Berhenti jadi ikan mati dibawa arus - Utusan Malaysia

Berhenti jadi ikan mati dibawa arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada pepatah Cina menyebut, ‘hanya ikan mati yang mengikut arus.’ Sementara dalam bidang sains sosial pula, kita akan bertemu dengan istilah ‘mentaliti massa’ (mob mentality).

Ikan mati dianalogikan kepada orang yang tidak ada pemikiran atau pendapat dan hanya menjadi pak turut dalam arus pendapat utama.

Mentaliti massa membentuk pendapat utama terhadap sesuatu perkara. Terbentuk oleh emosi semasa dan hujah yang berlegar munasabah dalam lingkungan sempit.

Disebabkan lingkungan alam fikirnya sempit, individu berkenaan pun akan bergantung pada arus pendapat utama.

Hal ini menunjukkan masyarakat dapat dipengaruhi oleh persekitaran terutama yang tidak mempunyai pendirian terhadap sesuatu perkara. Mereka cepat tewas dengan hujah-hujah yang emosional oleh majoriti dan membentuk arus pendapat utama menjadi semakin besar.

Daripada pepatah Cina itu, arus boleh difahami sebagai sosialisasi persekitaran atau pendapat utama yang mempengaruhi individu tidak berpemikiran dan tidak berdiri atas keyakinan sendiri. Dalam kehidupan sekarang, banyak terdapat individu yang mengambil sikap seperti ikan mati. Mereka berfikir mengikut arus pendapat utama tanpa mengetahui bahawa arus itu dibentuk oleh pihak berkepentingan.

Hakikatnya, kebenaran dan pendapat utama atau majoriti adalah dua perkara berbeza. Kebenaran tetap kebenaran walaupun minoriti, satu lawan sepuluh atau seribu.

Sebab itulah penyair tersohor Perancis, John Cocteau mengingatkan, “jangan mengukur kebenaran dengan majoriti.” Maknanya, majoriti tidak boleh melunturkan sesuatu kebenaran menjadi sebaliknya.

Semua yang di atas mengingatkan tentang arus pendapat di sekeliling kita. Kalau kita ada pengaruh, maka kita yang membentuk persekitaran itu. Tetapi kalau sebaliknya, kita akan menjadi pengikut yang melulu. Amat bahaya kalau kita hanya menjadi pengikut dan tidak tahu apa yang diikut itu betul atau tidak.

Bagaimanapun, mereka yang terpasung dengan mentaliti massa selalunya dalam kalangan yang tidak punya pendapat sendiri. Banyaknya hanya bertenggek di atas pendapat orang lain kemudian melantun semula seolah-olah pendapat sendiri. Mereka yang seperti ini tidak mempunyai pemikiran yang tajam, kritis dan mampu menyelak lapis demi lapis sebelum menyatakan pendapatnya. Disebabkan tidak mempunyai kemampuan berfikir pada aras tinggi, mereka pun menjadi ikan mati yang dibawa arus.

Tidak semua orang sedar, ada arus pendapat utama yang tidak betul.

Sesetengah daripadanya tidak tahu apa-apa, maka yang terloncat keluar daripada tindakannya sama ada mulut (bercakap) dan tangan (menulis) adalah pendapat arus utama yang membelitnya. Berdegar-degar berhujah di media sosial dengan mengajuk atau ulang bicara pendapat arus utama yang menenggelamkannya.

Kalau zaman sebelum wujud media sosial, definisi ‘persekitaran’ adalah kecil dan sangat terhad. Tetapi pada era dominasi media sosial, ‘persekitaran’ menjadi amat luas dan sifatnya telah menyeberang sempadan benua. Persekitaran beginilah yang membentuk pendapat utama dalam sesetengah perkara.

Media sosial telah membentuk persekitaran untuk kita harung dan renangi. Para oportunis pula mempergunakan kelemahan kita yang tidak tahu berenang untuk mempengaruhi arah yang hendak dibawa. Memang ternyata menguruskan ikan mati jauh lebih mudah berbanding ikan hidup.

Ditambah pula dengan sikap sesetengah individu mahu menjadi serba tahu dan ikut berbahas di ruang awam di media sosial. Memang begitulah sifatnya ruang awam media sosial yang melonggokkan semua jenis manusia dalam satu bakul. Cuma yang sedar sahaja bermain di bingkai bakul.

Berbahas di ruang awam media sosial adalah satu pesona hidup yang tidak terungkap bebas dan luasnya. Semua orang boleh bercakap tentang berbagai-bagai isu walaupun pertama kali mendengarnya. Tanpa disedari, mereka inilah yang larut dalam pusaran pendapat utama di persekitaran. Syukurlah kalau pusaran itu baik, tetapi banyak juga yang tidak baik dan membentuk kita menjadi sebahagian daripadanya.

Gustare Le Bon dalam buku The Crowd: A Study of Popular Mind menerangkan, sesetengah individu akan hilang pendapat atau pemikiran apabila berkumpul dalam satu kelompok. Maka sebahagian besar akan larut dalam pendapat utama tanpa sedar sama ada benar atau sebaliknya.

Di media sosial, tidak semua perkara yang menjadi arus pendapat utama berlaku secara semula jadi. Banyak yang dibentuk oleh pihak tertentu dengan matlamat tersendiri. Mereka menggunakan media sosial sebagai pembentuk pendapat utama yang kemudiannya memerangkap individu yang tidak punya apa-apa dalam kepalanya.

Pihak berkenaan beruntung kerana dalam arus pendapat utama yang dicipta itu, lebih banyak ikan mati berbanding ikan hidup yang mempunyai pendapat sendiri dan menongkah arus utama. Ikan-ikan mati inilah yang diangkat sebagai tanda aras suara majoriti dalam sesuatu perkara.

Kita boleh mengelak tenggelam dalam arus pendapat utama, salah satu pendekatannya berhenti mengikut auto pilot tetapi pandulah kehidupan dengan keyakinan sendiri, bangunkan pendapat sendiri bersandarkan pengalaman dan pemikiran, dan seterusnya berikan masa untuk berfikir sebelum bersetuju atau sebaliknya dengan arus pendapat utama.

Maka terpulanglah kepada kita sendiri sama ada akan membiarkan kehidupan dan pendapat diseragamkan oleh majoriti termasuk hal-hal yang dipercayai atau diyakini tidak benar. Atau menggunakan akal fikiran untuk mengutarakan pendapat biarpun bertentangan dengan arus pendapat utama.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×