Ia juga selaras dengan amalan masyarakat Eropah ketika itu yang melihat pelaku bunuh diri perlu dijatuhi hukuman sosial.
Dalam kalangan jiran tetangga di Asia Tenggara, terdapat lapan negara langsung tidak lagi menjadikan perbuatan cubaan bunuh diri sebagai jenayah. Malah, negara yang mempunyai peruntukan Kanun Keseksaan paling pari materia (sama) dengan kita iaitu Singapura juga telah menyahjenayahkan perbuatan cubaan bunuh diri melalui Criminal Law Reforms Act pada 6 Mei 2019 dan mula menguatkuasakannya pada 1 Januari 2020.
Meskipun tidak ada bukti nyata tindakan nyahjenayah cubaan bunuh diri dapat mengurangkan kes tetapi ia sekurang-kurangnya mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelaku. Maknanya, mereka yang cenderung bunuh diri tidak akan berasa takut-takut dan tampil mendapatkan rawatan segera.
KEMPUNAN
Secara lazimnya individu yang cuba membunuh diri berada dalam keadaan ambivalen iaitu mempunyai perasaan hendak menamatkan ‘kesakitan’ yang dialami tetapi pada masa sama tidak berniat menamatkan hayatnya sendiri. Bagaimanapun, tekanan dan kemurungan dicampur-aduk dengan rasa disisihkan mungkin menjadi sebab mendorong mereka ambil jalan mudah dan terburu-buru bunuh diri.
Justeru, langkah nyahjenayah cubaan bunuh diri dilihat mampu memupuk galakan agar orang ramai menyelami perasaan pesakit terbabit. Pada masa sama, individu yang kempunan bunuh diri dapat melupakan hasrat tersebut dan tampil mendapatkan bantuan sewajarnya tanpa ada rasa bimbang bahawa mereka akan didakwa.
Sejajar dengan pindaan atau pemansuhan terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan tersebut, fokus perlulah diberikan terhadap pemerkasaan perkara melibatkan kesejahteraan mental rakyat. Mengambil contoh di India, negara itu turut mengorak langkah menyahjenayahkan cubaan bunuh diri dengan memansuhkan Seksyen 309 IPC. India turut menggubal peruntukan baharu dan memasukkan perkara mengenai kepentingan rawatan cubaan bunuh diri secara khusus dalam Seksyen 115 Akta Rawatan Kesihatan Mental (MHCA) 2017 yang diluluskan pada 2018.
Dengan usaha tersebut, kes-kes cubaan bunuh diri dilihat berkurangan memandangkan individu yang menghadapi masalah kemurungan serius diberikan akses terhadap kemudahan rawatan dan pemulihan mental secara percuma, malah tanpa sebarang diskriminasi.
Natijahnya, tindakan nyahjenayah perlu dilihat bahawa ia bukan bertujuan menggalakkan bunuh diri tetapi sebagai usaha memperkasakan undang-undang baharu yang lebih berkesan bagi mencegah pertambahan kes. Ini kerana sama seperti mereka yang berada dalam disiplin perubatan moden, pengamal undang-undang turut mempunyai keyakinan bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia selama 15 tahun.











