1443H: Dunia makin tua - Utusan Malaysia

1443H: Dunia makin tua

MENGAMBIL kira peristiwa hijrah, usia dunia sudah amat tua iaitu 1,433 tahun maka manusia juga semakin tua dan makin dekat untuk kembali kepada Allah SWT. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN tahun baharu hijrah 1443 kali ini tidak semeriah dahulu. Lebih-lebih lagi apabila menyaksikan angka kematian akibat wabak Covid-19 di negara kita yang makin bertambah.

Pada 1 Muharam (Selasa lalu), kes kematian akibat pandemik global itu di Malaysia adalah 201 orang. Jumlah itu naik kepada 211 orang keesokan harinya.

Nampaknya, dalam kita terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), angka harian yang positif Covid-19 adalah sekitar 19,000 ke 20,000 kes. Jumlah kematian juga sudah mencecah 11,373 setakat 11 Ogos lalu.

Malah, kes jangkitan melibatkan wanita hamil juga makin serius dengan 78 kematian direkodkan sejak Januari hingga Isnin lalu.

Lebih membimbangkan 63 kes dicatat dalam tempoh dua bulan terakhir ini iaitu 17 kematian dalam Jun, 29 dalam Julai dan 17 kematian setakat 8 Ogos.

Inilah antara cabaran dan situasi yang dihadapi seluruh dunia. Barangkali berita yang agak menggembirakan dalam sambutan Maal Hijrah kali ini hanyalah kemungkinan rakyat sudah boleh menunaikan umrah hujung tahun ini.

Memang kita tidak dapat menolak kematian sebab ia pasti akan berlaku. Cuma kalau boleh, kita berharap ia kematian biasa. Ia agar anak-anak berpeluang memandi, mengkapan dan solatkan jenazah ibu bapa sebagai khidmat terakhir anak-anak kepada ayah ibu di dunia.

Dalam hal ini, Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah orang yang semalamnya sama dengan hari ini dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam.”
Kata-kata itu seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam terus berusaha memperbaiki diri.
Masuk tahun baharu hijrah 1443 bermakna masa kita berada di muka bumi ini makin singkat. Justeru, tidak wajar ia disia-siakan. Sebabnya, orang mukmin sedar bahawa dunia ini adalah tempat bercucuk tanam untuk menuai hasilnya di akhirat.

TEMPAT SINGGAH
Al-Quran menceritakan bahawa dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia adalah tempat mengumpul amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak. (al-Syura: 20)

Mengambil kira peristiwa hijrah, maka usia dunia sudah amat tua iaitu 1,433 tahun. Demikian juga kita manusia, makin tua dan makin hampir untuk kembali kepada Allah SWT.

Dalam Islam kita disunatkan memperbanyakkan mengingati mati. Dalam kitab Mau’izhatul Mu’minin min Ihya’ Ulumuddin ada menyatakan manusia itu terbahagi kepada tiga golongan.

Golongan pertama ialah golongan yang tidak mengingati mati, bahkan sangat jauh daripada mengingatinya dan lebih sibuk dengan urusan keduniaan.

Golongan kedua pula ialah golongan yang banyak mengingati mati untuk menimbulkan rasa takut dan gerun supaya dia lebih banyak bertaubat.

Golongan ini kadang-kadang dikatakan tidak menyukai mati kerana bimbang kalau-kalau dia tidak sempat bertaubat sepenuhnya, di samping mahu menambah kebaikan dan meningkatkan bekalan ke akhirat.

Golongan ketiga pula ialah mereka yang sangat menantikan saat-saat kematian itu, kerana rindu untuk bertemu dengan Tuhan Maha Pencipta, Allah SWT.

Ketahuilah bahawa mengingati mati mempunyai banyak kelebihannya. Antaranya dapat menimbulkan keinsafan dalam jiwa dan seterusnya menjadikan seseorang itu semakin tekun beribadah kepada Allah SWT sekali gus meninggalkan apa jua perbuatan mungkar dan berdosa.

ORANG BIJAK

Mereka inilah yang Rasulullah SAW sebut sebagai orang yang bijak.

Ia sebagaimana sabda Nabi SAW ketika baginda ditanya oleh orang-orang Ansar berkenaan siapakah dalam kalangan orang Mukmin yang lebih bijak (jauh pandangannya)? Baginda menjawab yang maksudnya: Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik persediaannya untuk menghadapi perkara sesudah mati. Mereka itulah yang paling bijak. (Riwayat Ibnu Majah).

Sehubungan itu, marilah kita merebut peluang membanyakkan puasa sunat dalam bulan Muharam.

Keutamaan berpuasa dalam Muharam dinukilkan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Seutama-utama puasa sesudah setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat (sunat) pada malam hari. (Riwayat Muslim)

Orang mukmin pastinya tertunggu-tunggu kedatangan hari Asyura atau hari ke-10 Muharam. Ia untuk melaksanakan puasa sunat yang dijanjikan pahala yang amat besar.

Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Berpuasa pada hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Ibn Majah)

Tahun ini, kita juga berpeluang melakukan banyak puasa sunat, insya-Allah. Dengan Muharam berbaki 25 hari lagi, kita boleh berpuasa sekurang-kurangnya sembilan hari bermula pada hari tas’ua atau 9 Muharam (pada 18 Ogos) diikuti dengan puasa Asyura pada 19 Ogos. Boleh juga ditambah dengan puasa pada 11 Muharam.

Seterusnya boleh berpuasa ayyamul bidh (hari putih) iaitu pada 13 hingga 15 Muharam (22 hingga 24 Ogos). Kemudian berpuasa sunat Isnin dan Khamis pada 17, 21, 24 dan 28 Muharam (26 dan 30 Ogos, 2 dan 6 September).

Kita masih berjuang melawan wabak Covid-19, justeru ambillah peluang Muharam ini membanyakkan berdoa kepada Allah agar mengangkat wabak tersebut.

Munajat itu lebih-lebih lagi diharapkan daripada orang berpuasa kerana antara doa yang mustajab adalah ketika seseorang itu sedang berpuasa.

Dalam masa yang sama, marilah berazam memperbaiki kualiti amal ibadat seharian. Jika selama ini sudah solat lima waktu, pastikan kini solat berjemaah di awal waktu.

Jika sebelum ini hanya solat fardu kini tambahkan dengan solat-solat rawatib sekurang-kurangnya 12 rakaat. JIka sudah dilaksanakan, tambahkan pula dengan solat dhuha dan qiamullail.

Semoga tahun baharu hijrah bukan setakat diraikan dengan cuti umum dan sambutan di peringkat kebangsaan dan negeri.
Sebaliknya, ia memerlukan kepada penghayatan dan amalan harian setiap daripada kita untuk berubah ke arah lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×