Belajar bahasa Rusia sukar tapi indah - Utusan Malaysia

Belajar bahasa Rusia sukar tapi indah

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang warga tempatan dan komuniti Rusia di negara ini untuk mempelajari bahasa secara dalam talian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA antarabangsa yang menjadi pilihan kebanyakan warga Malaysia selain bahasa Inggeris ialah bahasa Arab, Perancis, Jerman, Cina, Jepun dan Korea. Bahasa-bahasa ini menjadi pilihan utama disebabkan kehadiran ramai pelabur, pelajar dan pelancong dari negara-negara tersebut selain kegilaan anak muda kita dengan filem dan lagu dari sana.

Apa sahaja sebab sekalipun, hakikatnya mempelajari bahasa asing dapat memberi banyak manfaat dan kelebihan kepada seseorang seperti menjadi seorang penterjemah bertauliah, mengajar bahasa dan paling utama ialah anda tidak akan mengalami kesukaran untuk berkomunikasi sewaktu berkunjung ke negara-negara tersebut.

Namun, antara bahasa dunia yang kurang menjadi pilihan warga kita ialah bahasa Rusia sekalipun penutur bahasa ini mencecah hampir 300 juta orang dan merupakan bahasa rasmi atau digunakan secara meluas di banyak negara seperti Rusia, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Ukraine, Turkmenistan dan Moldova.

Daripada tinjauan saya mendapati rata-rata mereka yang mempelajari bahasa Rusia ini disebabkan ingin menyambung pengajian di negara berkenaan khususnya dalam bidang perubatan. Bagaimanapun, sejak bergaul dengan komuniti Rusia di negara ini, saya berpeluang berkenalan dengan beberapa anak muda kita yang fasih berbahasa Rusia dan kagum mendengar alasan mereka memilih bahasa yang unik ini.

Anak jati Perlis, Afiq Basaruddin, 24, mengajar bahasa Rusia kepada warga tempatan selain bergiat aktif dengan gerakan Perintis. Fokus utama gerakan ini ialah untuk merangsang minda anak-anak muda menerusi perbincangan intelek menggunakan pelbagai medium. Selain rakyat tempatan, perbincangan ilmiah ini turut disasarkan kepada warga asing seperti dari Rusia dan Kazakhstan. Baginya, tiada alasan untuk tidak mempelajari sesuatu bahasa terutama sewaktu berhadapan wabak Covid-19 yang menyebabkan banyak pusat bahasa ditutup.

“Saya mula berkawan dengan gadis Rusia bernama Liza Petrova. Dia banyak memperkenalkan saya kepada bahasa dan budaya orang Rusia. Sehingga kini saya masih berguru dengannya.

“Selain itu, saya juga menghadiri kelas-kelas dalam talian, berhubung dengan komuniti Rusia di Malaysia dan meluaskan jaringan perkenalan saya ke Rusia serta negara-negara yang menggunakan bahasa Rusia dalam percakapan harian mereka,” katanya.

KREATIF
Saya turut kagum dengan anak muda ini apabila dia mengadakan sendiri kelas bahasa di Universiti Kuala Lumpur-Institut Kejuruteraan Teknologi Marin (UNIKL-MIMET) dan kini aktif menawarkan kelas dalam talian dengan jadual yang fleksibel mengikut keselesaan pelajar. Anda boleh mendapat maklumat dan teknik mempelajari bahasa Rusia dengan kreatif oleh Afiq menerusi laman akaun Instagram miliknya, healingrussian.

Afiq juga mengambil inisiatif mengajar bahasa Melayu dan Inggeris kepada warga Rusia.

“Saya turut mengajar bahasa Melayu kepada orang Rusia dan apa yang menariknya ada dalam kalangan mereka yang sudah boleh menyanyikan lagu-lagu Melayu seperti lagu dendangan seniman Sudirman dan seniwati Saloma.

“Hal ini membuatkan saya merasa sangat gembira kerana bahasa Melayu semakin dikenali oleh dunia luar dan saya bertekad untuk terus mengembangkan bahasa kebangsaan ini di bumi Rusia,” ujarnya.

Di samping itu, bahasa Rusia juga merupakan bahasa kedua terbesar digunakan dalam internet. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menetapkan tarikh 6 Jun sebagai Hari Bahasa Rusia Sedunia. Pemilihan tarikh ini sempena hari kelahiran penulis dan penyair teragung Rusia, Aleksander Pushkin yang juga dikenali sebagai Bapa Bahasa Rusia Moden.

Sekalipun bahasa Rusia merupakan bahasa yang sukar, namun ia sebenarnya indah. Ramai juga yang mempelajari bahasa Rusia kerana ingin menyelusuri dunia sastera dan sejarah mereka yang kaya dan luas. Negara kuasa besar dunia ini telah melahirkan ramai sasterawan, angkasawan, saintis dan ahli kimia yang hebat serta bertaraf dunia seperti penulis terulung, Leo Tolstoy dan manusia pertama ke angkasa lepas dan memasuki orbit, Yuri Gagarin.

Saya yakin para pembaca sekalian mendapat sedikit sebanyak gambaran mengenai kelebihan mempelajari bahasa asing seperti bahasa Rusia.

Jadikanlah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sebagai permulaan untuk kita mempelajari bahasa-bahasa asing. Mudah-mudahan dengan mengetahui pelbagai bahasa dapat memberi manfaat kepada kita.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×