SATU fasa yang mustahak dalam pergolakan politik negara dan kenegaraan baru sahaja selesai Sabtu 21 Ogos lalu – dengan majlis angkat sumpah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkatnya Perdana Menteri kesembilan Malaysia.
Fasa ini mungkin ‘disambung’ oleh pihak yang tidak puas hati dalam kehidupan politik mereka sendiri. Bibit-bibitnya macam nak mula balik dengan pertikaian ‘istilah kerajaan siapa’ kelmarin. Namun, fasa gilakan kuasa dan jawatan ini harus dilenyapkan dahulu dalam konteks menghadapi pandemik Covid-19.
Jika ‘dalam diri ada harimau, keluarkan saja bunyi kambing.’
Kita lihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah buat yang termampu walaupun tidak bebas daripada kritikan. Sebagai kuasa diraja dan eksekutif, ketegasan Parlimen harus mengakhiri demam babak memilih Perdana Menteri ini.
Tahniah kepada Ismail Sabri – suatu kenaikan pangkat yang tidak diduga. Rezeki tak pernah salah alamat. Dalam konteks bidalan Melayu, ‘tuah ayam nampak di kaki, tajinya, tuah manusia siapa yang tahu.’
ILTIZAM BAHARU
Daripada gaulan siasah tanah air, terpenting sekali adalah konfiden – menyakinkan rakyat bahawa kerajaan diketuai Ismail Sabri boleh membina semula keretakan lampau.
Atasi sama sekali pendekatan anti-Covid yang tidak kena dan banyak dikritik rakyat. Contohnya, cara gaul data kes Covid hari-hari yang tidak dianalisis (datanya). Dan sehinggakan rakyat gundah-gulana kerana data kes tidak disegmenkan mengikut kes ke unit rawatan rapi (ICU), kes melarat dan kes pertengahan. Ini perlu diatasi dengan pendekatan dan iltizam baharu.
Begitu juga demikiannya rawatan terhadap Covid mesti murah. Sekarang, hendak buat ujian calitan atau swab test bukan alang kepalang. Kena fikir 1,000 kali wang di kocek. Caj bukannya murah. Berapa yang dicaj klinik dan hospital swasta untuk Reverse Transcripte -PolymeraseChain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit (RTK)? Kos maksimum diwartakan oleh kerajaan di bawah Ordinan Darurat bertarikh 17 Mei 2021 ialah masing-masing RM150 (PCR) dan RM60 (RTK). Tapi malang sekali banyak yang dilanggar hingga caj satu dan dua ujian itu melepasi RM200 dan RM100. Kit ujian kendiri Covid pun baru diluluskan Julai dengan kes sudah pun mencanak berbelas ribu sehari. Ubat alternatif Covid tidak dibenarkan seolah-olah ada ‘percaturan.’ Tidak harus terus berpolemik perkara ini. Pihak berkuasa terutama Ketua Pengarah Kesihatan harus ada jawapannya akan hal-hal ini.
Dengan kenaikan PM9 Ismail Sabri, ia banyak bergantung kepada siapa timbalan beliau. Rakyat melihat beliau bersama kumpulan segmen yang mewakili siasah lama, terkait dengan kluster mahkamah.
Namun, kita percaya timbalannya akan berganding bahu, bukannya sebagai competitor yang berlari sama nakkan jawatan Perdana Menteri.
Ismail Sabri juga seharusnya dapat mengendali selera politik UMNO. Selera politik UMNO yang tajam ini harus diberi pendekatan supaya aman dan sejahtera hendaknya terlebih dahulu, sebelum menjurus ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
OVERHAUL
Pada masa sama, lebih penting lagi pejabat komunikasi kerajaan semasa pentadbiran 17 bulan sebelum ini perlu dioverhaul atau kata berhemah Melayunya ‘baik pulih.’
Kelihatannya Jabatan Penerangan tidak berjalan lancar. Tidak nampak peranannya sebagai jentera tali temali kerajaan. Ini cukup berbahaya kepada kerajaan. Aktifkan dan agresifkan kira-kira 2,200 kakitangan penerangan pentadbiran. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di dalamnya ada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), dulunya Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) serta agensi berita dan stesen televisyen kerajaan.
J-KOM di bawah Ismail Sabri harus dikerah memperjelas dasar-dasar kerajaan yang terkait dengan rakyat. Seingat kita ada empat pengumuman besar dibuat termasuk Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR, namun masih ada kalangan rakyat yang tidak faham. Antaranya, bagaimana hendak mohon bantuan tunai langsung tidak kurang RM10 bilion ini.
PM9 jangan ketepikan kerja-kerja pelaksanaan dari pengumuman-pengumuman besar berkenaan, tetapi perlu pastikan ia terus dinikmati oleh rakyat.
Dan sangat mustahak sekali, pejabat komunikasi kerajaan termasuk J-KOM bebas dari dikawal oleh ‘little Napoleon.’ Apa lagi peruntukan RM40.5 juta untuk J-KOM besar, dan amaunnya masih besar meski dipotong separuh, iaitu RM45 juta dari peruntukan asal untuk JASA tempoh hari.
Juga, sesiapa pun perlu beringat satu perkara ini: Kerajaan tidak boleh mengaku mengetahui semua hal. Ini jam rakyat lebih faham. Maka, perlu pasang telinga rapi-rapi supaya kelak tidak terjadi ‘masuk gelanggang PRU-15 tak masuk gol yang banyak’.
Pepatah Inggeris menyebut A bad penny always turns up. Di mana-mana sahaja kita berada, mesti ada orang yang perangainya yang kita tak suka. Atau anti kepada kita atau kita yang anti kat kepada dia. Kerana itu, pejabat komunikasi kerajaan harus laporkan kepada ketua apa yang benar dan apa yang tidak benar. Biar laporan itu dinilai subjektifnya, difikir secara objektif.
Jangan dicap akan akhbar dan portal berita tertentu sebagai penentang kerajaan. Bukankah kerja-kerja media itu memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat? Buang ‘cara lama zaman batu’, jangan bongkak mengurus media ikut kehendak pejabat komunikasi. Alu-alukan laporan matang yang memberi input berguna kepada agensi-agensi kerajaan. Bukankah beberapa menara komunikasi sedang dan akan dibina, malah yang sedia ada dinaiktaraf untuk mengatasi capaian internet anak-anak sekolah, semua input ini datangnya dari laporan akhbar, media terutama Utusan Malaysia?
Kerajaan adalah pemegang amanah rakyat. Tak usah takut dengan kritikan laporan akhbar. Akhbar dan portal berita laporkanlah yang benar. Jika bagus kerajaan, insya-Allah akan bagus seterusnyalah ia.
Hindarikan laporan yang puji-puji, harus diberi teguran kepada kerajaan, untuk segera memperbaiki keadaan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Tahniah sekali lagi Datuk Seri Ismail Sabri atas pelantikan PM9.










