AS pembekal senjata no. 1 dunia - Utusan Malaysia

AS pembekal senjata no. 1 dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENJATA adalah pemangkin permusuhan antara manusia, kemudian meletus perang untuk mempertahankan angkuh dan bongkak sesama sendiri. Teknologi pula bukan sahaja memudahkan kehidupan, tetapi ada kalanya memusuhi manusia dan kemanusiaan apabila digunakan untuk menghasilkan senjata pemusnah.

Dalam laporan Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI), Amerika Syarikat (AS) menjuarai penjualan senjata perang dunia bagi lima tahun terakhir (2016-2020). Negara kedua, Rusia; ketiga, Perancis; keempat, Jerman dan kelima, China. AS mencatatkan 41.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan senjata dunia.

Untuk 2020 sahaja, penjualan senjata AS mencatatkan AS$3.7 bilion, diikuti Rusia (AS$3.2b) dan Perancis (AS$1.95b). Angka-angka ini sangat menggerunkan kerana usaha memporak-perandakan dunia memberi keuntungan kepada pengeluar senjata.

Pengimport senjata utama dunia terutama dari AS ialah Arab Saudi diikuti India, Mesir, Australia dan China. Sementara untuk jangka masa 2016 hingga 2020 sahaja, negara-negara Asia Barat mencatatkan 25 peratus daripada pembelian senjata dunia.

Ini menunjukkan negara-negara bergolak antara pelanggan utama pengeluar senjata. The State Department World Military Expenditures and Arm Transfer 2019 Report melaporkan, peruntukan pertahanan di dunia meningkat 75 peratus pada AS$1.7 trilion dalam tempoh 20 tahun.

Sepanjang 10 tahun lalu pula, China menambah peruntukan pertahanan sebanyak 83 peratus, sementara AS menyusut 17 peratus. Laporan itu meramalkan menjelang 2030, AS memperuntukkan lebih AS$1 trilion pada pertahanan dan menjadi negara paling atas terbanyak diikuti China (AS$736b) dan India (AS$213b).

Senjata berteknologi tinggi untuk membunuh manusia menjadi industri yang menguntungkan negara pengeluar seperti AS. Negara-negara yang merasakan berada dalam ancaman luar atau pembuli jiran berlumba-lumba memberikan peruntukan besar pada kelengkapan pertahanan.

China misalnya yang sentiasa berdepan dengan provokasi dan ancaman secara langsung daripada AS, selain menghasilkan senjata sendiri, banyak membeli senjata dari Rusia yang merupakan musuh tradisi AS era Perang Dingin. Rusia pula mempunyai negara-negara pembeli yang tidak terikat atau memusuhi AS.

Bom atom adalah satu mercu tanda pencapaian manusia dalam sains mencipta senjata yang luar biasa pada zamannya. Itulah kali pertama senjata bertenaga atom digunakan dalam perang dan ‘berjaya’ memusnahkan berjuta-juta manusia.

Hal ini sangat menyedihkan semua yang ada sisi kemanusiaan dalam dirinya. Inilah ‘kejayaan’ sekumpulan saintis AS dalam Projek Manhattan yang dipimpin J. Robert Oppenheimer pada dekad 1940-an.

 

TIDAK cukup dengan Perang Teluk, Amerika Syarikat melancarkan perang terhadap Iraq pada 2003. – AFP

 

LITTLE BOY
Tetapi apalah ertinya pencapaian sains yang luar biasa ini apabila akhirnya teknologi senjata itu membunuh berjuta nyawa dan kesan radiasinya berlarutan berpuluh tahun lamanya. Saintis J. Robert Oppenheimer digelar Father of the Atomic Bomb bertanggungjawab mencipta Little Boy, bom atom yang menghancurkan Hiroshima dan Fat Man yang digugurkan ke atas Nagasaki berselang tiga hari.

Memang benar bom atom tidak digunakan lagi dalam mana-mana perang selepas Perang Dunia Kedua. Tetapi teknologi menghasilkan senjata jauh lebih canggih untuk membunuh tidak pernah terhenti.

Kita hanya boleh membayangkan betapa amannya dunia kalau tidak ada negara dan syarikat pengeluar senjata perang di dunia ini. Bagaimanapun, hakikatnya mengeksport senjata pembunuh manusia lebih menguntungkan daripada memberikan gandum atau susu untuk menghidupkan dan mensejahtera manusia.

Menjadi manusia pasca Perang Dunia Kedua memang kompleks. Tangan kanan memberi makanan untuk kelangsungan hidup tetapi tangan kiri memberi senjata supaya manusia bermusuhan kemudian berbunuhan. Kilang senjata hanya mahu mencatat keuntungan dan tidak peduli akan nyawa dan kemanusiaan yang hilang.

Di dunia ini ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada beberapa badan antarabangsa lain yang matlamat utamanya keamanan. Dalam PBB sendiri ada Majlis Keselamatan yang kononnya memerah otak untuk pelestarian keamanan. Tetapi semakin galak Majlis Keselamatan bermesyuarat, semakin banyak manusia menjadi mangsa senjata perang.

AS menjadi anggota PBB dan menjadi kuasa veto dalam Majlis Keselamatan. Antara anggota lain Majlis Keselamatan ialah China dan Rusia. Tentu sekali amat sukar untuk mendefinisikan ‘keselamatan’ dan ‘keamanan’ apabila negara yang mengaut untung daripada penjualan senjata memonopoli Majlis Keselamatan.

Sebenarnya negara pengeluar senjata utama dunia sangat onar dalam merancakkan penjualan senjata kepada negara lain terutama yang bergolak. AS mencipta Perang Teluk pada 1990-an bukan percuma.

Negara terlibat misalnya Kuwait yang mendapat bantuan AS mengganyang Iraq pimpinan Saddam Hussein bukan percuma. Bil belanja perang semuanya ditanggung oleh Kuwait.

Tidak cukup dengan Perang Teluk, AS melancarkan perang terhadap Iraq pada 2003. Perang itu dimurnikan dengan menjaja demokrasi yang dikatakan dicabul oleh Iraq. AS datang dengan membawa ‘demokrasi’ yang menjadi harapan sesetengah dalam kalangan rakyat yang termakan propaganda Barat. Tetapi hingga kini, selepas Saddam dibunuh, Iraq dihancurkan, minyak yang menjadi sumber kekayaan dijarah AS, demokrasi masih juga tidak wujud. Bil senjata perang ditanggung oleh Iraq.

Senjata keluaran AS atau Rusia tidak laku sekiranya tidak ada peperangan. Tugas penting negara pembekal senjata ialah mencipta perang kemudian menawarkan bantuan. Bantuan itu adalah senjata yang digunakan dan bukan secara percuma.

Semakin banyak pergolakan, semakin meningkat permintaan pada bekalan senjata. AS dan Rusia sama-sama membekalkan senjata dalam perang yang tidak berkesudahan di Syria. Kedua-duanya mengaut keuntungan daripada penjualan senjata. Mereka berperang dalam perniagaan tanpa mengotorkan dengan darah untuk mendapat keuntungan berlipat ganda.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×